Surat Terakhir Untuk Annelies (Bhg 2)

Surat Terakhir Untuk Annelies (Bhg 2)

Setahun berlalu, sejarah 9 Mei itu terus menjadi sesuatu yang diromantiskan untuk mengenang amanah dan mandat rakyat yang diberikan kepada kerajaan baharu ini. Romantisnya hingga dibuat acara rasmi untuk mengingati hari bersejarah ini dan mujur sahaja tidak diumumkan jadi hari cuti am seluruh negeri ini.

Waktu terus bergulir memasuki tahun seterusnya, tahun 2020, dan rupanya apa yang terjadi pada 9 Mei 2018 bakal menjadi tulah kepada rakyat jelata di bulan Februari tahun lompat itu.

Pembelotan berlaku. Komplot demi komplot dari pekung para politikus yang sudah lama menyimpan rencana mula disajikan di atas meja demokrasi negeri ini.

Perubahan kerajaan yang sepatutnya berlaku melalui peti undi pilihan raya rupanya boleh dilakukan melalui rapat rahsia di hotel. Topeng-topeng menutup paras khianat juga dibuka atas kerelaan sendiri, tanpa segan silu menayang wajah mereka di hadapan rakyat jelata yang masih bingung dipukul realiti.

Ternyata Annelies, bahawa intelektual dan integriti adalah dua hal yang berbeza. Jangan mudah kau percaya bicara orang yang nampak intelektual tapi tidak punya integriti kerana intelektualiti mereka itu juga belum tentu diraih dengan cara yang berintegriti juga.

Bagaimana semua ini boleh berlaku hanya dengan satu pertemuan di sebuah hotel? Jawabnya: angka. Seseorang itu boleh menjadi Perdana Menteri apabila majoriti ahli Parlimen menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri. Bukan rakyat, bukan kita, Ann.

Kita memilih mereka sebagai ahli Parlimen tetapi mereka bisa sahaja menukar Perdana Menteri atau kerajaan bila-bila masa dengan menukar sokongan mereka. Hanya dengan begitu sahaja, kita mendapat kerajaan baru pada tahun 2020 ini. 

Democracy is so overrated, begitu kata-kata Francis Underwood yang begitu tepat untuk menceritakan babak sejarah negeri ini.

Tetapi tidak adil juga jika pembunuhan demokrasi ini berlaku disebabkan pembelotan semata. Tidak, Ann. Bahkan pembelotan ini juga berlaku apabila janji untuk berundur, memberi laluan kepada yang dijanjikan untuk menjadi Perdana Menteri tidak ditunaikan.

Berdolak-dalik dengan tarikh yang tidak pasti sehingga berlakulah perubahan kerajaan yang tidak diminta ini.  Di seberang sana, di pihak yang kalah, sentiasalah mereka mengintai-intai ruang dan peluang untuk kembali berkuasa dan menyerakah kekayaan negeri ini.

Begitulah hakikat orang yang mabuk kuasa- tiada segan silu menerima pembelot asalkan dapat kembali berkuasa. Apakah kau melihat ada perbezaan antara mereka ini dan penjajah yang bersekongkol dengan pembelot untuk memusnahkan empayar Melaka satu ketika dahulu?

Selain janji yang dipermainkan, ramai juga di kalangan mereka yang sudah menjadi kerajaan itu sudah lupa akan amanah dan mandat rakyat; masing-masing sudah hidup dalam realiti yang terpisah daripada realiti rakyat. Janji-janji yang bertaburan hanya tinggal janji yang tak tertunaikan. Perkahwinan bawah umur masih terus dihalalkan. GST dihapuskan tetapi diganti dengan cukai yang baru; hasilnya tiada apa yang berubah.

Hidup rakyat hari demi hari sama jugalah keadaannya. Gelandangan masih juga hidup beratapkan langit tiada diberi bantuan untuk mencari kerja dan kehidupan yang lebih baik. Harga rumah pula masih terus menjadi mampu lihat dan jauh sekali daripada menjadi mampu milik.

Berapa kali rakyat dihadapkan dengan alasan bahawa korupsi telah merosakkan ekonomi negara maka rakyat harus berjimat-cermat dan bantuan jangan lagi selalu diharap tetapi pada masa yang sama mereka ini bebas menghabiskan duit ke sana ke sini, menaiki pesawat kelas bisnes ke luar negara atas nama lawatan kerja dan berlebihan pula apabila mengadakan majlis-majlis rasmi.

Alhasil, pemerintahan negeri yang kita cintai ini Ann bertukar tangan kepada sebuah kerajaan lain.

Aku menulis ini bukan hanya ingin berkeluh kesah tetapi aku mahu menceritakan, menjadikan ia satu fakta atau memori kepada kita berdua akan apa yang terjadi kepada negeri ini di tahun 2020. Meskipun situasi ini bisa berubah bila-bila masa dari sekarang, aku hanya ingin mengkhabarkan padamu bahawa ini adalah tulisan dan surat terakhir untukmu Annelies.

Terakhir untuk aku ceritakan soal isi semasa tanah air tercinta ini. Tiada penjelasan yang perlu diberikan; aku mohon engkau mengerti. Jika terdetik di hatimu untuk mempercayai politikus yang mencicit janji dan harapan yang menggiurkan, maka ingatlah isi surat ini.

Jika terlintas di fikiran untuk menimbang masuk ke dalam politik, maka bacalah kembali surat ini. Kerana harus kau ingat, Annelies, bahawa kehidupan di akhirat nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas segala hal yang kita lakukan di dunia ini.

Hidup berimankan politik, menurutku bukanlah satu jalan yang selamat dan menjamin kebahagiaan di akhirat kelak. Masih banyak lagi cara untuk kau membantu dan berbakti kepada rakyat di negeri ini bahkan lebih senang dan lebih banyak hal yang kau boleh lakukan tanpa melibatkan politik.

Justeru, surat ini, yang kutulis dari awal dengan niat untuk mengingatkanmu bahawa politik itu satu jalan yang penuh dengan serakah untuk memenuhi kepentingan sendiri. Jangan kau terpedaya malah begitu polos juga untuk mempercayai politikus yang menjerit integriti, anti-rasuah, berjiwa rakyat dan pendukung demokrasi nombor satu kerana engkau tidak tahu kalau-kalau badan dan hati mereka itu penuh berkusta dengan sifat seorang Kitol.

Juga, surat ini untuk kukhabarkan padamu bahawa kami yang dikhianati pada tahun ini akan menuntut bela daripada mereka yang mengkhianatinya di akhirat kelak kerana mengkhianati undi kami yang sakral dua tahun yang lalu.

Salam takzim dan cinta,

Z.Zainuddin

10 Mei 2020

17 Ramadhan

Zharif Zainuddin adalah seorang penulis di bawah terbitan ILHAM Books. Surat-surat untuk Annelies adalah buku kedua beliau selepas Tuhan Bukan Manusia yang diterbitkan penerbit sama.

Share this Post: