YUSUF AL-QARADHAWI: ‘ULAMA RAKYAT’ DAN MAZHAB-MAZHAB YANG PUPUS

YUSUF AL-QARADHAWI: ‘ULAMA RAKYAT’ DAN MAZHAB-MAZHAB YANG PUPUS

Nestapa – itu perasaan saya ketika membaca maklumat tentang tutupnya usia Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Saya termenung sambil mengimbau kembali memori sewaktu al-Qaradhawi berucap di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor.

Tatkala itu ada pesanan al-Qardhawi yang masih lekat di jiwa saya “iman mestilah seteguh gunung bagi menghadapi ujian-ujian yang bergelora bak ombak”. Kurang lebih begitulah pesanan beliau dalam bahasa Arab yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Suaranya masih lantang dan bersemangat walaupun sudah menjangkau usia delapan puluhan sewaktu itu.

Namun di sebalik nestapa, saya juga agak gusar. Saya ini bukanlah agamawan dan cuma manusia biasa. Oleh itu, apa yang mahu saya ceritakan cumalah pandangan saya secara peribadi terhadap al-Qaradhawi melalui pembacaan dan sebagainya tanpa menggunakan jargon-jargon fekah dan sebagainya.

Sejujurnya apa yang merisaukan saya selepas ini ialah – siapa lagi ulama berwibawa yang akan gigih dan berani mempertahankan keadilan buat rakyat terutamanya mereka yang miskin dan tertindas? Saya tahu bahawa ramai ulama yang akan menyambung perjuangan al-Qaradhawi namun sukar untuk berjumpa seseorang yang sangat gigih seperti beliau.

Beliau cekal memposisikan diri beliau bagi membela keadilan buat rakyat yang tertindas (mustadh’afin) dan berani mendepani rejim pemerintah yang zalim. Saya masih ingat dalam satu bacaan, yang beliau akan mengalirkan air mata setiap kali ditanya tentang seksaan di dalam penjara ketika beliau ditangkap semasa pemerintahan rejim Gamal Abdel Nasser di Mesir.

Beliau berani mengambil pendirian yang mempertahankan pengebom berani mati di Palestin. Kerana menurut beliau Zionis-Israel adalah rejim yang zalim. Walau ada fatwa lain yang mengatakan bahawa adalah haram untuk membunuh rakyat biasa, wanita dan kanak-kanak namun bagi al-Qaradhawi kebanyakan rakyat Israel sebenarnya adalah tentera (mendapat latihan ketenteraan dan menjadi tentera simpanan).

Malah beliau tegas melarang umat Islam daripada melakukan ziarah ke Al-Aqsa dan bumi Palestin kerana setiap pelawat memerlukan kebenaran dan pengesahan rejim Zionis-Israel. Bagi Qardhawi hal ini merupakan pengiktirafan dan tunduk kepada kuasa rejim tersebut.

Al-Qaradhawi gigih mempertahankan pendapat tersebut meskipun Barat mengecamnya. Ini tidak menghairankan kerana beliau sendiri sebenarnya terlibat – secara langsung dan tidak langsung – mempertahankan Mesir dalam siri Peperangan Arab-Israel. Oleh itu, beliau sudah pasti sangat memahami permainan dan tekanan rejim zalim Zionis-Israel yang mahu menguasai rantau Timur Tengah.

Paling diingati pastilah bagaimana al-Qaradhawi menyokong dan terlibat dalam gerakan revolusi musim semi khususnya di Mesir yang menjatuhkan rejim zalim Hosni Mubarak. Walaupun revolusi tersebut dituduh sebagai membangkitkan fitnah dan pemberontakan (bughah), beliau tetap kukuh berpendapat bahawa perhimpunan secara aman adalah dibenarkan dalam Islam.

Al-Qaradhawi juga sangat mengambil berat terhadap masyarakat miskin. Ini dapat kita lihat dalam pandangannya tentang zakat. Beliau menyatakan bahawa ‘haul’ ataupun jangka masa setahun bukanlah kewajiban. Ini menyanggahi pendapat majoriti ulama dan al-Qaradhawi sangat tegas mempertahankan pandangannya kerana beliau melihat masyarakat miskin perlu dibantu.

Pendapat tegas al-Qardhawi ini nyata kemudian dipersetujui ramai pihak. Lihat sahaja di Malaysia apabila zakat pendapatan boleh dibayar atau dibuat potongan setiap bulan tanpa perlu menunggu tempoh setahun.

Oleh itu bagi saya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah ‘ulama rakyat’ – sentiasa bersama rakyat marhaen dan memahami denyut nadi serta kesusahan mereka.

Al-Qaradhawi juga suka memberi pandangan dan fatwa yang memudahkan umat serta sederhana walaupun ia menyanggahi pendapat majoriti ulama – tetapi ia tidaklah sehingga mempermudah-mudahkan agama sehingga terlihat agama itu remeh. Ini kerana bagi beliau memudahkan urusan agama umat itu lebih menghampiri semangat Islam secara keseluruhannya.

Jika menelusuri penulisan dan hujah-hujah al-Qaradhawi pula, pandangan beliau sangat luas. Dalam mentafsirkan nas-nas agama iaitu Al-Quran dan Hadis, beliau tidak membataskan pandangan beliau kepada empat mazhab sahaja yakni Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali sahaja.

Al-Qaradhawi juga akan menggali semula semua kekayaan dan perbendaharaan keilmuan Islam sehabis boleh dari mazhab-mazhab yang telah pupus. Jika kita banyak membaca karyanya, beliau akan menukilkan pandangan-pandangan dari mazhab Al-Awzaie, Sufyan al-Thawriy, Al-Zahiri, Al-Tabari dan sebagainya.

Namun ramai ulama lain tidak bersetuju dengan sikap al-Qaradhawi kerana beliau cuma membaca kitab-kitab mazhab tersebut tanpa berguru – kerana mazhab tersebut sudah kepupusan pengikut. Namun bagi saya, jika tiada ulama yang berfikiran seperti al-Qaradhawi maka ajaran Islam akan semakin sempit sedangkan Islam adalah agama yang meraikan keluasan dan kepelbagaian.

Namun sebagai manusia biasa kita semua pasti berbuat salah dan silap, maka begitulah jua al-Qaradhawi. Moga salah dan silapnya serta ketidaktepatan ijtihadnya diberikan satu kebaikan. Khazanah ilmu tinggalannya pula moga akan memanfaatkan dirinya sendiri di sisi Ilahi dan menjadi sumber yang bermanfaat buat warisan umat.

Moga damai di alam abadi dan bertemu cinta azali.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Kredit foto: Yatim Mandiri

Share this Post: