Kesihatan semestinya aspek penting dalam kehidupan semua manusia. Tidak ketinggalan aspek kesihatan mental yang perlu sentiasa diberi perhatian bukan sahaja staf kesihatan malah manusia sejagat. Kestabilan kesihatan mental adalah salah satu langkah penting dalam usaha mencegah dari berlakunya kejadian bunuh diri. Amnya di Malaysia, ramai tidak menyedari 10 September setiap tahun adalah tarikh yang diisytihar oleh World Health Organisation (WHO) sebagai “World Suicide Prevention Day”.
Bunuh diri dianggap sebagai fenomena global yang semakin parah situasinya. Dianggarkan lebih 800 000 kejadian bunuh diri dilaporkan diseluruh dunia setiap tahun. Secara purata satu kematian disebabkan kejadian bunuh diri berlaku dalam setiap 40 saat!! Kebanyakan kejadian bunuh diri, sebahagian besar berlaku akibat dari kegagalan dan kesihatan mental yang tidak stabil. Kebanyakan laporan dan kajian berkaitan kejadian bunuh diri mendedahkan bahawa kebanyakan negara di dunia ini berhadapan dengan kejadian bunuh diri yang majoritinya berlaku dalam kalangan anak-anak muda. Hal ini boleh menjejaskan produktiviti negara dalam usaha mencapai status negara maju.
Kejadian bunuh diri adalah termasuk dalam kategori kematian boleh dicegah. Namun begitu sukar untuk meramal kejadian ini kerana sebahagian tidak menunjukkan tanda-tanda yang ketara. Mereka yang terdedah kepada risiko bunuh diri juga bukan seperti penyakit-penyakit lain yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Peranan Individu
Setiap individu perlu ada kesedaran akan kejadian bunuh diri ini. Kebanyakan penyelidikan mendapati antara risiko berlakunya bunuh diri adalah “social isolation”. Hubungan yang baik antara manusia pula adalah antara langkah pencegahan yang baik. Kesediaan berkongsi masalah adalah penting dalam setiap individu. Rasa bersalah dan malu perlu diatasi supaya masalah boleh dikongsi dengan orang lain. Bukan jalan penyelesaian yang selalunya dicari, tapi sedikit dari tekanan dapat dilepaskan sekiranya masalah dikongsi.
Mengatasi dan menguruskan stress juga kunci utama mencegah bunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri berlaku apabila stress yang dialami individu melebihi kapasiti individu tersebut menguruskannya. Motivasikan diri dengan aktiviti yang sihat dan dapat kembalikan semangat dalam diri. Elakkan dari bersendirian dan kembali fokus kepada penyelesaian masalah apabila jiwa kembali tenang.
Peranan Masyarakat
Kesedaran terhadap kejadian bunuh diri ini perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat. Pengurusan kesihatan mental yang baik adalah kunci utama bagi mencegah bunuh diri. Suasana mental yang sihat perlu diamalkan setiap masa. Bermula dirumah, unit keluarga perlu mengalakkan perbincangan mengenai perkembangan semasa setiap ahli keluarga serta kemungkinan masalah yang sedang dihadapi.
Tempat kerja pula perlu dalam suasana yang lebih sihat. Hubungan antara rakan sekerja serta majikan perlu dipelihara supaya dalam keadaan yang optimum. Setiap masalah yang dialami perlu diurus dengan baik dalam kerangka kerja berpasukan. Persekitaran tempat kerja yang baik berupaya mengelakkan stress yang berupaya menjadi punca utama bunuh diri.
Peringkat komuniti pula, kesihatan mental boleh ditingkatkan dengan aktiviti-aktiviti yang mengalakkan kerjasama dalam komuniti. Penyertaan menyeluruh oleh setiap keluarga dalam komuniti boleh mengelakkan dari perasaan keseorangan. Ini juga akan mewujudkan sistem sokongan yang kuat dalam komuniti serta menjamin kesihatan mental yang baik.
Stigma masyarakat kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental serta ada sejarah cubaan bunuh diri perlu dikikis. Individu-individu ini perlu disantuni dan disokong. Kembalikan penyertaan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan supaya masa lebih terisi dan kembali fokus kepada meneruskan kehidupan.
Bunuh diri dapat dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan. Kajian lebih mendalam tentang faktor-faktor menyumbang kearah kejadian ini amat diperlukan. Aktiviti-aktiviti berkaitan kesedaran masyarakat tentang bunuh diri perlu dipergiat oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan. Mencegah bunuh diri dapat mencegah satu lagi punca kematian serta mewujudkan masyarakat yang lebih sihat. Produktiviti satu negara juga akan meningkat seiring dengan kestabilan kesihatan mental.
Dr Afiq Amsyar adalah salah seorang Pegawai Perubatan yang kini bertugas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Foto ihsan NPR
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.