Bila ditanya “Siapa itu Melayu?” dan “Apa itu Melayu?”, maka persoalan tersebut agak sukar diperjelas secara tuntas. Maka untuk mentakrifkan maksud Melayu yang sebenar kita perlu menggunakan kayu ukur yang tepat.
Melayu harus ditakrifkan secara kaum (race), etnik (ethnic) dan bangsa (nation). Kerana kita terlebih dahulu perlu memahami maksud kaum, etnik dan bangsa.
Kaum dan ras (race) membawa makna sekolompok manusia yang diwarisi secara keturunan. Etnik pula membawa makna sekumpulan manusia yang berkongsi budaya, bahasa, resam dan banyak lagi aspek kehidupan. Manakala bangsa pula membawa makna segerombolan orang yang duduk ditempat yang sama dan terkait dengan konsep politik dan ketatanegaraan.
Namun cabarannya disini ialah nuansa istilah kaum, etnik dan bangsa malah tafsiran yang berbeza didalam kajian saintifik dan aspek bahasa. Ini kerana jika menurut tafsiran Dewan Bahasa, istilah yang terkait pilitik ialah etnik (ethnic) dan bukannya bangsa (nation). Kaum pula ditafsirkan sebagai pecahan daripada bangsa.
Inilah punca kekeliruan yang sebenar. Namun saya mengambil keputusan untuk berpegang kepada tafsiran yang dilakukan di dalam perenggan yang sebelum ini kerana bagi saya ia lebih menepati kajian saintifik dan mudah difahami. [Saya mohon untuk berbeza].
Untuk mentakrifkan mengenai orang Melayu, ada baiknya juga dikesampingkan segala mitos serta dongengan. Kita cuma perlu menggunapakai fakta serta kajian saintifik. Paling kurang kita menyandarkan kepada hipotesis, rasional (penalaran induktif mahupun deduktif) dan pembuktian empirikal.
Saya banyak membaca dan mendengar mereka yang mengaku meminati sejarah, khususnya sejarah Melayu namun banyak menyandarkan pendapat mereka terhadap mitos serta dongengan. Lebih dasyat lagi mereka menolak segala fakta serta kajian saintifik kerana membandingkan ada kisah-kisah di dalam Al-Quran yang tidak berdasarkan kajian saintifik.
Bagi saya ini satu kesilapan yang besar kerana Al-Quran merupakan khabar yang benar. Itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertahankan mitos serta dongengan. Dalam hal ini, perihal Melayu tidak pernah dikhabarkan di dalam Al-Quran.
Bukanlah saya ini bersikap anti lagenda atau mitos, namun ia perlu diletakkan di tempatnya yang benar dan selayaknya. Untuk membincangkan mitos dan legenda, kita memerlukan wacana yang berbeza. Malah mitos dan lagenda tidak bleh dipaksakan kepada orang lain untuk mempercayainya. Ia cuma untuk membentuk semangat etos secara inkusif sahaja.
Melayu Sebagai Kaum dan Ras
Sejarah orang Melayu jauh lebih lama daripada kewujudan tengkolok dan Baju Melayu (asalnya dipanggil baju kurung lelaki). Parameswara sendiri pasti tidak bertengkolok dan berbaju Melayu. Baju Melayu sendiri secara sejarahnya cuma berkuatkuasa tatkala zaman Sultan Melaka yang ketiga.
Menurut Robert von Heine-Geldern (meninggal 1968) iaitu seorang pengkaji etnologi, sejarah purba dan ahli arkeologi dari Austria, menyatakan bahawa gelombang pertama perpindahan masyarakat Melayu yakni Melayu-Proto (salah satu kelompok Orang Asal; Orang Kuala, Orang Kanaq, Jakun, Sakai, Semelai dan Temuan) bermula kira-kira 2500 tahun yang dahulu.
Menurut Geldern lagi gelombang kedua perpindahan pula berlaku 1500 tahun lalu yang melibatkan masyarakat Melayu-Deutero yakni leluhur masyarakat Melayu moden pada hari ini. Gelombang pertama dan kedua ini melibatkan penghijrahan daripada wilayah Yunnan ke Kawasan Nusantara sekarang ini.
2500 dan 1500 tahun yang lalu adalah angka yang cukup kuno walaupun tidaklah sepurba tamadun China, India, Greek, Arab, Ibrani dan Mesir yang mencecah usia 4000 ke 7000 tahun yang lalu.
Teori penghijrahan ini turut disokong oleh sarjana lain seperti J.H.C. Kern (m 1917) – ahli bahasa dan orientalis dari Belanda, Slamet Muljana (m 1986) – ahli filologi dan sejarawan, Asmah Haji Omar (ahli akademik dan pakar nahu Bahasa Melayu) dan beberapa orang lagi.
Namun begitu terdapat juga sarjana yang menolak teori migrasi atau penghijrahan seperti John Crawfurd (m 1868) yang terkenal dengan bidang bahasa-bahasa di Asia, Sutan Takdir Alisjahbana (m 1994), sasterawan dan ahli tatabahasa Indonesia dan lain-lain sarjana lagi.
Mereka berpendapat bahawa orang Melayu dan Jawa (Orang Nusantara) sememangnya berasal secara purbakala di rantau ini. Ini dibuktikan dengan penemuan manusia purba di Perak, Jawa dan sebagainya. Manusia purba inilah merupakan leluhur kepada masyarakat di Nusantara.
Pengkelasan Melayu-Proto dan Melayu-Deutero dilakukan oleh ahli sejarah moden. Ini kerana pengistilhan Melayu dikesan mula meluas sekitar 700 tahun yang lalu tatkala era kerajaan Malayapura di Dharmasraya (setelah kemerosotan Srivijaya) seperti yang tercatat pada Arca Amoghapasa – iaitu lebih kurang 100 tahun sebelum Parameswara mangasaskan Melaka.
Daripada nama kerajaan Malayapura itulah dinasabkan nama Melayu. Adapun sezaman itu dan sebelumnya nama panggilan untuk masyarakat Melayu itu tertakluk dan merujuk kepada nama kerajaan atau nama negerinya – namun mereka adalah Melayu.
Bersambung dalam Bahagian 2 minggu hadapan.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto ihsan Trover
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.