Cabaran menghadapi Covid-19 sekali lagi dirasai segenap lapisan masyarakat seiring perkembangan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia. Tindakan kesihatan menjadi perhatian utama semua pihak dalam usaha mengesan dan mengawal penularan Covid-19 di Malaysia.
Kuarantin semestinya menjadi salah satu tindakan yang menjadi kunci utama mengawal kes Covid-19 di Malaysia. Berdasarkan laporan dan kertas-kertas kajian terkini tentang Covid-19, kuarantin adalah antara pilihan tindakan yang tepat untuk mengawal serta mencegah jangkitan baru Covid-19 di sesebuah negara termasuk Malaysia.
Kuarantin dan Tamadun Manusia
Kuarantin bukan isitilah baru dalam dunia perubatan moden, malah amalan seakan kuarantin atau pengasingan ini telah wujud ribuan tahun dahulu.
Perkembangan tamadun manusia telah menjadikan masalah penularan penyakit berjangkit semakin serius apabila manusia mula bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Manusia sering menjadi ejen utama penyebaran wabak penyakit khususnya apabila mereka berhubung dengan satu populasi yang tidak mempunyai sebarang bentuk immuniti kelompok terhadap sesuatu penyakit.
Pada abad ke -14, wabak bubon atau lebih dikenali sebagai “The Black Death” mengancam Eropah. Kaedah pengasingan individu dan barangan bagi suatu tempoh telah mula dilaksanakan. Seterusnya, pusat kuarantin pertama (Lazaretto) telah ditubuhkan pertama kalinya dalam sejarah di Santa Maria, Nazareth, Venice untuk mengekang penularan penyakit ini. Cara dan struktur kuarantin ini telah digunapakai dan ditingkatkan lagi dengan pengawasan yang lebih berkesan.
Setelah berlaku beberapa wabak penyakit yang memberi kesan mendalam terhadap aktiviti manusia terutamanya di benua Eropah, satu Persidangan Kesihatan Antarabangsa di Venice pada 1892 telah diadakan bagi membincangkan isu penularan wabak Kolera dan langkah-langkah pengawalan untuk melindungi Eropah dari ancaman penyakit berjangkit.
Antara persetujuan yang dicapai adalah amalan kuarantin keatas pedagang-pedagang yang berlabuh di Pelabuhan-pelabuhan sekitar Eropah. Sistem kuarantin ini diaplikasi secara meluas bagi memastikan ancaman penyakit berjangkit tindak menyekat aktiviti manusa dari segi sosial dan ekonomi.
Tanah Melayu tidak ketinggalan dalam mengaplikasi kuarantin sebagai Langkah awal mencegah penularan penyakit. Satu Ordinan Kuarantin diwujudkan pada September 1868 yang mewajibkan semua kapal yang menggunakan Pelabuhan Negeri-negeri Selat termasuk yang membawa Jemaah haji untuk dikuarantin. Ordinan ini juga memberi penekanan terhadap amalan kebersihan diatas kapal dititikberatkan. Penglibatan penguatkuasa undang-undang dalam membantu keberkesanan kuarantin ditambah dalam enakmen undang-undang kesihatan.
Kuarantin dalam Arus Moden
Peningkatan akses kepada ilmu pengetahuan dan kajian-kajian berasakan sains dan logik telah banyak membantu memperkemas amalan kuarantin di dunia. Walaubagaimanapun mekanisme pengasingan yang digariskan tidak banyak bezanya dengan apa yang diamalkan sejak ribuan tahun dahulu. Pengesanan awal dan pengasingan masih dijadikan panduan utama dalam struktur kuarantin yang baik.
Amalan kuarantin pada ketika ini banyak dihiasi dan ditambah baik dengan hasil-hasil kajian saintifik tentang perkembangan penyakit berjangkit. Tempoh masa wajib untuk kuarantin juga spesifik untuk penyakit-penyakit tertentu. Penemuan-penemuan baru tentang penyakit terbabit akan terus diaplikasikan dalam menentukan keberkesanan dan hala tuju amalan kuarantin. Garis panduan yang ada akan terus disemak bagi memastikan amalan kuarantin tidak menganggu fungsi sosial satu sistem masyarakat. Kriteria dan penetapan yang bersesuaian dengan penyakit dan situasi masyarakat sentiasa menjadi aspek penilaian utama dalam menggaris panduan untuk amalan kuarantin.
Dalam pengendalian Covid-19 di Malaysia, pelbagai agensi terlibat dalam memastikan keberkesanan dan pematuhan terhadap tempoh kuarantin. Tempoh 14 hari yang ditetapkan adalah tempoh kritikal yang perlu dipatuhi untuk membantu mengekang penularan penyakit ini. Kejayaan melepasi tempoh ini berupaya membantu masyarakat untuk kembali ke fungsi normal dan meneruskan kelangsungan hidup. Produktiviti negara juga dapat dipertingkatkan sekiranya lebih ramai lagi dapat kembali ke arena pekerjaan dan sektor ekonomi.
Dr Afiq Amsyar adalah salah seorang Pegawai Perubatan yang kini bertugas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Foto ihsan Financial Times
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.