Mengenali Sosok Hamka

Mengenali Sosok Hamka

Apabila melayari bahtera khazanah ketokohan seseorang di Nusantara, nama Hamka sememangnya tidak asing bagi masyarakat di rantau ini. Hamka lahir pada tahun 1908 di sebuah desa kecil yang bernama Nagari Sungai Batang, di tepi Danau Maninjau.

Hamka adalah nama singkatan, yang lebih dikenali daripada nama penuhnya, Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah. Ayahnya yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Rasul merupakan seorang penggerak reformasi Islam di Minangkabau. Ayahnya juga adalah pemimpin dan guru di pasentren Sumatera Thawalib di Padang Panjang.

Pada usia 16 tahun, Hamka keluar berhijrah dari kampung kelahirannya, pada 1924 untuk ke Yogyakarta. Di sini Hamka menerima pendedahan ilmu dari tokoh-tokoh seperti HOS Cokroaminoto, RM Surjopranoto, Ki Bagus Hasikusomo dan Haji Fakhruddin.

Mulai usia 17 tahun mula menghasilkan karangan-karangan bermutu. Hamka mulai menyertai kongres-kongres Muhammadiyah sejak tahun 1928 dalam lingkungan usia 20 tahun sudah pun berjaya mengarang novel cerita pertamanya Si Sabariah.

Sepanjang hayatnya, Hamka telah mengarang 113 judul buku. Antara yang cukup dikenali Di Bawah Lindungan Kabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Ayahku, Tasauf Moden, Falsafah Hidup dan banyak lagi. Sewaktu dalam tahanan 1964 - 1966 pemerintahan Sukarno, Hamka telah berjaya menyelesaikan penulisan Tafsir Al-Azhar.

Tidak ubahnya tokoh terkemuka di Nusantara yang memiliki banyak karya, Hamka memiliki karya dari berbagai disiplin ilmu; agama, sastera, filsafat tasawuf, politik, sejarah dan kebudayaan hingga ke tafsir Al Quran.

Ini telah menjadikan penanya melahirkan karya-karya yang mengabadikan nama sendiri. Walaupun zaman telah memasuki fasa baru dari zamannya, yang menjadi usahanya tak lapuk dek zaman. Hamka bukan sekadar pengarang, tetapi juga merupakan seorang aktivis sosial dalam lapangan masyarakat di Indonesia.

Pada tahun 1959, Universiti Al-Azhar telah memberi gelar Doctor Honoris Causa kepada Hamka, kerana dianggap sebagai salah seorang ulama terbesar di Indoneisa. Dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah juga mengaugerahkan Doktor Falsafah Kehormat pada tahun 1974.

Hasil karangan pena beliau dalam pelbagai bidang ini, mencerminkan keperbadian hidupnya sendiri. Justeru, bagi Hamka, “Falsafah sebagai penjelasan hidup. Kesusasteraan sebagai nyanyian hidup. Kesenian sebagai perhiasan hidup. Tasauf sebagai intisari hidup. Dan Ibadat sebagai pegangan hidup.”

Hamka dikenali sebagai seorang ilmuan yang membina sendiri kemampuan keilmuannya sehingga diiktiraf setanding dengan ilmuan yang menerima asuhan formal dari universiti-universiti terkemuka dunia.

Beliau hanya menerima asuhan di peringkat persekolan tidak formal. Namun ketinggian nekad dan usaha beliau, telah mengagumkan sarjana-sarjana di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Beliau mengungguli ilmu pengetahuan melalui minatnya membaca, menulis dan berdiskusi.

Beliau sendiri, lebih banyak belajar pada ayahnya yakni Haji Rasul dan iparnya Buya St. Mansur. Biarpun pada awalnya ada penentangan antara Hamka dengan ayahnya, kerana Hamka lebih gemar kepada karya sastera, berbanding dengan pengajian keislaman dalam permasalahan fiqh atau keagamaan.

Hamka, terkeluar dari garisan ulama tradisional, kerana beliau menggunakan medium novel atau roman yang bertemakan cinta teruna-dara, dalam penceritaannya untuk menyampaikan mesej, kritik sosial dan usaha dakwah beliau.

Hal ini, menyebabkan beliau digelar sebagai ulama roman. Situasi dapat dilihat ketika Buya Hamka melalui jalan di kota Medan, anak-anak kecil yang telah terpengaruh dengan propaganda lawannya, dengan menyorak-nyorak; “Hello Ulama Roman, Hello Ulama Roman van der Wijck!”

Hamka cukup dikenali sebagai seorang humanis yang rendah hati, seorang mubaligh yang khutbah dan pidatonya memikat. Di sisi yang lain, Hamka juga merupakan seorang tokoh multi-dimensi. Di samping dunia kepengarangan yang diminatinya dengan sarat sumbangan yang diberikan, Hamka juga adalah merupakan seorang ahli politik.

Bukanlah kerana beliau memegang tampuk kekuasaan atau pemerintahan. Politik dalam erti kata mempunyai kesedaran untuk membantu memperkukuhkan struktur dan mengisi fungsinya dengan nilai-nilai keagamaan.

Menelusuri sosok Hamka memang tidak akan pernah ada habisnya. Demikian ini sedikit pengenalan awal terhadap sosok Buya Hamka.

Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara

Foto ihsan readingsocially.com

Share this Post: