Sambungan dari bahagian 1
Seiring garis masa dengan gelombang kedua migrasi Melayu sekitar 1500 tahun lalu, ia bertepatan dengan kebangkitan awal Srivijaya dan Kerajaan-kerajaan Melayu lama. Walau ada catatan yang menunjukkan istilah Melayu itu telah wujud lebih lama iaitu sekitar tahun 100 seperti istilah Malayadvipa di dalam catatan India kuno, namun ianya lebih merujuk kepada faktor geografi bukit bukau di Pulau Sumatera dan tidak merujuk secara khusus terhadap kerajaan dan masyarakatnya.
Perlu diambil perhatian bahawa Nusantara dan seluruh rantau Asia Tenggara tatkala itu menerima pengaruh besar daripada ketamadunan India serta keagamaan Hindu dan Buddha. Walaupun Kerajaan Chola (dari India) dicatatkan cuma menjajah rantau ini untuk tempoh masa yang singkat, namun ia tidak dapat menafikan pengaruh besar dan berpanjangan ketamadunan India di rantau ini.
Asia Tenggara zaman tersebut diklasifikasikan oleh sarjana moden sebagai sebahagian daripada Lingkungan Kebudayaan India (Indian Cultural Sphere). George Coedes (m 1969) – pakar arkeologi Asia Tenggara pula menggunakan perkataan ‘Indianized Kingdoms’ – ini kerana menurutnya rantau ini terpengaruh dengan interaksi sosio ekonomi, agama, sistem pentadbiran, kebudayaan, kesusasteraan dan senibina tamadun India.
Malah etimologi perkataan Indonesia adalah daripada varian istilah Indus - Nesos secara harfiah bermaksud “Kepulauan India”. Istilah Indunesia (varian istilah Indonesia) telah lama digunakan bagi merujuk rantau ini selain istilah Melayunesia. Oleh kerana itu penjajah lalu menamakan rantau Nusantara sebagai East Indies.
Jika benar teori migrasi dari Yunnan, sudah pasti ini tidak menghairankan kerana Yunnan juga berada di dalam Lingkungan Kebudayaan India. Namun begitu adalah tidak wajar untuk menyatakan secara ras bahawa penduduk dan masyarakat Nusantara sebagai masyarakat India. Ini kerana masyarakat Nusatara mempunyai identiti tersendiri sendiri dan ia mula menyerlah dengan kedatangan Islam di Nusantara.
Maka dapat difahami bahawa pengistilahan Melayu bermula ketika era kerajaan Malayapura di Dharmasraya. Namun dalam pengertian ertikata ras (varian maksud kaum yang lebih luas) Melayu membawa pengertian seluruh masyarakat Nusantara, malah menjangkau sehingga ke Polinesia dan Madagascar.
Namun Melayu yang kita bicarakan ini ialah kaum yang asalnya daripada kawasan yang kini dikenali sebagai georafinya wilayah yang berada diantara Sungai Musi dan Sungai Batanghari di Sumatera – Provinsi Sumatera Selatan (Palembang), Provinsi Jambi dan sebahagian daripada Provinsi Bukit Tinggi.
Inilah kaum Melayu yang kemudiannya berkembang sehingga ke Melaka dan menguasai Semenanjung Melayu (berbeza daripada Semenanjung Malaysia) daripada Hujung Tanah Besar Asia (kini Johor) sehinggalah ke Segenting Kra (kawasan Ranong yang dahulu dikenali sebagai Rundung yang kini terletak di Thailand).
Inilah orang ataupun kaum Melayu. Walaupun berkongsi pengertian ras dan serumpun, namun Melayu ini bukanlah Bugis, Melayu ini bukanlah Jawa, Melayu ini bukanlah Acheh, Melayu ini bukanlah Banjar dan sebagainya.
Bersambung dalam Bahagian Akhir minggu hadapan.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto ihsan arkib media Perpustakaan Casanatense
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.