Tahun 2020 bukanlah tahun yang indah untuk komuniti dunia. Covid-19 telah mengubah kehidupan seantero dunia. Bermula dengan amaran dari negara China pada awal Januari sehingga Ogos 2020, Malaysia juga tidak terkecuali dari dihinggapi tetamu tidak diundang ini.
Langkah kawalan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak ini di Malaysia. Walau bagaimanapun, PKP menjadi ujian besar buat masyarakat di negara ini kerana impak sosial dan ekonomi akibat dari perlaksanaanya. Walau bagaimanapun langkah drastik ini tampak berhasil apabila menjelang Julai, bilangan kes penularan tempatan semakin menurun.
Namun beberapa insiden kealpaan masyarakat telah menjadi punca kepada kemunculan beberapa kluster baru. Kebimbangan ini ditambah dengan pengesahan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia terhadap kemungkinan virus Covid-19 yang termutasi dan lebih mudah menjangkiti orang lain berbanding sebelum ini.
Bagaimana Covid-19 menjangkiti orang lain?
Berbeza dengan spesis virus korona yang lain, Covid-19 dilihat lebih mudah berjangkit. Kebanyakan jangkitan virus, jangkitan terhadap individu lain akan berlaku pada ketika individu yang dijangkiti mempunyai gejala. Namun beberapa kajian tentang Covid-19 memperlihat terdapat eviden bahawa Covid-19 menjangkiti individu lain sebelum gejala muncul.
Ini menyulitkan proses isolasi dan kuarantin pada peringkat awal jangkitan oleh pihak kesihatan. Proses saringan tidak cukup dengan saringan gejala sahaja. Penilaian risiko secara menyeluruh diperlukan bagi memastikan individu berpotensi untuk dijangkiti tidak terlepas dari proses saringan. Risiko jangkitan yang tinggi ini juga memerlukan komuniti untuk lebih peka terhadap situasi sekeliling dalam menjalani kehidupan seharian.
Namun risiko jangkitan boleh dikurangkan sekiranya rakyat mengamalkan pematuhan terhadap Standard Operating Procedure (SOP) yang sering kali dicanangkan oleh pelbagai pihak berwajib. Peranan masyarakat di setiap peringkat komuniti amatlah dituntut bagi memastikan kemenangan kita dalam peperangan ini.
Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal - langkah ringkas ini membantu menghalang pemindahan titisan pernafasan (respiratory droplets) akibat batuk, bersin, sembang pada jarak dekat. Akhirnya, jangkitan dapat dihalang dan aktiviti sosial dapat diteruskan.
Kebersihan kendiri - amalan ini menjadi kunci utama dalam menghalang jangkitan bukan sahaja Covid-19 malah penyakit berjangkit yang lain seperti “hand-foot-mouth disease”, keracunan makanan, influenza dan lain-lain lagi.
Peka kesihatan - masyarakat perlu lebih peka akan status kesihatan diri dan juga orang sekeliling. Sebarang tanda awal gejala seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak perlu diambil perhatian lebih serius. Segera dapatkan rawatan di fasiliti-fasiliti kesihatan berdekatan.
Aktiviti sosial dan ekonomi dapat dilaksanakan sekiranya semua lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak ini. Kadar kes juga sudah pastinya akan berada dalam kawalan dan perlaksanaan PKP dapat dielakkan.
Kajian dan pencarian rawatan berkesan untuk menghadapi Covid-19 ini sedang giat dijalankan oleh pengamal perubatan, saintis di pelbagai negara. Tidak kurang juga negara-negara yang melibatkan diri dalam penghasilan vaksin yang berkesan untuk melawan jangkitan.
Sehingga kini, masih belum ada vaksin yang diyakini selamat dan boleh dikormesial utuk tujuan perlindungan kesihatan awam. Tindakan praktikal bagi melindungi diri dan masyarakat adalah “vaksin” yang tersedia untuk masyarakat. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti.
Dr Afiq Amsyar adalah salah seorang Pegawai Perubatan yang kini bertugas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Foto Ihsan MalayMail
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.