Cuba kita tanyakan pada generasi muda hari ini – yang antara lainnya dipanggil millennial, selfie generation, TikTok generation, generasi Z dan sebagainya; kenal tidak pada nama Salleh Ben Joned? Boleh juga soalan sama ditanya kepada mungkin generasi-generasi yang diperlambangkan dengan abjad-abjad lain sebelum abjad Z sendiri; kenalkah mereka pada Salleh Ben Joned ini?
Tidak perlu terkejut jika ramai tidak kenal – ini bukan semata-mata soal perbezaan generasi atau tahun aktfinya Salleh Ben Joned menulis, meracau, mengamuk dan menghamun. Ini soal Salleh Ben Joned tidak pernah menulis untuk mewakili, jauh sekali menghiburkan masyarakat terbanyak. Salleh Ben Joned adalah simbol ke atas segala yang berlawanan dengan nilai normal masyarakat terutama masyarakat Melayu.
Lucu jika hendak diperkenalkan Salleh Ben Joned seperti orang lain. Tidaklah begitu signifikan untuk diketahui tanggal dan tempat kelahirannya (4 Julai, 1941 di Melaka). Mungkin sedikit lebih penting untuk diketahui bahawa beliau adalah antara pelajar Melayu terakhir ditaja bawah Colombo Plan untuk belajar di Australia. Di sana, beliau berkahwin dengan pelajar tempatan. Akibat perkahwinan tidak direstui itu, beliau tercampak dari Adelaide ke Tasmania dan di sana, takdir menjadikan beliau anak murid kepada James McAuley, pemuisi terkenal Australia.
Pulang ke Malaysia pada 1973, beliau menjadi tenaga akademik di Universiti Malaya, mengajar subjek Kesusasteraan Inggeris sehingga 1983. Beliau berhenti mengajar dan hanya menumpukan masa untuk menulis, dengan kebanyakannya diterbitkan oleh New Straits Times.
Salleh Ben Joned lebih banyak menulis dalam Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu, menjadikan beliau sebenarnya cukup terkenal buat pelajar kesusasteraan aliran Bahasa Inggeris. Demikian pun, tidak bermaksud beliau tiada seni dan estetika menulis puisi atau esei Bahasa Melayu. Buku kompilasi puisi yang pertama ditulisnya – Sajak-sajak Salleh adalah dalam bentuk dwibahasa. Ini adalah buku pertama dan terakhir beliau dalam Bahasa Melayu.
Sajak-sajak Salleh menjadi tanda kepada kegilaan, provokatif, sinis, tajam, dan beraninya Salleh Ben Joned. Setengah orang menganggapnya kurang ajar dan lucah. Hanya sekali beliau menulis dalam Bahasa Melayu, ia telah meninggalkan kesan besar dalam dunia kesusasteraan Melayu. Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh misalnya menggelarkan karya Salleh Ben Joned sebagai sebuah "trauma buat kesusasteraan Melayu". Oleh kerana komentar ini, Salleh Ben Joned tidak lagi mahu menulis dalam Bahasa Melayu.
Nama Salleh Ben Joned tidak hanya muncul dalam lapangan penulisan dan kesusasteraan. Nama beliau juga hidup dalam dunia wayang dan seni antara lainnya. Karya paling ulung beliau? 1974; kencing ke atas naskhah manifesto artis dan pengkritik seni, Redza Piyadasa di Dewan Bahasa Pustaka. Iya, beliau telah membuka zip seluarnya dan langsung kencing ke atas manifesto Redza Piyadasa di tengah-tengah pameran beliau sendiri. Insiden ini heboh diperkata dan diperdebatkan.
Kenapa Salleh Ben Joned begitu kurang ajar? Redza Piyadasa atas insiden tersebut meminta "individu yang membuang air kecil tersebut" untuk menjelaskan rasional perbuatannya. Salleh, tanpa basa basi atau apologetik telah pun menulis rasionalnya dalam esei Kencing dan Kesenian atau Art and Pissing, diterbitkan dalam Dewan Sastera, ketika itu di bawah Usman Awang. Surat terbukanya itu telah sekali lagi meletupkan dunia seni dan sastera. Ternyata perbuatannya bukan sebuah "kerja nakal" sebaliknya sebuah ekspresi yang telah beliau sendiri fikirkan secara masak.
Begitulah antara lainnya bagaimana seorang Salleh Ben Joned dikenang. Kurang ajar, provokatif, dan "sangat tidak Melayu". Apakah Salleh Ben Joned ini kurang waras? Daripada tulisan-tulisannya, kita akan faham kalau Salleh Ben Joned memaparkan kegilaan beliau bukan sahaja atas nama humor dan satira, sebaliknya sebagai sebuah kritik sosial ke atas kepura-puraan masyarakat. Salleh Ben Joned hanya berlaku jujur.
Pemergian Salleh Ben Joned tempoh hari mungkin tidak seheboh perginya artis-artis berstatus selebriti yang diratapi ratusan ribu jika tidak jutaan peminat segera generasi baru dan lama hari ini. Namun sekurang-kurangnya, dalam zaman serba gila ini; masanya agak baik dan sesuai buat generasi yang terlepas kegilaan Salleh Ben Joned untuk mula berkenalan dengan tulisan-tulisannya. Jangan terkejut jika anda terjumpa sumpah seranah Salleh Ben Joned ke atas tokoh-tokoh pemimpin yang anda minati. - ALTERNATIF
ALTERNATIF mengucapkan takziah buat keluarga Salleh Ben Joned atas pemergian beliau. Semoga beliau tenang dan bahagia di negeri abadi. Selamat jalan Salleh Ben Joned.
Foto ihsan Fahmi Reza
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.