Dalam artikel sebelum ini, ada saya kongsikan mengenai strategi bercucuk-tanam pada musim panas dengan menumpukan kepada tanaman-tanaman toleran panas. Walau bagaimanapun, pada musim panas ini juga kebanyakan serangga perosak akan keluar beramai-ramai seperti berpesta lagaknya.
Populasi serangga perosak akan naik mendadak secara tiba-tiba dalam tempoh ini disebabkan oleh serangga perosak yang kembali aktif selepas berhibernasi. Kedua, kitaran hidup serangga tertentu yang hanya akan mencapai tempoh matang sekitar musim panas. Ketiga, serangga dikurniakan naluri semula jadi yakni mereka tahu bila musim panas atau hujan. Apabila musim panas mereka akan keluar beramai-ramai mencari sebanyak mungkin makanan sebagai simpanan pada musim hujan atau pada musim sejuk.
Adakah kita hanya mampu melihat sahaja tanaman kita diserang serangga? Seperti biasa, kita tidak perlu duduk kecewa dan melupakan kegembiraan berkebun. Untuk tulisan kali ini, saya akan berkongsi cara-cara organik dan alami, yang pastinya mudah dan murah untuk anda praktikkan di kebun rumah anda.
Sebagai peringatan, kaedah-kaedah yang akan saya kongsikan ini tidak akan membunuh serangga perosak, cuma akan menghalaunya sahaja. Saya tidak percaya akan cara menghapuskan (bunuh) perosak kerana sebenarnya membunuh serangga perosak hanya akan membawa mudarat yang lebih besar dalam hari-hari yang mendatang.
Strategi yang akan digunakan ialah mengetahui dan memahami tabiat serangga perosak.
Semua serangga perosak akan bertindak balas terhadap bau, rasa dan persekitaran. Oleh itu, untuk memenangi peperangan menentang serangga perosak ini, kita perlu jadikan kebun kita sangat tidak selesa untuk mereka.
Serangga perosak sangat tidak selesa dengan bau-bauan yang kuat, pedih dan tajam seperti bau herba atau rempah seperti serai, bawang, bawang putih, cili padi, lengkuas, halia, lada putih, lada hitam dan lain-lain tanaman berbau. Oleh itu, penyelesaian paling mudah ialah semburan yang menggunakan salah satu atau semua bahan-bahan yang dinyatakan tadi.
Cara menyediakannya hanya dengan kisar halus, tapis dan sembur air tapisan itu. Sebelum sembur, tambahkan 2 ke 3 titis minyak masak atau sabun basuh pinggan. Hal ini penting supaya semburan itu melekat lebih lama pada permukaan daun.
Gunakanlah apa sahaja bahan yang disenaraikan yang boleh didapati di dapur anda. Jika di dapur anda ada rempah atau bahan yang menepati ciri-ciri berbau kuat, sila gunakan. Jika anda rajin membaca mungkin anda pernah menemui pelbagai formula kawalan perosak yang banyak dikongsikan dalam internet. Ingat, bau yang kuat, pedih dan tajam.
Kaedah bau ini biasanya mencukupi untuk kebanyakan perosak terutama sekali yang boleh terbang. Namun begitu, ada beberapa perosak yang degil seperti perosak menjalar, merayap dan bercengkerang seperti gonggok, kumbang dan belalang. Biasanya perosak seperti ini ketahanannya lebih tinggi terhadap bau. Namun demikian, serangga-serangga ini sangat sensitif dengan rasa!
Daun semambu (neem) adalah jawapan untuk membuatkan serangga perosak hilang selera. Neem, tidak berbau tetapi mempunyai rasa yang sangat menjengkelkan. Cara menggunakannya adalah dengan merendam daun neem sehingga daun ini menjadi kekuningan, kemudian tapis dan sembur. Jangan lupa tambahkan beberapa titis minyak masak atau sabun basuh pinggan.
'Sesuap' daun yang disembur neem sudah cukup untuk membawa kuasa 'viral' keseluruhan koloni perosak tersebut dan tiada lagi yang berani datang mencuba.
Kaedah bau dan rasa ini adalah untuk perosak yang kita boleh nampak. Nah, bagaimana pula yang tidak nampak, yang bersembunyi di dalam tanah dan halus? Untuk ini, kita perlu jadikan persekitaran tidak kondusif untuk mereka.
Gunakan bawang putih dan selasih!
Kali ini, tidak perlu kisar. Ambil beberapa ulas bawang putih dan susun di dalam pasu atau di atas tanah. Selasih juga begitu, taburkan saja biji selasih di sekitar kawasan tanaman. Sebaiknya lakukan ini sebagai persediaan sebelum memulakan apa-apa tanaman. Biarkan bawang putih dan selasih tumbuh.
Akar bawang putih dan selasih membebaskan bahan yang menjadikan persekitaran dalam tanah sangat memeritkan serangga perosak dan memaksa mereka meninggalkan kawasan tersebut. Sebagai peringatan, selasih sangat cepat membiak. Jika dibiarkan, seluruh laman anda akan dipenuhi selasih dalam beberapa bulan sahaja. Oleh itu, kawal populasinya dengan mencabut anak-anak pokok yang berlebihan.
Saya lebih gemar memilih bawang putih kerana apabila tumbuh, daunnya boleh digunakan dalam masakan, 2 dalam 1. Tanaman utama dilindungi, daun bawang diguna dalam resipi. Dalam masa 3 bulan, selabu bawang putih pun boleh kita dapati daripada bawang yang disusun dalam pasu tadi.
Anda boleh dapat sekam padi atau serbuk kayu?
Gunakanlah untuk perosak yang merayap di atas tanah seperti lintah atau siput. Taburkan di sekeliling pokok. Apabila mereka cuba menyerang, bahan ini akan melekat di badannya. Serangga berasa tidak selesa dan pastinya mereka akan patah balik dan tidak datang lagi. Selain itu, boleh juga gunakan kulit telur yang ditumbuk hancur atau pasir halus.
Garam kasar juga boleh digunakan tetapi saya tidak galakkan kerana jika terlebih atau terlalu dekat dengan pokok, pokok pula yang akan mati.
Apabila persekitaran tidak lagi menjadi selesa untuk perosak-perosak ini, maka tindak balas semula jadi mereka adalah dengan berpindah ke tempat lain. Maka selamatlah kawasan anda.
Beginilah serba ringkas kaedah mengawal perosak dengan menggunakan faktor bau, rasa dan persekitaran. Insya-Allah, mudah dipraktikkan dan inilah kaedah yang saya gunakan di rumah dan di kebun.
Selamat berjaya!
Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan sekarang sudah 20 tahun menetap di Pulau Pinang. Seorang petani organik ‘old school’ yang baru tukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan kawan-kawan marhaen.
Foto: denaihati.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.