Tentang Darurat (?)

Tentang Darurat (?)

Maksud Secara Istilah

Apa itu darurat sebenarnya? Secara istilah darurat ialah perkataan Melayu yang berasal daripada perkataan Arab. Di dalam bahasa asalnya darurat boleh diertikan sebagai keperluan asas bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia (dan di akhirat). 

Di dalam bahasa Inggeris darurat dinyatakan sebagai (state of) emergency. Sebagai umat Islam pula saya yakin kita amat mengerti bahawa situasi darurat membolehkan kita mengambil sesuatu yang haram (namun pada kadar dan bila perlu sahaja). Ini sudah cukup untuk menggambarkan situasi semasa yang cemas dan terdesak.

Maksud Secara Undang-undang

Secara undang-undang darurat boleh dirumuskan sebagai suatu situasi yang mana kuasa pentadbiran kerajaan (eksekutif) diperkukuh atau diperkuat demi melindungi keselamatan rakyat. Ia memudahkan urusan pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan atau menetapkan sesuatu polisi yang pada kebiasaannya perlu melalui proses semak imbang oleh Parlimen (legaslatif) dan sebagainya.  

Punca Kuasa

Sebelum terlewat, saya sedar bahawa telah banyak artikel dan tulisan yang menyentuh tentang isu ini dan saya sedikit terlambat. Namun ada sesuatu yang perlu kita bincangkan serta perlu kita tahu iaitu apa sebenarnya sebab dan prasyarat sesuatu Proklamasi Darurat? Ini akan kita rungkai kemudian.

Punca kuasa darurat ada dicatat di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia menyatakan bahawa (Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan) Agong berkuasa mengisytiharkan darurat sekiranya terdapat ancaman terhadap tiga perkara iaitu (i) keselamatan negara, (ii) kehidupan ekonomi dan (iii) ketenteraman awam.

Prerogatif atau Kuasa Budi Bicara?

Ada sarjana yang menyatakan bahawa pengisytiharan darurat adalah kuasa prerogatif Agong. Namun saya secara peribadi lebih bersetuju dengan pendapat sarjana yang menyatakan ia adalah kuasa budi bicara dan bukannya prerogatif. Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyatakan tentang kuasa prerogatif Agong melainkan kuasa budi bicara sahaja. 

Secara undang-undang, kuasa prerogatif bersifat lebih mutlak berbanding kuasa budi bicara. Namun dalam hal ini – untuk melantik Perdana Menteri misalnya, kuasa yang dinyatakan di dalam perlembagaan ialah kuasa budi bicara dan bukannya kuasa prerogatif walaupun Agong bertindak sebagai ‘sole judge’ (tanpa nasihat sesiapa).

Ini kerana kuasa prerogatif ialah kuasa warisan yang telah termaktub sebelum wujudnya sesuatu perlembagaan lalu ia dikekalkan. Kuasa prerogatif cuma ada pada Raja-Raja yang memerintah negeri masing-masing. Malah darurat Tanah Melayu pada 1948 hingga 1960 diisytihar tanpa kuasa Agong yang masih lagi belum wujud ketika awal perlaksanaannya.

Bertindak atas Nasihat Pentadbiran Kerajaan

Pasti kita semua sedar bahawa darurat bukannya untuk suka-suka. Dalam situasi Malaysia, sesuatu pengisytiharan darurat akan terlebih dahulu diusulkan oleh pentadbiran kerajaan yang memerintah. Sekiranya Agong berpuas hati dengan nasihat pentadbiran kerajaan maka Baginda akan mengisytiharkan darurat. 

Contoh-contoh Pelaksanaan Darurat

Jika dilihat kepada pelaksanaan darurat yang lalu, kesemuanya disebabkan ancaman yang membawa mudarat besar. Contohnya di peringkat nasional – ancaman komunis, peristiwa Konfrontasi oleh Indonesia terhadap Malaysia (1964) dan rusuhan kaum 13 Mei (1969).

Di peringkat negeri pula misalnya kemelut politik Sarawak (isu melibatkan Ketua Menteri Sarawak – Stephen Kalong Ningkan, 1966) dan pertikaian politik di negeri Kelantan (Isu melibatkan Menteri Besar Kelantan – Datuk Mohamed Nasir, 1977).

Malah darurat pernah diisytiharkan di Sarawak akibat jerebu teruk (1997). Malah beberapa daerah seperti Kuala Selangor dan Klang juga pernah diisytihar darurat akibat jerebu (2005).

Yang terbaru akibat Covid-19(?).

Sebab

Bukan maksud penulisan ini untuk menilai budi bicara Agong dan perkara apa yang membuatkan Baginda berpuas hati. Namun kita mahu membicarakan apa sebab penting yang membolehkan pentadbiran kerajaan mengusulkan nasihat kepada Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat?

Apakah perlembagaan mendiamkan diri tentang perkara ini? Tentu sahaja tidak. Di dalam perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ada tertulis perkataan “darurat besar”. Namun apa maksud darurat besar? Prasyaratnya tidak dihurai secara terperinci.

Prasyarat

Berdasarkan contoh di atas, tumpuan perbincangan kita tentulah darurat peringkat negeri dan nasional. Ini kerana ia melibatkan penggantungan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen serta menjejaskan banyak sektor secara besar-besaran.

Seperti yang telah kita tahu, Proklamasi Darurat hanya diisytiharkan jika terdapat ancaman (darurat) besar. Ancaman tersebut tidak lagi boleh ditangani oleh sistem demokrasi kerana ancaman tersebut turut menjejaskan sistem demokrasi itu sendiri. Inilah prasyarat kepada pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Oleh kerana sistem demokrasi lumpuh atau terjejas teruk, maka pentadbiran kerajaan mengumumkan darurat. Ini membolehkan pentadbiran kerajaan melangkaui proses demokrasi yang terjejas teruk atau tidak berfungsi itu. 

Namun apakah itu realiti darurat yang sedang kita lalui sekarang ini?

Jika sebenarnya sistem demokrasi masih terbukti berjalan lancar, mengapa ia perlu digantung? Bukankan musyawarah dan demokrasi itu sendiri lebih baik bagi menyelesaikan setiap masalah?

Demokrasi vs Darurat

Walaupun darurat itu seumpama mengatasi sistem demokrasi, namun sistem demokrasi sendiri yang membenarkan keadaan tersebut jika wujud sebab dan prasyarat yang dinyatakan. Namun yang menjadi tanda tanya – dalam kes ini – apakah majoriti ahli Dewan Rakyat bersetuju kerana ia adalah salah satu manifestasi sistem demokrasi.

Kebiasaannya usul pentadbiran kerajaan adalah usul majoriti. Namun jika usul pentadbiran kerajaan adalah usul minoriti, ini amat janggal dan membimbangkan kerana ianya menimbulkan tanda tanya – apakah usul nasihat darurat datang daripada golongan minoriti di dalam Dewan Rakyat?

Persoalan 

Persoalannya kini, apakah pelaksanaan darurat kerana Covid-19 ini memenuhi prasyarat-prasyarat dan asbab yang telah dibincangkan? Tidak cukupkah dengan segala macam S.O.P. dan perintah kawalan pergerakan? 

Jika penempatan di hospital dan pusat kuarantin yang tidak mencukupi, pernahkah sebelum ini pihak-pihak yang berkenaan diajak berbincang? Malah kini diberitakan bahawa kerjasama pihak pusat perubatan swasta amat baik tanpa perlu pentadbiran kerajaan menggunakan ordinan darurat.

Persoalan yang jauh lebih besar, apakah wujud ancaman yang cukup besar terhadap proses demokrasi sehingga darurat perlu diisytihar? Atau darurat itu sendiri yang merosakkan demokrasi?

Atau apakah ekonomi cukup terancam untuk membolehkan perisytiharan darurat? Atau darurat itu sendiri yang mengancam ekonomi dan membuatkan para pelabur lari?

Kalian tentukan jawapan kalian sendiri.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Malay Mail

Share this Post: