Surat Terakhir Untuk Annelies (Bhg 1)

Surat Terakhir Untuk Annelies (Bhg 1)

Kepada Annelies,

Kali terakhir aku menulis kepadamu adalah lima tahun yang lalu. Lewat surat-surat yang kukirim menjadi sebuah buku yang diterbitkan. Kalau mengikut kepercayaan umum, ia adalah flop kerana tidak disambut sehangat Tuhan Bukan Manusia. 

Dalam erti kata lain, ia gagal. Tak balik modal kepada penerbit. Tapi bukan ini tujuannya aku menulis setelah kali terakhir aku menulis kepadamu lima tahun yang lepas.

Engkau sudah tahu apa yang terjadi kepada negeri ini di tahun 2015 - banyak perkara yang masih sama tidak terusik, status quo sehingga hari ini. Ada juga yang berubah dan sudah tiada: sebagai contoh, GST.

Sayang sekali, nasib rakyat sama juga tidak berubah kerana harga barang masih sama meninggi meninggalkan kita yang tidak punya cukup duit untuk menyabung nasib di kemudian hari. Ini lebih jelas nampaknya dengan kehadiran wabak Covid-19 dan ribuan rakyat kehilangan pekerjaan, sumber untuk meraih kertas bernilai wang ringgit untuk membeli keperluan asas.

Tapi ada satu perkara yang sempat berubah sebelum ia kembali ke rupa asal yakni sangkaanku bahawa pihak pembangkang di tahun 2015 mempunyai satu perjalanan yang masih jauh untuk menjadi kerajaan dan menakluk Putrajaya.

Tiga tahun selepas aku menulis surat-surat itu kepadamu, negeri kelahiranmu ini akan menghampiri usia matangnya untuk menjalani pilihan raya. Maka telah ditetapkan perseteruan antara kerajaan Barisan Nasional dan Parti Pakatan Harapan yang mana jika ia menang, maka mantan Perdana Menteri keempat negeri ini akan kembali menjadi Perdana Menteri.

Entah bagaimana mereka di pihak pembangkang boleh menelan liur dendam dan kesumat lantaran pernah menjadi mangsa politik figura itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tapi benarlah kata orang, dalam politik tiada kawan atau lawan yang abadi. Yang ada dan wujud adalah kepentingan bersama.

Ditakdirkan Tuhan Semesta Alam, Malaysia menerima kerajaan baru pada 9 Mei 2018 dengan mengangkat bekas Perdana Menteri keempat sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Engkau pasti mahu tahu sama ada aku turut mengundi, mencatatkan diri dalam sejarah negara yang julung kalinya menumbangkan kerajaan maha korup pimpinan Perdana Menteri keenam kita itu. Jawapannya tidak. Aku tidak mengundi.

Asbabnya satu: aku skeptikal kalau pembangkang yang menang itu benar-benar akan mengisi makna reformasi atau apa yang dilaungkan sebagai Malaysia baharu. Aku ragu kalau itu hanya sekadar perencah menyedapkan rasa janji waktu berkempen dan nanti nasibnya tak ubah seperti karipap angin: besar di luar tapi isinya sikit sekali.

Tapi pada masa yang sama, aku menyokong malah mengapikan semangat mereka yang mahu mengundi bekas Perdana Menteri kita itu untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Ibu bapaku khuatir kalau mereka mengundi pembangkang nanti undiannya diketahui oleh kerajaan dan mereka akan dihukum. Kuhapuskan rasa khuatir itu dengan menghantar hujah-hujah pakar perlembagaan negeri ini kepada mereka yang dengan tegas dan jelas menyatakan bahawa undi mereka adalah hak sebagai seorang rakyat yang tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun.

Mereka juga tidak layak dihukum hanya kerana mengundi calon yang mereka mahu menjadi pemimpin mereka. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk istiqamah dengan pilihan asal. Lebih signifikan, mereka mengundi calon Perdana Menteri ketujuh itu sendiri, di kawasan Parlimennya yang pernah menjadi sumpahan tujuh keturunan wanita bernama Mahsuri.

2018, Kerajaan Pakatan Harapan bersama nafas Malaysia Baharu mentadbir negara ini dengan dua jenis rekod: Perdana Menteri yang paling tua usianya dan seorang Menteri yang paling muda usianya malah jauh lebih muda.

Juga terdapat satu lagi rekod yakni buat pertama kalinya seorang wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tahu engkau betapa gembiranya aku mendapat tahu hal ini? Pedulikan kalau lantikan itu sekadar tempelan, poster menyedapkan hati kerana satu hal yang pasti wanita di negeri ini hanya tinggal satu langkah daripada mengisi jawatan Perdana Menteri.

Kalau Perdana Menteri tiada di dalam negara, secara teknikalnya Timbalan Perdana Menteri itulah yang menjadi Perdana Menteri. Lantikan itu benar-benar memberi semangat baru bahawa kedudukan wanita di negara ini akan menjadi lebih baik, lebih bertuah istimewanya. Siling 30 peratus wanita memegang jawatan-jawatan utama di negara ini bakal menjadi lantai. Ah, sangat euphoria bunyinya!

Bersambung...

Zharif Zainuddin adalah seorang penulis di bawah terbitan ILHAM Books. Surat-surat untuk Annelies adalah buku kedua beliau selepas Tuhan Bukan Manusia yang diterbitkan penerbit sama.

Foto ihsan Zharif Zainuddin

Share this Post: