Beberapa hari yang lalu saya menyaksikan sebuah pertunjukan sarkas. Binatang yang paling menarik perhatian saya, monyet. Pelbagai gelagat monyet saya saksikan. Ada yang segak berpakaian sut dan juga ada yang alim berkopiah. Ada yang teriak seperti anaknya hilang, spesies Babun.
Terdapat juga aksi monyet yang agak berusia senja, sedang mengherdik monyet si muda. Ada juga yang kelihatan bodoh, tetapi melucukan, seperti babi di Melaka. Bukankah memang kerja mereka untuk menghiburkan kita? Dan memang sudah menjadi kebiasaan sarkas akan menjadi sebegitu rupa?
Saya tidak pasti sekiranya manusia juga boleh berlakuan sebegini. Ini mengingatkan saya kepada tahapan kedewasaan intelektual dan spiritual manusia dalam karya Tadbir al-Mutawahhid (Regimen of The Solitary).
Karya ini merupakan karya Ibnu Bajjah atau nama lengkapnya Abu Bakar Muhammad ibn Yahya ibn Saikh ibn Bajjah. Ibnu Bajjah salah satu ahli falsafah (selanjutnya; filsuf) muslim penting di dunia Barat (yakni Andalusia), yang akrab dengan nama latinnya Avempace.
Karya utamanya, Tadbir al Mutawahhid yang menyatakan bahawa kota sempurna hanya dapat terjadi melalui kesempurnaan individu-individu yang memiliki kesatuan intelek (kecerdasan) dengan Aql al-Fa’al (Intelek Aktif).
Ibnu Bajjah sangat terpengaruh oleh al-Farabi dalam beberapa hal, boleh dikatakan bahawa falsafah politik dan etika Ibnu Bajjah beraliran Farabian. Dan keduanya meletakkan pemikiran bahawa ilmu mengatasi segalanya.
Namum, berbeza dengan al-Farabi yang secara optimis membangun kota ideal dengan watak seorang filsuf sebagai citra ideal seorang pemimpin. Ibnu Bajjah di sisi lain bersikap pesimis (putus asa) dengan aturan sosial ideal semacam itu.
Ibnu Bajjah menganjurkan untuk ber-mutawahhid, yakni semacam menjauhi realiti sosial yang tidak memungkinkan bagi para filsuf untuk dapat melakukan proses penaakulan (berfikir secara mendalam). Ibnu Bajjah juga tidak melihat kota ideal yang dicita-citakan al-Farabi, kerana menjadi hambatan bagi filsuf untuk memperoleh kesempurnaan intelektualnya.
Tetapi dalam dimensi yang lain, iaitu spiritual. Bagi Ibnu Bajjah jalan menuju keterhubungan dengan Akal Aktif (al-Aql al-Fa’al), dengan menjelaskan proses psikologis keterhubungan antara yang alamiah dengan yang ilahiah melalui susunan jiwa dan pengalaman kerohanian.
Jiwa dengan terhubungan bentuk-bentuk spiritual untuk mengantarkan tindakan-tindakan manusia menjadi bermakna. Tujuannya adalah mencapai pengetahuan universal yang ditandai dengan keterhubungan jiwa dengan Akal Aktif, yang mentransformasi manusia ke dalam kewarasan akal. Di sinilah, bagi Ibnu Bajjah, dapat dicapai kesempurnaan intelektual yang bersifat spiritual murni.
Manakala Ibnu Miskawaih atau nama lengkapnya Abu Ali Ahmad ibn Muhammad ibn Ya’kub ibn Miskawaih. Merupakan filsuf yang membicarakan tentang falsafah akhlak dalam karyanya Tahdhib al-Akhlak (Pendidikan Akhlak), memberi beberapa dasar pembagian daya jiwa, iaitu al-hikmah (kebijaksanaan), al-iffah (kehormatan diri), al-shaja’ah (keberanian) dan al-adalah (keadilan).
Dengan mengharmoniskan daya-daya itu serta tunduk kepada daya rasional yang dapat membezakan antara terpuji dan tercela sehingga tidak saling timpang-tindih bergerak ke tabiat buruk, dan inilah yang ia sebut dengan jalan tengah (al-wasat).
Perkara ini juga mengingatkan saya kepada syair Syauqi Bey, penyair kelahiran Mesir, “tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa. Sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.” Yang mana syair ini diungkapkan oleh Hamka dalam karyanya Lembaga Budi.
Budi sekiranya mengikut kata Sanskrit, iaitu buddhayah atau buddhi yang membawa maksud akal. Budi juga memberi maksud akan kebijaksanaan dalam keperibadian manusia. Juga terkait dengan nilai sejagat yang dikongsi oleh semua kehidupan manusia.
Kata budi lebih sesuai jika diartikan sebagai perilaku moral. Moral disini tentu mengacu pada pengertian umum, dari bahasa Latin; moralis – mos, moris, mores yang memberi maksud adat, kebiasaan, tingkah laku, tabiat, watak, akhlak dan cara hidup.
Hamka dalam banyak tulisan, dapat ditemukan pemikirannya tentang ajaran budi atau pesan moraliti dalam kebanyakan karyanya. Baik dalam sastera mahupun karya kepunjangganya. Seperti, Lembaga Budi, Tasawuf Modern, Lembaga Hidup, Akhlaqul Karimah, Falsafah Hidup dan lain-lain.
Dalam karya-karya ini, tampak bahawa Hamka memiliki perhatian yang sangat tinggi terhadap persoalan moraliti, baik bersifat individu maupun kelompok. Persoalan moraliti bagi Hamka merupakan tema penting kerana tidak hanya menyangkut kehidupan sosial individu dan masyarakat, tapi juga terkait dengan kehidupan berbangsa dan bernegara.
Hamka menjelaskan prinsip-prinsip moral dalam kepemerintahan yang harus dimiliki oleh setiap pemimpin negara. Hal ini dapat dilihat prinsip-prinsip moral yang dituangkan dalam karyanya Lembaga Hidup.
Antaranya, memberikan pelayanan terbaik untuk rakyatnya, “… jadikanlah Allah sebagai pemimpin di dalam segala pekerjaanmu. Dan rakyatmu jadikan masalah pertama yang akan kamu urus di dalam hidupmu sehari-hari. Itulah yang mula-mula diperingatkan Tuhan kepadamu.”
Tidak memperturutkan serakah, “Jangan mendekat kepada orang pendengki, jangan sayang kepada orang yang durjana. Jangan berhubungan dengan orang yang ingkar akan kebenaran. Jangan membenarkan pembawa fitnah. Jangan diambil fasik menjadi teman.”
Dan yang terakhir buat tulisan ini ialah mempunyai keberanian dan kemauan kuat untuk mengurusi langsung rakyatnya yang miskin itu, “… urusan fakir dan miskin atau orang yang tidak sanggup datang sendiri menyampaikan keperluannya, karena takut, hendaklah engkau kerjakan sendiri.”
Maka setiap perilakuan itu adalah membina atau menghancurkan, kemuliaan atau kecelakaan, keamanan atau peperangan, kasih sayang atau permusuhan. Bukannya seperti segerombolan monyet yang sorak sorai berpakaian berserba unggu berkopiah yang entah apa diperjuangkannya atas amanahnya.
Dan amanah itu dibentangkan kepada pelbagai makhluk seperti pesan Tuhan dalam al-Ahzab (72), “Sesungguhnya kami bentangkan amanah ke atas langit, bumi, dan gunung-ganang, lalu mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat melaksanakannya (kerana besarnya tanggungjawabnya), lalu manusia memikulnya. Sesungguhnya manusia itu suka melakukan kezaliman dan kebodohan.
Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara
Foto karya Banksy ihsan Artspace.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.