Setahun Pandemik

Setahun Pandemik

Genap setahun Covid-19 diisytihar pandemik global oleh World Health Organization (WHO). Wabak penyakit yang skop jangkitannya merentas negara dan benua. Merekodkan nama dalam sejarah dunia sebagai satu lagi situasi yang mengancam manusia dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tidak kurang juga kehadiran teori yang mengatakan apa yang berlaku adalah sebahagian dari “plandemik”, konspirasi dan agenda pihak tertentu untuk mengaut kakayaan dunia. Apa pun pertuduhan yang diberikan, tanggungjawab responden adalah memastikan kelangsungan hidup manusia.

Bermula dengan maklumat yang sangat terhad tentang penyakit ini, negara melalui pelbagai cabaran. Penyakit baru yang tidak diketahui perjalanan klinikalnya, cara wabak tersebar dan apakah langkah yang patut diambil untuk menghentikan penularannya.

Perintah kawalan pergerakan diperkenalkan sebagai polisi untuk menyokong tindakan kesihatan awam di lapangan. Kes mula menurun, tapi harga ekonomi yang perlu dibayar sangat tinggi. Kesan sosial turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Secara berperingkat perintah kawalan pergerakan dilonggarkan untuk mengembalikan aktiviti kemasyarakatan. 

Apabila negara hampir berjaya, muncul pula gelombang yang lebih besar melanda. Kali ini, ujian yang lebih getir buat petugas kesihatan dan juga masyarakat. Keletihan komuniti juga mula dirasai mengakibatkan aktiviti kawalan menjadi semakin sukar dilaksanakan. Apa juga polisi dilaksanakan, perlu dipastikan keseimbangan antara usaha menurunkan kes dan mengaktifkan semula aktiviti ekonomi dan sosial di negara ini.

Penularan kes dalam kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti industri menyulitkan situasi kawalan di lapangan. Usaha sama pelbagai agensi sangat diperlukan untuk memastikan kelancaran aktiviti saringan, pengurusan kes dan pengendalian pesakit. 

Kadar kematian akibat Covid-19 masih kekal dibawah 0.5% sehingga hari ini, pelbagai fasiliti selain hospital mula dijadikan pusat rawatan. Pemantauan kes positif dirumah juga menjadi realiti bermula Januari 2021. Beban kes aktif Covid-19 di hospital dapat dikurangkan dan fungsi selain Covid dapat dilaksanakan. Secara kolektif usaha ini diharap dapat memastikan sistem kesihatan di Malaysia sentiasa optimum dalam menghadapi bebanan penyakit yang ada di negara ini. 

Program imunisasi mula dilancarkan di Malaysia bermula hujung Februari. Vaksin berupaya mengurangkan risiko jangkitan dalam komuniti. Pelbagai agenda dan aktiviti telah disusun untuk memastikan program immunisasi Covid-19 dapat dilaksanakan dengan sistematik diseluruh negara. 80% sasaran liputan imunisasi kelompok yang ditetapkan, sudah tentu ini satu proses yang panjang dan penelitian secara menyeluruh perlu dilakukan. 

Setahun sudah berlalu dan dilalui, momentum positif perlu diteruskan untuk memastikan usaha mendepani penyakit ini dapat diteruskan. Kita sedang berlari ke arah yang betul, berada di landasan yang tepat.

Dr Afiq Amsyar adalah salah seorang Pegawai Perubatan yang kini bertugas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Foto: REUTERS

Share this Post: