I
Bijak melakukan muslihat, helah dan tipu daya. Jangan tersilap, ini bukan kisah tentang Loki. Ini kisah tentang Sang Kancil.
Tulis Dr. Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Koleksi Asia Tenggara Perpustakaan British, watak kancil di dalam cerita rakyat masyarakat Melayu banyak menunjukkan bahawa ia mempunyai intelek yang lebih baik berbanding haiwan lain. Kisah Sang Kancil sememangnya tidak ditelan zaman, dari zaman penglipurlara, hikayat, buku sehinggalah ke zaman animasi.
Hikayat Sang Kancil sebenarnya ditulis oleh Daeng Abdul Hamid dari Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) untuk R.O. Windstedt seorang pegawai kolonial dan orientalis British yang terkenal. Ia ditulis sekitar awal abad ke 20.
Sebenarnya Daeng Abdul Hamid menulis Hikayat Sang Kancil berdasarkan Hikayat Pelanduk Jenaka. Tetapi saya secara peribadi percaya, tulisan Daeng Abdul Hamid ini tidaklah semata-mata berdasarkan Hikayat Pelanduk Jenaka tetapi beliau juga mencatatkan kisah-kisah lisan yang lain tentang Sang Kancil.
Selepas ini saya akan menggunakan perkataan Pelanduk jika kisah itu datang daripada Hikayat Pelanduk Jenaka dan Sang Kancil untuk kisah yang dipetik daripada Hikayat dan kisah-kisah Sang Kancil. Namun secara saintifik, Pelanduk dan Kancil adalah binatang yang sama atau sekurang-kurangnya daripada spesis yang sama.
Sebenarnya terdapat banyak kisah atau versi Sang Kancil yang berlegar secara lisan dan popular di Nusantara (kini Malaysia dan Indonesia) tetapi tidak tercatat di dalam Hikayat Pelanduk Jenaka. Kisah-kisah di dalam Hikayat Pelanduk Jenaka juga tidak benar-benar sama dengan kisah-kisah Sang Kancil. Tetapi tema Sang Kancil sebagai haiwan paling bijaksana di rimba dan banyak helah serta muslihat itu tetap serupa.
Sama ada Pelanduk ataupun Kancil, itulah watak haiwan cerdik yang orang Nusantara kenali.
Dr. Ian Proudfoot dari Malay Concordance Project (MCP), Universiti Nasional Australia di dalam tulisan bertajuk “A ‘Chinese’ Mousedeer Goes to Paris” ada menyentuh tentang perbezaan antara Hikayat Pelanduk Jenaka yang dianggapnya sebagai epik berbanding kisah-kisah Sang Kancil yang bersifat lebih ringkas dan mudah.
Saya secara peribadi bersetuju dengan pendapat Proudfoot. Hikayat Pelanduk Jenaka adalah hikayat yang sangat bernilai dan penting.
Transkrip (manuskrip yang tidak lengkap) Hikayat Pelanduk Jenaka yang tertua dapat dikesan tersimpan di Bibliotheque nationale (Perpustakaan nasional), Paris di Perancis. Manuskrip tersebut tidak lengkap kerana beberapa muka surat telahpun hilang.
Naskah tersebut tidak mempunyai catatan tahun terbitan atau bila ia ditulis. Namun menurut MCP ejaan yang digunakan dalam naskah tersebut berkemungkinan adalah bahasa Melayu lama abad ke 17 (mungkin sebelum 1684) dan berkemungkinan berasal di Jawa Timur. Jika benar dapatan ini, maknanya tarikh penulisan manuskrip ini sudah pasti sesilam karya Sulalatus Salatin.
Perpusatakaan British juga mempunyai beberapa salinan manuskrip Hikayat Pelanduk Jenaka yang kesemuanya berasal dari Pulau Pinang dan Kedah. Ia ditulis sekitar tahun 1805 masihi. Salah satu daripadanya adalah milik atau ditulis oleh seseorang yang menggunakan gelar ‘fakir Ahmad Keling’.
Setelah diselidiki, berkemungkinan fakir Ahmad Keling adalah Ahmad Rijaluddin bin Hakim Long Fakir Kandu yang juga abang kepada Ibrahim iaitu jurutulis Stamford Raffles. Beliau berasal dari keluarga Chulia yang terkenal di Pulau Pinang.
Di Indonesia semasa zaman penjajahan Belanda, Hikayat Pelanduk Jenaka telah diterbitkan beberapa kali. Tetapi ia mempunyai sedikit perbezaan versi namun plot ceritanya tetap sama. Panjang karangannya juga berbeza, ada yang panjang dan ada yang pendek. Di Singapura, hikayat tersebut pernah diterbitkan dalam bentuk syair.
Ada pendapat yang menyatakan bahawa kisah rakyat di Nusantara yang kemudiannya ditulis sebagai karya sastera mempunyai pengaruh kebudayaan dari India secara umumnya. Windstedt telah menyentuh tentang perkara ini di dalam karyanya “The Indian Origin of Malay Folk-Tales”.
Perkara ini ada benarnya kerana masyarakat Melayu pada zaman dahulu menerima pengaruh kebudayaan yang besar dari India. Malah jika diteliti kepada watak singa di dalam Hikayat Pelanduk Jenaka dan kisah Sang Kancil, sudah tentulah haiwan tersebut tidak berasal dari Asia tenggara. Tetapi Singa adalah haiwan yang wujud di India.
Malah kisah-kisah tauladan yang menggunakan perwatakan binatang sememangnya dikatakan berasal dari tamadun lama India seperti karya “Panchatantra” dan “Jataka”. Panchatantra serta Jataka telah berusia ribuan tahun dan telah tersebar ke serata pelusuk dunia. Panchatantra telah tersebar ke dunia Islam dan Arab dan ditulis semula dengan tajuk “Kalilah wa Dimnah” dan mempengaruhi banyak lagi kisah-kisah tauladan yang lain.
Namun untuk mengatakan bahawa kisah Pelanduk Jenaka dan Sang Kancil ini datang ‘bulat-bulat’ dari India, ianya tidak tepat. Ini kerana tiada kisah dari tamadun lama India yang fokus terhadap kisah seekor binatang iaitu Pelanduk atau Kancil. Oleh itu kisah Pelanduk dan Sang Kancil mempunyai ciri-ciri keaslian Nusantara.
II
Di dalam Hikayat Pelanduk Jenaka, Pelanduk mendakwa dirinya sebagai Tuan Syeikh Alim (ada yang mentafsirkan sebagai Syah Alam dan Syeikh Alam). Dia adalah raja di rimba yang menakluk dengan bijaksana dan memperoleh kekuatan dari Wali Allah setelah bertapa selama tiga tahun, tiga bulan dan tiga hari.
Untuk mencipta kesetiaan dan ketaatan di kalangan penghuni rimba, Pelanduk menampilkan dirinya seakan-akan mempunyai ilmu kesaktian seperti ilmu terus penglihatan (ilmu kebatinan) yang mengetahui kebenaran walaupun disembunyikan. Pelanduk mengaku beroleh mukjizat daripada baginda Ali dan Amir Hamzah dengan berkat doa Wali Allah dan berkat Raja Sulaiman.
Di dalam Hikayat dan kisah Sang Kancil pula, Sang Kancil lebih menonjolkan dirinya sebagai wakil Raja Sulaiman untuk menjadi penghulu ataupun raja (syah alam) di dalam rimba.
Jelas pada awal Hikayat Pelanduk Jenaka, Pelanduk menggunakan helah, muslihat dan tipu daya untuk menguasai penghuni rimba. Namun helah dan muslihatnya itu bertujuan untuk mendamaikan penduduk rimba sehingga harimau dan kambing pun boleh berbaik.
Namun matlamat Pelanduk Jenaka adalah untuk menguasai mereka. Ironinya pada akhir hikayat tersebut Pelanduk bertitah panjang memberi pesanan supaya segala rakyat di rimba jangan berkhianat, berbuat aniaya dan fitnah. Konon-kononya dia adalah pemerintah atau pemimpin yang baik walaupun beroleh kuasa dengan tipu daya.
Pelanduk dan Sang Kancil ini jahat atau baik sebenarnya? Polemik ini sememangnya telah menjadi perdebatan di kalangan para sarjana dan ahli sastera.
Dr. Ian Proudfoot dari MCP menyatakan bahawa Hikayat Pelanduk Jenaka sebenarnya ialah satira yang bersifat subversif dan sinikal. Hikayat Pelanduk Jenaka menonjolkan pernyataan politik yang sangat radikal sehingga melangkaui perdebatan tentang nilai moral dan ketaatan feudal yang tercermin dalam sengketa Hang Tuah dan Hang Jebat.
Ia mengisyaratkan kepada pembaca bahawa kekuasaan raja dibangunkan atas kesedaran palsu dan membuatkan pembaca yang mudah terpengaruh akan berfikir bahawa mereka memerlukan seorang penguasa yang menggunakan agama untuk menipu.
Selain itu dikatakan ramai sarjana Barat terutamanya dari Belanda yang menilai watak Sang Kancil dan Pelanduk sebagai tidak baik dan tokoh penipu yang penuh helah. Windstedt juga dikatakan turut mempunyai pendapat yang sama dan ianya dibidas oleh Mana Sikana ataupun Abdul Rahman Napiah iaitu seorang pengarang dan pengkritik sastera.
Menurut Mana Sikana pegawai kolonial tidak mahu melihat bahawa sastera rakyat sebagai citra peradaban. Apabila ada cerita yang boleh melemahkan jiwa anak jajahan, maka itulah yang diketengahkan.
Dr. Salmah Jan dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengatakan bahawa Hikayat Pelanduk Jenaka mengemukakan beberapa strategi dalam mencipta kekuasaan dan kedaulatan seperti mengubah keterampilan diri, mempengaruhi pemikiran dan menggunakan tipu helah.
Namun dalam masa yang sama menurut Dr. Salmah, oleh kerana Pelanduk sangat bijaksana, ia mampu memberikan nasihat, pengajaran dan tauladan bagi golongan kanak-kanak.
Menurut Dr. Roslina Abu Bakar pula yang juga dari UPM, kisah Hikayat Pelanduk Jenaka yang sering menawarkan penyelesaian dalam masalah yang dihadapinya berupaya untuk mempengaruhi pembangunan jasmani, emosi, intelek serta sahsiah golongan kanak-kanak dan ia juga bagus untuk medium pengajaran bagi remaja awal.
Tambahnya lagi, selain itu hikayat tersebut mempunyai pelbagai ragam bahasa berbentuk prosa dan indah kerana menggunakan kosa kata berunsur jenaka serta membawa kepelbagaian makna. Ia mengandungi metafora, analogi, kiasan dan hiperbola.
Dr. Edwar Jamaris iaitu seorang ahli filologi dan ahli sastera berasal dari Indonesia di dalam bukunya bertajuk “Menggali khazanah Sastra Melayu Klasik” secara umum menggariskan empat peranan Kancil di dalam sastera Melayu yang saya ringkaskan: 1. Hakim yang adil, 2. Penipu yang licik dan jahat, 3. Binatang yang sombong, 4. Penguasa atau raja kepada semua binatang.
Ketokohan Sang Kancil sebagai Hakim dapat dilihat contohnya apabila ia mengadili dalam kes buaya dan kerbau. Sang Kancil selalu terlihat menyebelahi mereka yang teraniaya dan yang dizalimi.
Dalam masa yang sama Sang Kancil dilihat sebagai penipu yang licik dan jahat contohnya ketika ia beberapa kali menipu Harimau beberapa kali. Malah ia juga menipu Buaya semata-mata untuk melintasi sungai.
Dalam satu keadaan lain, Sang Kancil dilihat sebagai haiwan (atau seseorang) yang sombong. Kisah ini dapat dilihat dalam kisah perlumbaan Sang Kancil dan Siput. Sang Kancil mulanya bersikap sinikal dan sombong terhadap Siput kerana bergerak terlalu perlahan. Namun di dalam satu perlumbaan dengan Siput, Sang Kancil telah tewas kerana helah dan muslihat Siput. Kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Pelanduk juga dapat menonjolkan dirinya sebagai penguasa yang wibawa sehingga mampu mendamaikan kawanan binatang seperti harimau, kambing, seladang dan singa serta menyelamatkan mereka daripada gergasi dan raksasa.
Namun selain itu, ada kisah yang jauh lebih ekstrem dalam cerita Sang Kancil dan Memerang. Kancil telah membunuh anak memerang hanya sebagai helah untuk membuktikan Memerang telah menganggu kehidupan penghuni sungai. Walaupun latar kisah tersebut menunjukkan contoh perbicaraan adil oleh Raja Sulaiman dengan mendengar kesemua keterangan saksi, namun perbuatan Sang Kancil tersebut sukar untuk diterima.
Bagi saya, sebenarnya hikayat ini telah lama berpesan kepada masyarakat secara kreatif. Jika agama dicampur dengan sedikit kepercayaan yang luar biasa lalu diolah secara bijaksana, ia akan membolehkan seseorang memperoleh kedaulatan, kekuasaan politik dan memperbodohkan pengikutnya. Jika difikir-fikir lagi, mungkin pengajaran hikayat ini setanding karya “The Prince” oleh Machiavelli – namun dalam cara yang berbeza.
Malah Hikayat Pelanduk Jenaka ini merungkai konsep waadat (perjanjian taat setia) dan daulat yang tertulis di dalam Sulalatus Salatin itu.
Terserah pada kalian.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Twinkl
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.