Kebebasan Bersuara dan Gejala Populisme

Kebebasan Bersuara dan Gejala Populisme

Berikutan tragedi pembunuhan yang berlaku di Perancis pada 16 Oktober 2020, ia telah mengundang pelbagai respon dan reaksi.

Samuel Paty, seorang guru lelaki berusia 47 tahun, yang mengajar murid middle-school di Conflans-Sainte-Honorine, kawasan yang terletak di luar bandar Perancis telah dibunuh oleh Abdoulallakh Anzorov yang baru berusia 18 tahun. Abdoulallakh adalah seorang imigran Rusia berbangsa Chechen.

Tragedi ini terjadi apabila Samuel menggunakan karikatur majalah satira - Charlie Hebdo, dengan gambaran yang memperlecehkan Nabi Muhammad ketika membahas subjek mengenai kebebasan bersuara.

Sama ada disedari atau tidak, tindakan ini menimbulkan satu lagi gelombang keganasan di Perancis, seolah pengulangan kepada apa yang berlaku ketika kali pertama karikatur ini diterbitkan awal 2015. Ia juga terangkum dalam beberapa siri reaksonari ekstrimis di Perancis yang pernah berlaku sebelum ini.

Isu ini bertambah hangat apabila respon melalui kenyataan Presiden Emmanuel Macron secara tegas mengatakan bahawa kerajaan Perancis tidak akan mengkritik tindakan Samuel Paty dengan sentimen kebebasan bersuara.

Sebaliknya Macron menyatakan Islam “in crisis” dan merencana rang undung-undang mengenai Séparatisme Islamiste bagi melancarkan perlawanan terhadap radikalisme agama (Islam). Kenyataan Macron mengenai Islam sebagai agama yang berada dalam krisis telah mengundang pelbagai respon pemimpin Islam dari perlbagai belahan dunia.

Melihat dua sudut pandang

Pertama, bagaimana seorang muslim dengan kebebasan bersuara dalam menghadapi radikalisme. Kedua, gejala politik populisme Macron yang mengusung penyebaran Islamofobia dan secara tidak langsung ditanggung bentuk sekularisme di Perancis.

Kebebasan Bersuara

Kebebasan bersuara didasarkan pada prinsip setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat, idea atau kepercayaan. Al-Quran sendiri mengiktiraf hak untuk setiap manusia mempunyai kepercayaan berdasarkan keyakinan yang dipercayai tanpa adanya paksaan kepada yang lain.

Malah mengingatkan supaya tidak melakukan penyalahgunaan agama untuk menghina agama lain. Oleh itu, setiap kebebasan yang diberikan harus mempunyai kebertanggungjawaban.

Kepelbagaian ini dapat dilihat; “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan” (30.22).

Tanwir al-Miqbas Min Tafsir Ibn Abbas karya al-Fairuzabadi, yang mengutip penjelasan Ibn Abbas, bahawa ayat ini sebagai pentunjuk kekuasaanNya bagi manusia yang menjadikan perbezaan bahasa dan warna kulit. Melalui ayat ini juga tercermin nilai-nilai multikulturalisme yang menjadi keniscayaan bagi fitrah manusia.

Sentimen kebebasan berekspresi atau kebebasan bersuara ala Macron ini, dapat dilihat sebagai hanya untuk mengusung agenda politik populisme. Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan penyebaran Islamofobia ini adalah sebuah langkah provokatif, sekali gus merupakan normalisasi penghinaan agama atas nama kebebasan bersuara

Gejala Politik Populisme

Berkenaan sekularisme di Perancis, laïcité yang menduduki posisi utama dalam identiti kebangsaan Perancis sebagai ketiadaan gangguan keagamaan dan menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari moto pasca-revolusi, iaitu liberté (kebebasan), égalité (kesetaraan), fraternité (persaudaraan).

Malah prinsip neutraliti yang terwujud untuk mengekalkan corak sekularisme di Perancis, sehingga neutraliti sekularisme ini menjadi sumber polisi dalam neutralisasi agama yang buruk menuju agama yang sesuai dengan bentuk sekularisme.

Selain terkait dengan populisme sayap kanan (right-wing), tetapi hal ini juga ditanggung bentuk sekularisme di Perancis – laïcité, yang berbeza dengan negara sekular lainnya.  

Seperti isu anti-hijab dalam ruang awam yang pernah berlaku sebelum ini terkait dengan bentuk laïcité yang menjadi sumber polisi di Perancis.

Kerana itu majalah satira Charlie Hebdo mendapat pengesahan untuk menerbitkan karikatur Nabi Muhammad atau Jesus (Nabi Isa), dengan sebab boleh menista agama tanpa menghina individu berdasarkan agama yang dianuti.  

Secara tidak langsung sekularisme di Perancis didasarkan unsur ethnonationalistic yang mewarisi prasangka yang buruk terhadap Islam. Namun, perlawanan sekularisme di Perancis terhadap fundamentalisme-radikalisme agama (Islam) telah diawali sejak 1980-an.

Tahun-tahun tersebut isu pendatang atau imigran menjadi semakin kompleks ketika kekhawatiran peningkatan keganasan dalam komuniti Muslim.          .

Polemik sebegini boleh juga dilihat dari sudut fiqh aqalliyat (fiqh minoriti). Sudah pasti untuk bicarakan tentang hal ini memerlukan ruang yang lain.

Apa Respon Kita?

Adalah sewajarnya menggalakkan kepada proses percambahan fikir, diskusi dan wacana yang lebih sihat, berbanding saranan boikot yang mungkin akan berkunjung kepada sebaran kebencian.

Dalam pergerakan sesuatu masyarakat, kita tidak boleh menafikan adanya kepelbagaian. Kerencaman ini harus diraih antara kita. Dialektika seperti ini harus dihormati.

Disinilah perlu adanya demokratisasi ilmu dan pendidikan. Dalam memainkan peranan sebagai wahana dan budaya. Untuk tradisi pencerahan dan pendidikan yang meluas dan merakyat, dalam membentuk peterana kebenaran bagi masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, kemajmukan yang kian lamanya kita warisi perlu disemaikan dengan saling memahami, saling menghormati, serta saling menjunjung kerukunan dalam kita bernegara.

Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara

Foto hiasan ihsan SETAV.org

Share this Post: