REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Wonder Woman 1984 [TIADA SPOILER]

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Wonder Woman 1984 [TIADA SPOILER]

[REVIU INI TIDAK MENGANDUNGI SPOILER YANG MENDEDAHKAN JALAN CERITA, NAMUN PENDAPAT YANG DITULIS AKAN MEMBERI KESAN KE ATAS PENGALAMAN MENONTON]

Wonder Woman 1984 (WW84) adalah kesinambungan kepada filem Wonder Woman (WW1) pertama yang ditayangkan pada 2017 dahulu. Kedua-dua filem Wonder Woman ini adalah sebahagian daripada DC Extended Universe (DCEU), yang merujuk kepada siri-siri filem adiwira DC. Ramai yang melihat DCEU, yang bermula dengan Man of Steel (2013) wujud untuk menyaingi filem-filem Marvel Cinematic Universe (MCU).

DC yang dari segi kutipan jualan komik, populariti watak-watak adiwira, dan jalan ceritanya lebih berjaya berbanding Marvel bagaimanapun dilihat gagal teruk apabila menjengah ke layar perak.

Dua filem utama DCEU selepas Man of Steel iaitu Batman V Superman (BvS) dan Justice League (JL) arahan Zack Snyder (yang digantikan dengan Joss Whedon di tengah-tengah pembikinan JL) mendapat kritikan negatif dan skor yang buruk di laman-laman kritik filem.

Namun di antara kedua filem tersebut, muncul filem WW1 sebagai penyelamat, persis kemunculan alter ego Diana Prince (Gal Gadot) menyelamatkan Batman dan Superman di tengah-tengah pertarungan melawan Doomsday dalam BvS.

WW1 arahan Patty Jenkins mendapat pujian yang tinggi – berjaya dari segi kutipan dan penerimaan peminat dan pengkritik, sekaligus menyelamatkan maruah dan hayat DCEU.

Kejayaan WW1 sebenarnya telah memberi laluan buat beberapa filem DCEU yang lain untuk terus diterbitkan selepas kegagalan BvS dan JL (juga Suicide Squad), seperti Aquaman dan Shazam! yang turut berjaya menambat hati peminat dan pengkritik.

Selepas kejayaan WW1, Patty Jenkins tidak mengambil masa terlalu lama untuk mendapat lampu hijau bagi kesinambungan filem tersebut. Penghujung 2020, di tengah-tengah pandemik Covid-19, WW84 akhirnya menjengah peminat di panggung wayang dan khidmat atas talian HBO Max.

WW84 muncul tanpa sebarang pesaing berbanding ketika WW1 ditayang dahulu. Filem-filem adiwira ketika ini sedang berehat (atau mungkin sedang sibuk menentang Covid-19), maka sepatutnya WW84 dengan mudah mampu diterima positif, apalagi ramai yang masih terkenangkan betapa bagusnya WW1 dahulu. Sayang sekali, dengan harapan yang amat tinggi terhadap WW84, filem sekuel ini tidak begitu berjaya dari segi kutipan dan juga penerimaan kritik filem.

Sejujurnya, WW84 masih adalah filem yang bagus dan berbaloi untuk ditonton, dengan nilai dan tema filem yang kuat dan baik, namun terdapat beberapa aspek yang tidak memenuhi jangkaan awal. WW84 secara ringkasnya sedikit perlahan dan meleret, tidak dibangunkan dengan begitu sempurna, dan tidak digarap sekemas WW1 yang pertama.

Mungkin ini juga satu kelemahan buat mana-mana filem sekuel, iaitu ia akan terus dibandingkan dengan siri awal yang terbit sebelumnya.

WW84 tidaklah sampai berhadapan masalah yang sama seperti filem-filem gagal DCEU lain yang mana kebanyakannya dikritik bukan sahaja dari segi penulisan cerita, sebaliknya juga plot dan suntingan yang teruk. WW84 sedikit lemah dari segi terutama sekali pembinaan watak dan latar yang dipaparnya.

Dengan tempoh yang agak lama dalam produksi, ramai yang beranggapan bahawa filem ini boleh digarap dengan lebih baik. Kesempurnaan penghasilan WW1 pada 2017 dahulu tidak berjaya diulangi oleh WW84.

Antara kelemahan awal dalam WW84 adalah pembinaan wataknya. Semua orang akan sentiasa ingat bagaimana karakter Diana Prince dibina perlahan-lahan dengan amat berkesan dalam WW1, serta bagaimana watak-watak antagonisnya muncul dengan amat berkesan.

Hal tersebut tidak begitu dititik beratkan dalam WW84. Misalnya, dengan mengambil tempat pada tahun 1984, Diana Prince telah melalui lebih 70 tahun kehidupan di samping manusia biasa semenjak Perang Dunia Pertama. Seperti mana wataknya yang amat matang dan berpersonaliti dalam BvS dan JL, ia tidak begitu menjadi di dalam WW84.

70 tahun selepas kematian Steve Trevor (Chris Pine), Diana Prince diharap telah melalui begitu banyak pengalaman yang membentuk karakter yang lebih mendalam. Bukan lagi puteri Amazon yang masih naif berdepan naluri manusia biasa. Namun WW84 menampilkan watak Diana Prince yang seolah baru sedar dari tidur yang panjang sejak kali terakhir muncul di layar perak - masih terperangkap dalam pencarian identiti dan pengertian moral manusia yang asas sebagai seorang adiwira atau puteri Amazon.

Begitu juga dengan cara Steve Trevor dihidupkan semula. Sejak trailer pertama ditayangkan, peminat Wonder Woman amat ternanti-nanti dan teruja untuk melihat bagaimana watak tersebut dihidup kembali, dan menjadi antara topik yang paling banyak dibincang dan dispekulasikan.

Sebagai salah satu premis dan tarikan besar kepada WW84, akhirnya cara Steve Trevor dihidupkan semula dilihat agak tawar dan tidak kena. Mengenangkan betapa sofistikated dan bijaknya cara watak-watak Wonder Woman diperkenal (dan dimatikan) dahulu, tidak salah untuk kita mengharapkan lebih daripada WW84.

Kekuatan WW1 dahulu bukan hanya terletak pada protagonisnya, sebaliknya juga pada watak-watak antagonis yang dimunculkan dalam ceritanya.

Berbanding hanya seorang antagonis utama dalam WW1, iaitu Ares (David Thewlis) di samping antagonis sekunder (Dr Poison dan Erich Luderndoff), WW84 mengambil risiko dengan menampilkan dua orang antagonis utama (Cheetah lakonan Kristen Wiig dan Maxwell Lord lakonan Pedro Pascal).

Kedua-dua Cheetah dan Maxwell Lord adalah watak antagonis yang terkenal dan sering muncul dalam siri-siri komik Wonder Woman. Pedro Pascal dan Kristen Wiig membawa kedua-dua watak tersebut dengan berkesan, namun gagal apabila ada antara mereka tidak diberikan ruang dan fungsi sepenuhnya.

Ini adalah masalah yang sama dihadapi oleh filem seperti Aquaman misalnya – kewujudan lebih dari seorang antagonis utama yang bergerak seiring kadangkala tidak menjamin pembinaan karakter dan jalan cerita serta konflik masing-masing dengan lebih baik.

Lebih bermasalah lagi, apabila kedua-dua antagonis tidak mencapai peak moment masing-masing dengan sempurna, dan dikalahkan dengan cara yang agak anti-klimaks juga.

Sebagaimana ramai yang tidak berpuas hati dengan penggunaan watak Black Manta dalam Aquaman (atau Joker dalam Suicide Squad), pasti ramai yang akan merasakan hal yang sama apabila melihat Cheetah dalam WW84 yang merupakan antara arch-enemy Wonder Woman paling terkenal.

Meninggalkan permasalahan watak, antara kekurangan yang ketara dalam WW84 terletak juga pada elemen-elemen cerita termasuk seperti alegori dan latar kepada filem kali ini.

1984 adalah antara tahun-tahun puncak kepada Perang Dingin yang sangat kaya dengan peristiwa yang boleh dipersembahkan di dalam filem; sama seperti mana Perang Dunia Pertama yang diguna dan dipersembahkan dengan cukup cemerlang dalam WW1.

Babak di No Man’s Land dalam WW1 misalnya dianggap sebagai antara terhebat pernah direka dalam filem moden, selain pilihan untuk menjelmakan Erich Luderndoff (tokoh sebenar tentera Jerman) sebagai antagonis dalam dunia fiksyen dilihat amat berkesan untuk menggerakkan filem.

Dalam erti kata lain, Patty Jenkins telah menggunakan sepenuhnya Perang Dunia Pertama untuk menghidupkan jalan cerita WW1, menjadikannya sebagai lebih dari filem adiwira, sebaliknya juga sebuah fiksyen sejarah yang relatable dengan sejarah dunia sebenar.

Latar Perang Dingin yang sangat menarik bagaimanapun tidak digunakan sepenuhnya WW84.

Patty Jenkins memilih untuk mencipta krisis fiksyen yang kelihatan lebih besar berbanding situasi sebenar Perang Dingin.

Latar cerita ini tidak begitu berjaya, sedikit bercelaru, dan tidak meyakinkan. Watak-watak sebenar ala Luderndorff juga tidak diwujudkan sepenuhnya dan lebih banyak berkias dalam menghiasi penceritaan. Ia menjadi sedikit jauh dari memori sejarah penonton dan filem ini hampir terasa seperti Marvel; dunia sendiri yang tidak begitu relatable dengan dunia sebenar.

Krisis yang timbul dalam filem ini amat besar – lebih besar dari Perang Dingin dan tentu sekali menjadi peristiwa penting dalam garis masa DCEU. Begitupun ia seolah-olah tidak pernah dilalui dan dilupakan langsung.

Jika anda adalah peminat DC yang fasih dengan garis masa filem-filem DCEU, anda akan faham dan tertanya-tanya bagaimana peristiwa di dalam WW84 ini tidak pernah langsung disebut atau dirujuk. Misalnya, pada 1984, Bruce Wayne (Batman) sudah pun berusia 10 tahun, tidakkah apa yang sedang berlaku waktu itu menjejaskan beliau?

Kita juga dapat merasakan bagaimana WW84 sebenarnya dihasilkan dalam suasana DCEU yang sedang terumbang-ambing. Menjadi satu kebiasaan buat peminat filem adaptasi komik adiwira untuk mencari easter eggs, kemunculan istimewa adiwira lain, atau sedikit bayangan dan homage kepada judul-judul lain yang bernaung bawah universe yang sama – sayang sekali ia tidaklah begitu wujud dalam WW84. Ada elemen-elemen homage kepada  pop culture yang dimasukkan, namun tidak sampai ke tahap begitu mengujakan sehingga boleh dibuat thread di Reddit.

Bukan semata-mata kerana latar masanya (mungkin pada 1984 hanya ada Wonder Woman seorang), sebaliknya juga kerana filem ini ketara ditulis tanpa sedikit pun cuba untuk dikaitkan dengan DCEU.

WW84 hampir-hampir adalah sebuah filem stand alone jika bukan kerana ianya adalah sebuah sekuel. Seperti yang disebut tadi, DCEU dalam tahun-tahun kebelakangan ini sedang terumbang-ambing. Banyak tajuk-tajuk yang dirancang telah dibatal atau ditangguh. Mungkin ini telah menjejaskan penulisan WW84 - yang mana ia kelihatan seperti filem yang mencari exit point dari DCEU berbanding mencari kesinambungan.

Dengan sedikit lompang-lompang yang wujud ini, WW84 yang amat ditunggu-tunggu sedikit menghampakan. Demikian pun, tidak dinafikan sentuhan magis Patty Jenkins dalam penghasilan visual dan koreografi terutama aksi pertarungan masih hebat dan menghiburkan. Kreativitinya masih tidak kalah. Feel good factor seperti WW1 masih boleh dirasakan melalui WW84.

Begitu juga dengan keupayaannya untuk menjelmakan elemen-elemen dalam komik yang agak absurd ke layar perak, misalnya jet halimunan. Jet halimunan Wonder Woman tidaklah sehebat Batmobile di dalam komik mahupun di luar, malah ia kadangkala menjadi jenaka klasik bagi peminat DC. WW84 bagaimanapun berjaya mencari jalan untuk menjelmakan jet tersebut dengan berkesan dan mengagumkan.

Begitu juga dengan tema keseluruhan filem. Patty Jenkins tidak mengehadkan pemilihan tema bersandarkan desakan-desakan media moden; misalnya persoalan ras, agama, atau gender (yang telah ditonjolkan dengan baik dalam WW1) sebaliknya memilih greed – nafsu tamak manusiawi sebagai tema utama filemnya.

Tema seperti ketamakan, eksploitasi modal, geopolitik, ekonomi, mobiliti sosial, dan class struggle jarang gagal apabila dibawa masuk ke dalam sesebuah filem. Sayangnya, ketika WW84 selesai dihasilkan, pandemik Covid-19 mengambil alih latar kehidupan kita.

Maka dari satu sudut, tema sama seperti yang pernah membuahkan Oscar buat filem Parasite arahan Bong Joon Ho dua tahun lalu, tiba-tiba terasa sedikit janggal dan tidak begitu diraikan kali ini. Dalam tempoh pandemik sekarang, tema survival manusia nampaknya lebih banyak diraikan berbanding yang lain, meletakkan WW84 dalam situasi sukar. 

Begitulah lebih kurang pendapat dan kritik yang boleh difikirkan selepas menonton WW84. Biarpun WW84 mengalami sedikit kesukaran yang sebenarnya boleh dipersebabkan kepada expectation tinggi penonton dan pengkritik filem, Patty Jenkins telah pun disahkan mendapat lampu hijau untuk menyambung premis Wonder Woman, menjadikannya adiwira pertama dalam DCEU yang bakal mendapat trilogi lengkap. Kali terakhir filem DC yang berjaya menjadi trilogi adalah The Dark Knight oleh Christopher Nolan – filem canon yang setakat ini bukan sebahagian DCEU.  

Jika anda berpeluang atau bercadang untuk menonton WW84 di HBO Max, di panggung-panggung wayang berdekatan, (mahupun di laman-laman bajak), mungkin anda boleh rendahkan sedikit expectation untuk sekuel yang lama dinantikan kali ini. Ia tetap adalah filem yang baik, menghiburkan, serta dihasilkan dengan cemerlang, cuma ada kekurangan yang boleh dibaiki.

Bagi peminat DC pula, Wonder Woman 1984 tetap adalah filem yang wajib ditonton sementara menunggu misalnya Justice League Snyder Cut, The Batman (mungkin bukan sebahagian DCEU), Aquaman 2, dan tentu sekali Flashpoint – yang diharapkan menjadi soft reboot sekaligus redemption buat DCEU. - ALTERNATIF

Foto hiasan ihsan Warner Brothers

Share this Post: