TUNA SEGAR VS TUNA DALAM TIN

TUNA SEGAR VS TUNA DALAM TIN

Ikan tuna adalah ikan air masin yang tergolong dalam keluarga Scombridae, biasanya dipanggil kumpulan makarel.

Ikan tuna dari pelbagai spesies boleh ditemui di semua lautan dunia. Ikan tuna kebiasaannya melakukan penghijrahan merentasi dari satu lautan ke lautan yang lain, kadang kala beribu-ribu batu jaraknya, atas faktor mengawan dan perubahan musim.

Jangka hayat ikan tuna berbeza bagi setiap spesies, daripada tiga hingga lima tahun dan ada sesetengah spesies dilaporkan boleh mencecah sehingga dua dekad.

Dilaporkan terdapat 15 jenis ikan tuna di seluruh dunia. Di Malaysia, industri tuna terbahagi kepada dua iaitu tuna Oseanik dan tuna Neritik.

Empat spesies utama tuna Oseanik ialah Tuna Sirip Kuning (Yellowfin Tuna), Tuna Mata Besar (Bigeye Tuna), Tuna Albakor (Albacore Tuna) dan Aya Jalur (Skipjack Tuna).

Manakala, spesies tuna Neritik di perairan Malaysia pula terdiri daripada Aya Hitam (Longtail Tuna), Aya kurik (Kawakawa), Aya Selasih (Frigate Tuna) dan Aya Peluru (Bullet Tuna).

Ikan tuna merupakan ikan yang mudah didapati secara global, namun penangkapan yang berlebihan menjadikan sesetengah spesies ikan tuna terancam dan hampir pupus.

Majoriti spesies yang mendapat permintaan tinggi di pasaran terdiri daripada empat spesies iaitu Aya Jalur, dengan permintaan lebih daripada separuh daripada tangkapan tuna global, diikuti dengan Tuna Sirip Kuning, Tuna Mata Besar dan Tuna Albakor.

Tuna sirip biru (Bluefin Tuna), contoh spesies tuna yang sangat terancam hanya membentuk 1% daripada tangkapan global.

Selain mudah ditemui dalam industri perikanan, ikan tuna juga mengandungi komponen-komponen yang menyumbang kepada kesihatan yang baik menjadikan ikan ini mendapat permintaan yang tinggi serta merupakan salah satu makanan laut yang popular di seluruh dunia.

Daging ikan lembut berwarna merah gelap itu merupakan sumber pemakanan terbaik untuk kesihatan dan sangat digemari terutamanya oleh mereka yang menjaga diet dan khasiat makanannya.

Antara khasiat ikan tuna ialah membekalkan sumber protein, iodin, selenium, zink, kalsium, vitamin A dan B12. Tuna adalah sejenis ikan berlemak yang mengandungi Vitamin D dan lemak Omega-3 (EPA & DHA) yang menawarkan banyak manfaat kesihatan.

Di sebalik semua manfaat ini, mungkin ada yang tertanya-tanya adakah tuna yang telah diproses dalam tin sebenarnya sihat atau tidak? Dan adakah selamat untuk dimakan?

Ikan tuna segar boleh bertahan hanya kira-kira seminggu tanpa air manakala ikan tuna dalam tin boleh bertahan sepanjang tahun, jauh lebih lama berbanding ikan tuna segar.

Dari segi kandungan nutrisi, nutrisi ikan tuna segar dengan ikan tuna yang dipek di dalam tin boleh berbeza mengikut jenama dan cara pembungkusan ikan tuna tersebut.

Terdapat 2 kaedah penyimpanan ikan tuna di dalam tin, iaitu dipek bersama air atau dipek bersama minyak.

Bagi ikan tuna yang dipek di dalam tin bersama minyak, kandungan kalori dan lemak hidangan tersebut tentunya melebihi ikan tuna yang dipek bersama air dan ikan tuna segar.

Kandungan lemak Omega-3 dalam ikan tuna yang dipek bersama air didapati lebih tinggi berbanding ikan tuna segar dan ikan tuna yang dipek bersama minyak di dalam tin.

Lemak Omega-3 seperti DHA dan EPA adalah lemak penting yang diperlukan dalam diet. DHA sangat penting untuk kesihatan otak dan mata. Badan kita tidak dapat menghasilkan lemak Omega-3 ini secara semula jadi. Oleh itu, lemak ini hanya boleh diperoleh daripada makanan seperti ikan tuna, salmon dan tenggiri.

Walau bagaimanapun, ikan tuna yang dipek di dalam tin sama ada bersama air atau minyak, mengandungi kandungan sodium yang jauh lebih tinggi berbanding ikan tuna segar.

Ikan tuna sangat bagus dimakan segar. Namun, ikan tuna yang dipek di dalam tin juga merupakan sumber protein yang baik bersama khasiat yang sama seperti ikan tuna segar.

Bagi ikan tuna yang telah dipek di dalam tin, kandungan nutrien adalah berbeza antara jenama dan cara pembungkusan. Oleh itu, sebaiknya disemak label.

Pilih ikan tuna dengan kandungan Omega-3 yang tinggi, kurang kalori, lemak dan sodium, tanpa MSG dan diproses secara minimum.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.dof.gov.my/perkhidmatan/perikanan-tangkapan/pelesenan-tuna/

https://www.healthline.com/nutrition/is-canned-tuna-healthy#bottom-line

https://www.healthxchange.sg/food-nutrition/food-tips/tuna-health-benefits-fresh-versus-canned

Kredit foto: foopers.in

Share this Post: