Wenger: Pencetus Revolusi 'The Gunners'

Wenger: Pencetus Revolusi 'The Gunners'

Arsène Charles Ernest Wenger satu nama yang ‘suci’ bagi peminat Arsenal atau Gooners. Malah tidak sedikit Gooners yang mengganggap beliaulah pengasas kepada Arsenal - selalunya disebabkan namanya yang mirip dengan nama kelab utara London tersebut.

Lahir pada 22 Oktober 1949 di Strasbourg, bandar sempadan Perancis – Jerman, anak bongsu pasangan Alphonse dan Louise Wenger ini tinggal di Duppigheim. Namun disebabkan perniagaan keluarga, masa beliau lebih banyak terluang di Duttlenheim, kota bersebelahan kira-kira 10 batu di barat daya Strasbourg.

Kuah akan sentiasa tumpah ke nasi. Orang yang bertanggung jawab memperkenalkan Wenger kepada bola sepak ialah bapanya sendiri, seorang jurulatih pasukan bola sepak amatur di Duttlenheim. Wenger bermain di bawah bimbingan ayahnya, namun mereka sentiasa berdepan kesukaran untuk membentuk pasukan yang sebaya dek kerana populasi kecil kota tersebut.

Lahirnya Seorang Pengurus

Karier pengurusan Wenger berputik ketika beliau menyertai FC Mutzig pada usia 20 tahun, usia yang agak lewat untuk membina karier dalam bola sepak. Di FC Mutzig, antara rutin yang akhirnya menjadi asas kepada skil pengurusannya adalah menonton rakaman-rakaman perlawanan bola sepak Liga Jerman bersama pengurus pasukan dan mentornya ketika itu Max Hild.

Apabila Hild berhijrah ke RC Strasbourg, Wenger dibawa bersama namun hanya diserap ke dalam pasukan simpanan. Sebagai pemain pasukan simpanan, Wenger lebih banyak menghabiskan masa sebagai jurulatih kepada pasukan simpanan dan pasukan remaja.

Tugas kejurulatihan di RC Strasbourg akhirnya membawa beliau berkhidmat sebagai penolong pengurus di kelab Ligue 2, Cannes. Di bawah Wenger, Cannes gagal naik ke Ligue 1, namun kemaraan mereka ke peringkat suku akhir Piala Perancis membuka pintu buat Wenger untuk mengurus pasukan Ligue 1, Nancy.

Karier pengurusannya di Nancy bagaimana pun tidak begitu cerah. Tiga tahun Wenger di Nancy berakhir dengan kelab itu terperosok di tangga ke-19 Ligue 1 lantas disingkirkan ke Ligue 2.

Dari Nancy, Wenger dilantik menjadi pengurus AS Monaco. Tujuh tahun di AS Monaco, Wenger berjaya membawa mereka menjadi juara Ligue 1 pada musim pertamanya dan menjulang Coupe de France pada tahun 1991. Wenger namun dipecat oleh AS Monaco selepas kempen buruk sepanjang 1994-1995.

Keluar dari Eropah

Pemecatan dari AS Monaco membuka peluang kepadanya menimba pengalaman di luar Eropah. Jauh di negeri matahari terbit, Wenger mengemudi Nagoya Grampus Eight. Jepun ketika itu sedang menyusun semula sistem bola sepak negara mereka.

Di bawah pengurusan Wenger, Nagoya Grampus Eight memenangi piala pertama dalam sejarah mereka, Piala Maharaja disusuli Piala Super beberapa bulan kemudian.

Kejayaannya diiktiraf dengan anugerah Pengurus Terbaik Liga Jepun tahun tersebut. 

Ketika di Jepun, Wenger dihubungi semula RC Strasbourg yang berminat melantiknya sebagai pengurus. Tetapi Wenger menolak kerana telah terlebih dahulu dihubungi oleh Arsenal yang ketika itu sedang bergelut di bawah Bruce Rioch.

Revolusi Bermula

1996, pengurus lagenda ini mula diberi kepercayaan untuk mengemudi perjalanan bola sepak Arsenal. Begitu pun, pemilihannya sebagai pengurus telah menimbulkan persoalan kepada media di England.

‘Siapa Wenger?’ adalah persoalan yang dibangkitkan penyokong Arsenal kerana beliau kurang dikenali di England.

Pelantikan Wenger juga menimbulkan perasaan kurang senang pemain senior di dalam skuad ketika itu. Wenger dikenali sebagai seorang yang tegas dalam pengurusan pemain termasuk penjagaan diet dan pendekatan melalui sains sukan.

Dekad pertama Wenger bersama Arsenal boleh dianggap sebagai era emas beliau. Musim kedua di Arsenal, beliau berjaya membawa kelab tersebut memenangi ‘Double’. Arsenal berjaya merampas takhta Liga Perdana Inggeris daripada penyandang Manchester United dan turut memenangi Piala FA dengan mengalahkan Newcastle di Wembley.

Di samping menjadikan Gunners sebagai pencabar utama Liga Inggeris, Wenger berjaya mengubah taktikal dan gaya permainan Arsenal daripada pasukan yang hanya kental bertahan kepada pasukan yang bermain secara cantik dan bermentalitikan serangan.

2002 dan 2004, Arsenal memenangi dua lagi gelaran Liga Perdana Inggeris. Kejuaraan pada tahun 2004 boleh dianggap kejayaan paling manis. Arsenal berjaya memenanginya tanpa sebarang kekalahan, menjadikan Wenger sebagai satu-satunya pengurus yang pernah mengecapi pengalaman tersebut.

#WengerOut

Langit tak selalu cerah. Menjelang dekad kedua, Arsenal mulai hilang bisa dalam persaingan liga.

Perpindahan Arsenal ke stadium baru menyukarkan mereka bersaing dengan kelab-kelab yang ketika itu diambil alih oleh pemilik baru dari luar England melalui pelaburan skala besar. Arsenal hanya mampu menambah tiga kejuaraan Piala FA dalam dekad kedua Wenger sebagai pengurus.

Setelah hampir 22 tahun mengemudi Arsenal, Wenger akhirnya mengumumkan pengundurannya pada 2018. Kegagalannya memperbaiki kedudukan Arsenal dalam liga selama dua tahun terakhir sehingga menyebabkan Arsenal terlepas slot Liga-Liga Juara Eropah merupakan antara punca pengunduran beliau.

Demikian pun, Wenger tetap terus dikenali sebagai pengurus yang paling banyak menjuarai Piala FA iaitu sebanyak tujuh kali - 1998, 2002, 2003, 2005, 2014, 2015, dan 2017.

Sekarang beliau masih belum bersara dan masih berkhidmat sebagai dengan FIFA sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Dunia.

Sebagai seorang Gooners, tulisan ini hanyalah rakaman pengharagaan buat Wenger. Merci et Au Revoir, Le Professeur!

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto ihsan Reuters

Share this Post: