“You cannot continue to victimize someone else just because you yourself were a victim one-the has to be a limit” – Edward Said
Konflik Israel-Palestin telah dimulai kurang lebih seabad lalu. Ia tidak dapat dilepaskan dari pengulatan isu identiti di Timur Tengah.
Konflik Israel-Palestin termasuk dalam masalah pemilikan atas Jerusalem, malah ia telah dibentuk oleh naratif ideologi Zionisme. Apa yang berlaku di Palestin, ia adalah sebuah penafian hak dan jenayah penghapusan entik (enthic cleansing) yang bersifat politik.
Penderitaan rakyat Palestin harus menjadi agenda kemanusiaan bagi manusia sejagat.
Jika ditinjau dari aspek sejarah, petanda penguasaan British ke atas Palestin telah bermula semenjak Empayar Turki Uthmaniyah berada diambang kejatuhan. Ia menjadi nyata apabila Turki Uthmaniyah tewas bersama Jerman di dalam Perang Dunia Pertama.
Manakala sekutu British iaitu Perancis berjaya menguasai Lubnan dan Syira selepas Perang Dunia Pertama. Secara tidak langsung penglibatan Hijaz (tanah Arab) dalam perang tersebut telah membantu British menguasai Palestin.
Dengan Perjanjian Balfour pada 1917 yang telah meletak Palestin di bawah naungan British dan sekaligus telah merintis jalan dan memberi mandat (national home) kepada Yahudi Zinonis untuk memasuki Tebing Barat.
Hal ini mengingatkan kita kepada puisi Salim Hasan al-Ya’qubiy, salah seorang penyair yang menentang deklarasi ini;
“Aku menitipkan ia (Palestin) yang tidak jelas dengan suaramu yang lantang, sedangkan rumah (Palestin) hingga sekarang dalam belenggunya (penjajah). Para pendatang tanpa izin itu sama sekali tidak punya belas kasihan. Mereka buat hanya atas dasar kemahuan mereka.”
Konflik Israel-Palestin ini memuncak pada tahun 1948 dengan terciptanya negara haram Israel. Theodore Herzl antara pencetus naratif Zionisme, sebagaimana dikembangkan di dalam buku monumental yang diterbitkan pada tahun 1895 dengan judul Der Judenstaat atau The Jewish State.
Pemikir seperti Ismail al-Faruqi, mengungkapkan bahawa gerakan yang dilancarkan oleh Theodore Herzl untuk menguasai tanah Palestin ini, berteraskan politik Machiaveli untuk merobah peta Palestin, dengan kritikannya terhadap dasar Zionisme; “Zionism’s pursuit of this objective is thoroughly Machiavellian. Its singleminded purpose is given absolute priority over all considerations, including the moral.”
Zionisme sendiri merupakan bentuk moden dari naratif tradisional Yahudi. Berbagai spektrum politik di Israel yang menjadikan Zionisme sebagai akar ideologi mereka. Ideologi ini lahir dari kerinduan bangsa Yahudi untuk memiliki tanah sendiri di tengah keadaan mereka tersebar di seluruh dunia.
Tidak dinafikan bahawa mereka adalah bangsa yang pernah ditindas sejak sekian lama. Sebab itulah wujudnya istilah anti-semitisme, di mana ia sebenarnya berlaku di Eropah. Ini jelas dapat dilihat apabila sarjana seperti Gilbert Achcar ada menyatakan “previous wave of anti-Semitism were at their peak when you had Jewish immigration from Eastern Europe – that’s a well-known historical fact.”
Pun begitu, Yahudi pernah mendapat pembelaan ketika Islam mentadbir Palestin, pada zaman pemerintahan Saidina Umar telah membenarkan kaum Yahudi untuk berkongsi kesucian Baitulmaqdis setelah mereka dihalang semenjak tahun 135 Masihi oleh Empayar Byzantine.
Kemunculan Zionisme adalah sebuah gerakan politik, dengan membezakan Judaisme sebagai kepercayaan agama. Ia menempati satu struktur dan terma yang diperkenalkan oleh ahli antropologi Australia, Patrick Wolfe, sebagai Penjajahan Kaum Pendatang (The Settlers Colonialism).
Penjajahan yang berlaku ini dengan jelas telah menghalalkan penghapusan entik (enthic cleansing) Arab-Palestin dengan pembunuhan beramai-ramai (massacre) atas negara haram Israel. Seperti yang diungkapkan oleh Noam Chomsky, ia benar-benar merupakan pelanggaran yang nyata terhadap undang-undang, keadilan dan hak asasi manusia.
Right to Return atau Hak Kembali Palestin
Pembelaan terhadap rakyat dan kedaulatan Palestin adalah sebuah perjuangan yang panjang. Palestin sendiri telah mengalami beberapa rentetan siri peperangan; Perang Arab-Israel Pertama (1948-1949), Perang Suez (1956), Perang Enam Hari (1967), Perang Yom Kippur (1973), Intifada Pertama (1987-1993), dan Intifada Kedua (2000-2004).
Berikutan pengusiran paksa terhadap keluarga Palestin di Sheikh Jarrah dalam beberapa hari yang lalu, telah menjadi pencetus dengan kembali berlakunya pergolakan di Tebing Barat dan Gaza dalam suku pertama tahun 2021, dan hal ini telah mendapat perhatian komuniti antarabangsa.
Dalam beberapa proses perdamaian sebelum ini, hampir kesemuanya menemui jalan buntu dan gagal mencapai “good will” masing-masing terhadap penyelesaian konflik wilayah antara Palestin dan Israel.
Dalam Palestin berhadapan dengan Israel, sayangnya para pejuang Palestin terbelah kepada dua kubu.
Fatah yang cenderung kepada nasionlisme sekular, lebih bersetuju dengan Penyelesaian Dua-Negara (Two-State Solution), sebagaimana disepakati dalam Perjanjian Oslo 1993, sedangkan Hamas yang cenderung kepada gerakan Islam, menolaknya kerana ia membawa makna mengiktiraf negara haram Israel.
Memetik sarjana seperti Stephen Halbrook di dalam The Alienation of a Homeland; How Palestin Became Israel menulis; “Arab-Palestin mempunyai hak untuk kembali ke kediaman dan harta tanah mereka yang dirampas oleh orang Israel. Juga mempunyai hak untuk menerima pampasan yang adil atas kehilangan nyawa dan harta benda mereka.”
Dapat disimpulkan bahawa segala usaha penyelesaian yang dilakukan terhadap isu Palestin ini, semestinya berterusan dalam memperjuangkan hak penuh dan memberi tekanan kepada dunia supaya Israel menghapuskan dasar apartheid yang menindas. Sekaligus bersolidariti dan membawa kepada kerangka baru dalam rundingan untuk kebebasan bagi rakyat Palestin.
Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara
Foto: Wikimedia Commons
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.