Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terutama sejak ledakan internet, ramai yang mula mempertikaikan vaksinasi. Anti-vaksin menjadi fenomena yang sering mengelirukan masyarakat. Semuanya timbul atas kurang kefahaman tentang apa itu vaksin.
Secara sejarahnya, vaksin pertama dicipta oleh Edward Jenner pada 1798 bagi melawan cacar air. Beliau mendapat inspirasi daripada seorang wanita ladang yang mengatakan bahawa dia tidak akan dijangkiti cacar air kerana pernah dijangkiti cacar sapi atau cowpox ketika kecil.
Eksperimen beliau berjaya apabila beberapa kanak-kanak termasuk anak kecilnya sendiri yang divaksinasi dengan cacar sapi tidak terjangkit cacar air yang ketika itu sedang mengancam nyawa masyarakat. Dua abad berlalu, dunia kini bebas cacar air hasil penemuan Edward Jenner.
Berbalik kepada pemahaman tentang vaksin yang perlu kita tahu, prinsip asas vaksinasi adalah memperkenalkan kuman atau bakteria yang menyebabkan penyakit tertentu kepada sistem imun tubuh.
Ini bertujuan supaya sistem imun tubuh mengenali kuman tersebut dan seterusnya menghasilkan antibodi yang boleh melawan kuman tersebut pada masa hadapan.
Perihal penting yang tidak difahami ramai adalah vaksin dicipta bagi mencegah penyakit, bukan untuk merawat penyakit selepas dijangkiti.
Vaksin menyediakan tubuh anda untuk melawan virus atau bakteria dengan lebih pantas dan efektif tanpa perlu mengalami kesakitan terlebih dahulu.
Kandungan utama vaksin adalah bahan aktif yang dipanggil antigen. Antigen ini diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.
Sebagai contoh, vaksin campak mengandungi antigen daripada struktur virus campak.
Antigen berfungsi merangsang sistem imun tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan terhadap penyakit tertentu.
Apabila vaksin disuntik ke dalam tubuh, sistem imun tubuh akan bertindak balas dengan menghasilkan protein yang dipanggil antibodi yang spesifik bagi melawan dan memusnahkan virus di dalam vaksin yang disuntik tersebut.
Oleh sebab virus di dalam vaksin telah dilemahkan atau dimatikan, ia tidak berupaya membuatkan anda dijangkiti dan jatuh sakit.
Setelah melawan dan memusnahkan virus, antibodi yang dihasilkan itu akan kekal berada di dalam tubuh, memberi anda imuniti. Jika anda terdedah terhadap virus yang sama lagi, walaupun setelah beberapa tahun, antibodi tersebut akan tetap melindungi anda.
Ini menjelaskan kenapa anda cuma mengalami demam campak atau cacar air sekali seumur hidup.
Menurut World Health Organization (WHO), dunia kini mempunyai vaksin untuk mencegah lebih daripada 20 penyakit yang mengancam nyawa seperti difteria, polio, tetanus, pertusis, influenza dan campak. Kini, kira-kira 2 hingga 3 juta nyawa dapat diselamatkan setiap tahun dengan imunisasi.
Sebelum sesuatu vaksin diluluskan, Food and drugs Administration (FDA) mengawasi ujian makmal vaksin secara ekstensif, di mana peringkat ini memerlukan sekurang-kurangnya beberapa tahun untuk memastikan ia selamat dan berkesan. Selepas peringkat ujian makmal, vaksin akan diuji terhadap manusia. Peringkat ini juga mengambil masa selama beberapa tahun lagi sebelum kajian klinikal selesai dan vaksin diberikan lesen.
Vaksinasi adalah kaedah yang berkesan, selamat dan mudah untuk membantu menjaga kesihatan anda. Sehingga hari ini, tiada bukti saintifik yang menunjukkan vaksin berbahaya.
Kumpulan-kumpulan atau individu yang giat mempromosikan anti-vaksinasi ini kebanyakannya hanya bersandarkan kepada pemahaman salah tentang vaksin, atau pun teori konspirasi sahaja. Ketakutan yang lahir dari kurang pengetahuan adalah penyakit yang tiada vaksin.
Vaksinasi bukan sekadar melindungi individu. Dengan jumlah pengambilan vaksin yang tinggi, vaksin berupaya membantu melindungi masyarakat. Ini dipanggil imuniti kelompok atau herd immunity. Imuniti kelompok ini jugalah sebab kenapa anak yang tidak divaksin turut terlindung dan tidak dijangkiti penyakit yang mengancam nyawa dalam kalangan masyarakat.
Tidak ada apa yang perlu dikelirukan tentang vaksinasi. Sesungguhnya mencegah lebih baik daripada merawat. Malah, seluruh dunia kini juga setuju bahawa jalan keluar kepada krisis pandemik yang melanda dunia sekarang juga adalah vaksinasi. - ALTERNATIF
Foto ihsan NPR
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.