SURAT | Menjawab Dakwaan Kesatuan Mahasiswa Bunga Raya

SURAT | Menjawab Dakwaan Kesatuan Mahasiswa Bunga Raya

Saya menghargai kritikan dari saudari Sara. Bagi saya, ini menunjukkan mahasiswa berhak  untuk mempertikai sebarang keputusan KMUM dan pentadbiran sesuai dengan konsep  autonomi mahasiswa dan kebebasan bersuara yang diperjuangkan Bunga Raya bersama rakan  yang lain. Benarkan saya, mewakili pihak Bunga Raya menjawab segala dakwaan yang  timbul dari kenyataan saudari. 

Berkenaan dengan dakwaan saudari yang mendakwa bahawa dana dan aset kesatuan  adalah milik kesatuan dan bukan milik Bunga Raya. 

Sejujurnya kami di pihak Bunga Raya memahami bahawa kesemua dana dan aset yang  dinyatakan tersebut adalah milik kesatuan dan bukannya milik Bunga Raya. Saya mewakili  pihak Bunga Raya ingin menegaskan dalam setiap pemberian bantuan, tidak pernah kami  letak stiker logo kami mahupun berkata yang ia dari pihak Bunga Raya. Bahkan ada ahli  KMUM Bunga Raya yang berjiwa besar, menggunakan dana sendiri untuk petrol dan  menyelenggara kenderaan yang telah rabak digunakan untuk kepentingan mahasiswa. 

Berkenaan dengan isu Kesatuan Bukan Untuk Berpolitik 

Pihak Bunga Raya tidak pernah mempunyai sebarang iltizam untuk menggunakan kesatuan  demi kepentingan politik. Segala apa yang Bunga Raya lakukan adalah semata-mata demi  kepentingan mahasiswa. 

Malah, pihak Bunga Raya yang telah banyak menyumbang dalam Kesatuan tanpa mengambil  sebarang kredit. Sebagai contoh, sewaktu tempoh perkhidmatan Kesatuan Mahasiswa  Universiti Malaya (KMUM) sesi lepas, pihak Exco Kebajikan dari Bunga Raya (bukannya  KMUM) telah menyumbangkan lebih daripada 30 buah komputer riba ‘Chromebook’ yang  disumbangkan oleh penyumbang kepada Bunga Raya tetapi Bunga Raya bertindak  menyumbangkannya kepada Kesatuan, kerana pihak kami percaya Kesatuan adalah perantara  yang sesuai untuk menyalurkan komputer riba tersebut kepada mahasiswa. 

Sejujurnya, kami tidak mahu mengungkit perkara ini kerana kami ingin menjaga perasaan  rakan-rakan kami dalam Suara Siswa tetapi keadaan yang wujud sekarang memaksa kami  melakukannya. 

Mengenai pakaian Ahli Eksekutif Kesatuan Bunga Raya 

Siapalah kita untuk menghalang seseorang dari memilih pakaian yang dipakai mereka? Saya  tidak faham mengapa ia menjadi satu isu sedangkan pihak kami juga tidak mempersoalkan  tindakan pihak Harimau Hitam Putih yang mewakili pihak saudari memakai baju mewakili  pihak saudari pada sesi lepas. Ingin kami tegaskan bahawa pihak kami tidak memaksa ahli  kami untuk memakai baju Bunga Raya. 

Berkenaan dengan mengepos semula gerak kerja KMUM Bunga Raya di sosial Media  Bunga Raya. 

Bagi pihak saya, ia bukanlah satu isu. Malah, ia adalah satu bentuk laporan kepada  mahasiswa yang telah memberi kepercayaan kepada wakil Eksekutif KMUM kami. Saya juga  ingin memperjelaskan bahawa setiap tindakan “mengetag” yang dilakukan oleh ahli Bunga  raya adalah tindakan individu itu sendiri dan bukannya secara paksaan. 

Dakwaan ‘gatekeeping’

Pihak Bunga Raya menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan ini. Sebarang jawatan dan  tanggungjawab yang digalas Bunga Raya iaitu Presiden mahupun Setiausaha Kewangan telah  dibincangkan bersama rakan seperjuangan Suara Siswa yang lain. Ingin saya tegaskan, saya  telah mengingatkan Ahli Eksekutif KMUM Bunga Raya bahawa aset KMUM bukanlah milik  Bunga Raya mahupun Suara Siswa. Bunga Raya sentiasa terbuka untuk mana-mana pihak  menggunakan ‘foodbank’ termasuklah pihak Neo-Siswa. Kami ada bukti untuk menjawab  dakwaan ini. Tiada isu gatekeeping di sini. 

Berkenaan Laporan Kewangan 

Ingin saya jelaskan bahawa ‘person in charge’ (PIC) telah memberi penyata aliran tunai  (cashflow) kepada Kabinet KMUM. Hal ini telah diselesaikan sejak sekian lama dan tiada  ahli KMUM Demokrat mahupun yang lain yang mempersoalkannya. Bagaimanapun, pihak  PIC akui hanya satu cashflow yang lambat diberikan iaitu ‘cashflow’ MOF kerana adanya  rekod yang tidak lengkap. Kesilapan ini bukanlah berpunca dari PIC tetapi kelewatan dari  pihak yang menguruskan perkara ini. 

PIC juga akur dengan dengan ‘Terms of Reference’ (TOR) di mana sebarang perbelanjaan  lebih RM1000 perlu dilaporkan dan mendapat kelulusan Kabinet. Audit dalaman UM sendiri  bersetuju dengan cara PIC yang menunjukkan aliran duit masuk dan duit keluar (Cashflow)  yang sebenarnya lebih telus daripada laporan semata-mata yang boleh dimanipulasi. 

Penutup 

Saya faham yang mungkin ada salah faham diantara kita. Maka, saya telah meminta agar ahli  Eksekutif KMUM dari Bunga Raya untuk tidak memakai baju Bunga Raya mahupun  mengetag organisasi kami selagi perkara ini tidak dibincang dan disahkan dalam mensyuarat  kabinet. 

Sesungguhnya, pihak Bunga Raya amat menghormati koalisi Suara Siswa dan pihak kami  berharap yang sebarang salah faham mahupun ketidakpuasan hati dibincangkan terlebih  dahulu sama ada dalam 'Whatsapp group' mahupun mensyuarat Majlis Presiden sebelum  dibawa ke luar. 

Sebelum saya akhiri kata-kata saya, ingin saya tegaskan bahawa pihak Bunga Raya tidak  pernah menafikan sumbangan semua gerakan dalam KMUM termasuklah rakan kami dalam  Suara Siswa- Demokrat dan UMANY mahupun Neo Siswa. Terima kasih. 

Amirul Amin Mohd Basri merupakan mahasiswa tahun ketiga jurusan Pentadbiran  Perniagaan di Universiti Malaya, merupakan Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan  Angkatan Mahasiswa. 

*Tulisan ini merupakan sebuah respon daripada kritikan kepada Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang  didakwa sedang dihinggapi barah gila politik.

Foto: CNA

Share this Post: