Individu berfizikal besar lazim didefinisikan sebagai gemuk. Gemuk ini bagaimanapun sudah menjadi satu perkataan yang mempunyai konotasi tertentu, selalunya mengguris perasaan individu terbabit. Golongan berbadan besar malah sering dipandang serong dan dilontarkan dengan perkataan-perkataan lain yang tidak enak.
Masyarakat hari ini masih lagi terperangkap dengan perspektif bahawa golongan berfizikal besar ini tidak lain adalah kerana kegagalan mereka sendiri mengawal nafsu makan serta tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Sebenarnya, harus ditekan di sini bahawa semuanya bergantung kepada penerimaan badan seseorang individu terbabit. Ramai sahaja yang mempunyai selera makan tinggi namun tidak memberi kesan ketara kepada bentuk badan mereka. Terdapat juga golongan yang bersungguh mengawal sehabis mungkin cara pemakanan dan gaya hidup mereka, namun masih terus mengalami pertambahan berat badan.
Gemuk akhirnya bukanlah satu kesalahan. Gemuk boleh berpunca dari pelbagai sebab yang tidak semata-mata kerana selera makan. Antara yang ketara adalah akibat stress atau tekanan, samada berpunca di tempat kerja, pergaulan sekeliling mahupun masalah peribadi. Setiap individu mempunyai cara dan langkah tersendiri untuk mengatasi masalah tekanan mereka. Tidak semua individu mampu mengawal tekanan perasaan mereka dengan hanya pergi bercuti bersama keluarga ataupun teman.
Kita harus faham dan peka bahawa ada segelintir golongan menjadikan makanan manis seperti coklat dan ais krim sebagai ubat kepada masalah tekanan mereka. Pengambilan makanan manis semasa mengalami tekanan disebut sebagai ‘comfort eating’ atau ‘stress eating’.
Namun menurut pakar psikologi, Susan Albers, ia bergantung kepada seseorang individu tersebut. Ada sesetengah individu terlampau fokus kepada permasalahan mereka sehingga kehilangan selera makan, dan ada juga individu yang suka untuk makan ketika stress ia kerana mampu mengalihkan konsentrasi mereka dari terus-terusan memikir masalah mereka.
Gemuk itu bukan satu kesalahan. Pengambilan ubat-ubatan bagi tujuan perubatan juga mampu mengakibatkan pertambahan berat badan. Sebagai contoh, bagi wanita yang sudah berkahwin, pengambilan ubat perancang mampu meningkatkan selera makan di mana mereka akan mempunyai selera makan yang tinggi dan ini secara tidak langsung akan mengubah bentuk asal badan mereka.
Bukan itu sahaja, pengambilan ubatan steroid juga mampu menyebabkan pertambahan berat badan. Penggunaan ubatan steroid boleh menyebabkan masalah kolestrol tinggi dalam badan dan ini sering kali dikaitkan dengan punca kepada masalah berat badan berlebihan. Ubatan steroid jika diambil untuk jangka masa yang panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan lain juga seperti kerapuhan tulang dan keguguran rambut.
Melihat contoh-contoh di atas, wajarlah untuk dikatakan pengambilan makanan yang tidak seimbang bukanlah punca utama untuk seseorang itu gemuk. Ada juga diantara golongan berbadan besar ini terpaksa menanggung akibat menjadi gemuk dek kerana pengambilan ubat-ubatan demi kesihatan mereka sendiri.
Kita juga harus cuba faham bahawa bukan semua golongan berbadan besar ini tidak berusaha untuk menurunkan berat badan mereka. Hakikatnya proses menurunkan berat badan adalah satu proses yang tidak mudah dan memenatkan. Ia memerlukan kekuatan mental untuk melawan nafsu makan serta kekuatan fizikal untuk melakukan aktiviti senaman dalam mengimbangi usaha dan perjalanan mengurangkan berat badan.
Pada masa yang sama, emosi orang yang berusaha untuk mengurangkan berat badan sangatlah rapuh di mana mereka boleh menjadi seorang yang pemarah atau ‘hangry’ sepanjang proses tersebut. Hal ini kerana melimitasikan porsi makanan yang digemari akan menganggu emosi dan mood seseorang. Emosi yang terganggu kadang kala mampu menyebabkan individu yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan itu putus asa dan kembali kepada gaya pemakanan yang tidak sihat.
Oleh yang demikian, masyarakat harus mengubah perspektif tentang golongan yang berfizikal besar ini. Kadang kala mereka dihimpit dengan situasi dan masalah yang memberi kesan terhadap bentuk badan mereka. Kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras, tidak seharusnya mempunyai pandangan yang negatif terhadap mereka.
Gemuk itu bukan satu kesalahan dan jangan jadikan golongan berfizikal besar ini merasa berdosa kerana fizikal badan mereka. Dan gemuk itu tidak kekal. Mereka yang berfizikal besar boleh menjadi kurus dan sihat pada bila-bila masa. Mereka hanya memerlukan sokongan dan dorongan untuk terus kuat dalam menjalani proses pengurangan berat badan.
Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.
Foto: Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.