Wanita dan Revolusi

Wanita dan Revolusi

“Tangan yang menghayun buaian boleh menggocang dunia”.

Kata-kata yang sering digunakan untuk menunjukkan impak yang wanita tonjolkan kepada dunia. Namun, terdapat interpretasi yang sedikit jumud terhadap ayat ini. Ada yang mentafsirkan ayat ini sebagai penanda bahawa wanita membentuk pemimpin – bayi di dalam buaian tersebut yang mampu mengubah dunia. Melihat kepada bentuk masyarakat yang kita diami sekarang, aku akan nyatakan dengan penuh keyakinan bahawa wanita itu sendiri yang menggoncang dunia. Tatanan masyarakat hari ini dibentuk dalam imej dan perjuangan para wanita. Sedia maklum, perkara yang boleh mengubah tatanan ialah revolusi dan wanita merupakan pencetus kepada dua revolusi teragung yang mengubah masyarakat global – Revolusi Perancis 1789 dan Revolusi Oktober 1917.

Kedua-dua revolusi agung ini mencorakkan pemerintahan dunia dengan menidakkan ketuanan monarki dan pemerintah imperial. Tatanan hasil dari revolusi ini mungkinlah berbeza – Revolusi Perancis membawa kepada idea liberal dan Revolusi Oktober idea komunisme dan sosialisme. Namun idea-idea besar ini hasil dari tangan wanita yang berani menggoncang dunia ini.

Roti – makanan ruji dan asas untuk Estet Ketiga (Third Estate), seperti golongan B40 di Perancis ketika era Pencerahan semakin lama semakin berkurangan. Satu kisah legenda yang disebut-sebut tentang Revolusi Perancis ialah kisah Marie Antoinette dan kek. Ketika kisah kebuluran dan kekurangan roti berleluasa sampai ke telinga Marie Antoinette, beliau yang merupakan Permaisuri kepada Louis XVI, dengan mudahnya berkata, “Bagi mereka makan kek (Let them eat cake)”. Jangan melawak dengan orang lapar – itu pesanan orang-orang lama. Marie Antoinette berkemungkinan melawak ataupun sememangnya tuli terhadap isu rakyat, apapun, kesannya kepada rakyat sungguh besar. Wanita-wanita Perancis mula merapatkan saf. Mereka mengambil tanggungjawab itu kerana hal domestik, termasuk harga makanan menjadi isu utama mereka.

Babak terpenting dalam Revolusi Perancis adalah satu peristiwa yang dinamakan Perarakan Wanita ke Versailles (Women’s March to Versailles). Pada 5 Oktober 1789, seorang wanita muda memukul gendang di pasar menandakan bermulanya panggilan untuk menuntut keadilan buat diri mereka. Paluan gendang itu telah mengerakkan ribuan wanita untuk menuntut supaya harga roti diturunkan. Mereka ke gereja terdekat dan membunyikan locengnya – menjadi semboyan kepada permulaan Revolusi Perancis. Perarakan itu kemudiannya disertai juga oleh lelaki-lelaki dari golongan Estet Ketiga. Jika bukan kerana wanita mula berarak ke Versailles kerana isu harga barang, Revolusi Perancis berkemungkinan akan berlaku lewat lagi, jika tidak berlaku langsung.

Sudah tentu dalam Revolusi Perancis, pastinya ada watak-watak penting yang boleh kita amati bersama. Antaranya ialah Pauline Léon, penggerak kepada kumpulan wanita militan yang menuntut hak mereka. Ketika Revolusi Perancis memuncak, Léon menghantar petisyen yang ditandatangani bersama 319 wanita ke National Assembly menuntut supaya wanita diberikan hak mengangkat senjata. Petisyen ini merupakan simbol semangat patriotik golongan wanita untuk mempertahankan negara mereka sewaktu mereka berisiko diserang oleh negara-negara jiran. Petisyen tersebut ditolak, namun Léon tidak berhenti di situ. Léon kemudiannya menubuhkan Society of Revolutionary Republican Women untuk mempertahankan Perancis dan menentang pengumpulan (hoarding) bijirin. Gaya militan Léon ini sehingga menculik pegawai kerajaan bagi menyatakan ekspresi ketidakpuasan diri mereka. Matlamat mungkinlah tidak menghalalkan cara, namun dalam kacau-bilau sebuah revolusi, pragmatisme menjadi instrumen utama.

Dalam Revolusi Oktober pula, watak paling utama semestinya ialah Vladimir Ilyich Ulyanov – atau lebih mesra dipanggil Lenin. Namun, disebalik sebuah revolusi yang berjaya, terdapat wanita-wanita yang menggerakkannya. Pada 1907, Konferens Wanita Sosialis (Conference of Socialist Women) menetapkan 8 Mac sebagai Hari Pekerja Wanita Sedunia – dan sedekad setelah penetapannya iaitu pada 8 Mac 1917, demonstrasi berskala besar telah diadakan oleh pekerja-pekerja wanita. Jawatankuasa Antara-Daerah Petrograd telah mengeluarkan risalah menggesa supaya pekerja wanita mengadakan mogok. Dalam risalah itu, elemen yang keras dipersoalkan adalah untuk apa perang dijaja walhal pihak musuh juga tidak menginginkannya. Perang dijaja hanya untuk kepentingan kapitalis dan mangsanya tetaplah golongan pekerja dan petani. Perang merupakan kejahatan kerajaan. Satu ayat yang menggerakkan golongan marhaen ini keluar ialah: Cukup! Jatuhkan kerajaan penjenayah ini bersama konconya sang pencuri dan pembunuh. Panjang Umur Keamanan!

Walaupun Empayar Tsar akhirnya tumbang, mereka tidak terus diganti oleh Soviet pekerja. Golongan aristokrat yang diwakili Putera Georgy Yevgenyevich Lvov mengambil alih tampuk pemerintahan dan kemudiannya diganti peguam Alexander Kerensky. Kerajaan yang mengambil kesempatan atas keringat golongan pekerja ini kemudiannya teragak-agak pula dalam menegakkan isu wanita sehingga pemimpin Bolshevik, Alexandra Kollontai menulis dalam Pravda – akhbar rasmi parti Bolshevik: Bukankah wanita yang terlebih dahulu turun ke jalan? Mengapa sekarang kebebasan yang dimenangi wira proletariat oleh kedua-dua jantina, oleh askar-askar dan isteri-isteri para askar, mengabaikan separuh populasi Rusia yang telah dibebaskan?

Golongan liberal mengambil kesempatan ke atas kemenangan golongan pekerja – ini menimbulkan amarah dalam kalangan golongan pekerja wanita. Oktober 1917, pemimpin pekerja wanita – dari kilang masing-masing seperti Concordia ‘Natasha’ Samoilova, Emilya Solnin, Vasina dan Vinogradova bertemu dengan Lenin di Smolny untuk meminta beliau mengambil alih kerajaan daripada Kerensky. Lenin membalas “Bukan aku, tapi kamu, golongan pekerja yang harus mengambil kuasa. Kembali ke kilang-kilang kamu dan sebarkan kepada rakan-rakan pekerja kamu”. Ini merupakan babak penting yang akhirnya menggesa revolusi kedua Rusia – Revolusi Oktober – revolusi yang membawa kepada kemenangan golongan pekerja.

Revolusi Perancis membawa kepada nilai-nilai liberal dan universal yang akhirnya menjadi tatanan dunia global sekarang – dan Revolusi Perancis dimulakan oleh para wanita yang menuntut keadilan dari pemerintah dan penurunan harga barang. Revolusi Oktober menyedarkan kita bahawa sesebuah negara itu boleh dipimpin oleh golongan pekerja yang berani melawan status quo – digerakkan oleh pekerja-pekerja wanita yang kental dalam perjuangan berbulan dan berdekad lamanya. Jika ini tidak menunjukkan bahawa frasa “Tangan yang menghayun buaian boleh menggocang dunia” mempunyai makna yang lebih besar dari sekadar membesarkan pejuang, aku tidak tahu tentang makna lain. Di Malaysia, sekalipun kita tidak ada revolusi besar-besaran, namun antara watak utama pembebasan dan kemerdekaan negara ialah wanita seperti Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani, Khatijah Sidek dan Suriani Abdullah. Revolusi, perjuangan dan pembebasan mungkinlah kekal sebagai mimpi jika semangat daripada golongan wanita ini tidak hadir bersama.

Panjang umur wanita, panjang umur perjuangan!

Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP.

Foto: EFERRIT.COM

Share this Post: