Wanita, Jangan Cair Dipujuk Kahwin Lari!

Wanita, Jangan Cair Dipujuk Kahwin Lari!

Isu kahwin lari di sempadan negara, terutamanya di Selatan Thai adalah isu yang selalu kita dengar. Ia muncul sebagai latar dalam drama tv, novel cinta dan banyak lagi. Mungkin semasa Perintah Kawalan Pergerakan sekarang, tidaklah banyak kes sebegini memandangkan rentas negeri telah dihalang, apatah lagi merentas sempadan negara.

Rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan isu ini. Bahkan ada kalangan kita yang memang lebih suka berkahwin di sana terutama apabila pengantin lelakinya adalah suami orang. Ada juga pasangan yang memilih untuk berkahwin di sana setelah tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.

Yang ingin saya kongsikan dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, perkahwinan di sempadan Thai ini meninggalkan kesan yang paling ke atas wanita berbanding lelaki.

Boleh Jadi Tidak Sah Taraf

Mungkin perkahwinannya nampak ‘real’ dengan kehadiran tok kadi dan saksi, tetapi ramai yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Lokasi pernikahan adalah perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu memandangkan hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf undang-undang. 

Bahkan, ada wanita yang jaraknya dengan wali tidak pun melebihi dua marhalah. Maka, kesan yang paling buruk buat wanita tersebut bila perkahwinannya jadi tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang. Perkahwinannya boleh jadi memudaratkan seperti membawa kepada persetubuhan suami isteri yang syubhah.

Anak Tidak Sah Taraf

Kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan tidak sah di Sempadan Thai adalah anak yang dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan bapa kandungnya dek ketiadaan sijil pernikahan yang sah, dan hanya ada maklumat ibu semata-mata. 

Jika si bapa masih hidup dan hanya belum buat pengesahan mungkin tidak menjadi masalah besar. Tetapi, bagaimana jika bapanya meninggal dunia atau hilang sebelum dibuat sebarang pengesahan?

Tanggung Nafkah Anak Sendiri

Rentetan daripada kelahiran anak tidak sah taraf, ibu dan keluarganya terpaksa memikul tanggungjawab mencari nafkah sendiri. Si bapa tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada anak memandangkan ia tidak dinasabkan kepada dirinya. 

Jika si ibu mahu menuntut perintah nafkah anak di Malaysia, mereka mesti melalui proses pengesahan pernikahan, nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak. 

Telah banyak peristiwa di mana pihak suami enggan peduli dengan nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia, apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi biologi, anak itu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-undang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.

Abai Hak Isteri

Dalam perkahwinan sebegini, tiada jaminan bahawa suami akan bertanggungjawab atas nafkah dan giliran yang adil andai berpoligami. Sedangkan pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun berhadapan masalah, inikan pula yang bernikah di sana. 

Untuk menuntut nafkah di mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami melalui pernikahan di Siam ini meninggalkan mereka dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas puas melepaskan hawa nafsu mereka.

Sukar Bercerai di Malaysia

Langit tidak selalu cerah. Rumahtangga sifatnya ada pasang surut. Ketika memujuk untuk berkahwin, semut dipijak pun tidak mati. Usai berkahwin, timbul isu nafkah, keganasan rumah tangga, layanan tidak adil bagi yang berpoligami, curang dan pelbagai lagi. Cerai adalah jalan keluar. 

Dalam situasi ini, isteri perlu memilih antara dua; cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia sebelum memohon cerai. 

Hak Selepas Cerai

Jika berlaku perceraian, membuat tuntutan seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan menjadi sebuah masalah. Selagi mana wanita tersebut tidak mempunyai sijil perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di mahkamah. 

Banyak wanita yang teraniaya dalam isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tidak sah taraf, apabila dicerai atau ditinggalkan, hak selepas perceraian pula dinafikan. 

Pusaka Suami

Andai suami meninggal dunia, timbul pu;a isu berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, KWSP, insurans, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya. Boleh jadi tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut juga seorang isteri. 

Oleh kerana pernikahan tersebut tidak disahkan oleh mahkamah, maka isteri dinafikan dari menuntut pusaka suami. Akhirnya kesemua pusaka hanya ditinggalkan kepada isteri pertama sahaja dalam kes berpoligami. 

Terdapat banyak lagi isu lain yang wujud berkaitan pernikahan Sempadan Thai ini. Yang pasti, wanita akan terus menjadi mangsa terbesar pujukan lelaki. 

Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Janganlah mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia. 

Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers

Foto ihsan Berita Harian

 

Share this Post: