Jika Lucky Kuswandi menyutradarakan filem, ia pasti akan memberikan kesan kepada penonton-penontonnya. Salah satunya ialah filem terbaharu beliau, Ali & Ratu Ratu Queens yang ditayangkan di Netflix. Lucky memang bijak bereksperimen dalam setiap filem beliau. Jarak masa bertahun-tahun akan diambil sebelum menghasilkan filem baharu.
Lihat sahaja, antara filem berkualiti beliau, “Madame X” dan “Selamat Pagi, Malam”. Lucky benar-benar melakukan kajian dan mengikuti keadaan sosial atau situasi yang terjadi. Filem-filemnya akan meninggalkan anda dengan sesuatu perasaan setelah selesai menontonnya. Entah apa perasaan itu. Yang pasti, ada cerita di sebalik filem-filemnya.
Dalam filem Ali & Ratu Ratu Queens, jalan ceritanya sudah boleh diduga. Jalan ceritanya ‘as simple as that’. Perjalanan seorang anak muda bernama Ali (dilakonkan oleh Iqbaal Ramadhan yang popular kerana filem Dilan) mengembara ke kota New York untuk mencari ibu kandungnya. Walau bagaimanapun, setelah tiba di kota asing itu, Ali menyedari bahawa pencarian Mama (Marissa Anita) tidak semudah yang difikirkan.
Dia bernasib baik kerana bertemu dengan empat orang imigran Indonesia yang sudah lama bekerja atau menetap di sana; Party (Nirina Zubir), Biyah (Asri Welas), Ance (Tika Panggabean) dan Chinta (Happy Salma). Keempat-empat orang ini pula memiliki sikap berbeza dan saling bertentangan. Ada yang bersikap ‘pacifist’, garang, melucukan dan baik hati. Tetapi, mereka semuanya berbahagia dan saling menerima antara satu sama lain. Setiap orang bebas menjadi diri sendiri.
Ya, filem ini menceritakan tentang beban perpisahan antara Ali dengan Mama. Tentang keluarga. Tentang kasih sayang. Tentang rumah. Tentang pencarian. Ali merindui ibunya yang sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Dan Mama yang terpaksa melepaskan anaknya demi membina masa depan. Beban perpisahan ini juga nampaknya masih tidak selesai kerana konflik Ali-Mama seakan-akan tidak ada ‘closure’. Apakah Ratu Ratu Queens sudah menjadi Mama baharu bagi Ali? Apakah Mama sudah berdamai dengan masa lalunya?
Lakonan cemerlang Marissa Anita dan keempat-empat orang Ratu memang tidak boleh dinafikan. Bersahaja, tidak berlebihan dan neutral. Apatah lagi dengan lakonan Marissa. Wataknya ini tidak menggunakan banyak dialog tetapi cukup memberikan kesan emosional kepada para penonton. Menariknya, lebih banyak watak perempuan berbanding dengan watak lelaki dalam filem ini. Watak lelaki yang kuat dalam filem ini hanyalah Ali. Sementara itu, watak bapa Ali, saudara Ali dan suami baharu Mama cuma muncul seketika.
Namun, pada masa sama, ada sisi lain yang mungkin hendak disampaikan dalam filem ini. Sisi imigran Indonesia. Orang-orang seperti Party, Biyah, Ance dan Chinta yang merantau ke luar negara sejauh New York untuk mencari rezeki dan memulakan hidup baharu. Mereka harus melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti tukang urut, tukang cuci dan jurugambar bebas. Mereka ini juga menanggung beban perpisahan dengan keluarga mereka di Indonesia. Ya, perpisahan sering menjadi beban yang paling berat. Lebih-lebih lagi sekiranya harus berpisah dengan orang-orang yang dikasihi.
Malah, mereka membawa watak-watak yang amat realistik dan dekat dengan kehidupan sehari-hari kita. Ada yang merupakan ibu tunggal dan ada pula pernah ditipu oleh ejen sehinggakan hilang wang simpanan. Mereka ini ialah orang-orang terpinggir yang selalu dilupakan. Yang tak akan pulang jika belum menjadi ‘seseorang’. Jangan lupa, Mama juga sebelum ini membawa cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi di New York, tetapi berakhir sebagai pelayan kafe dan kemudiannya pula menjadi isteri kepada seorang lelaki kaya.
Walaupun Ratu Ratu Queens sudah lama merantau, mereka tidak pernah melupakan kampung halaman. Ke-Indonesia-an filem ini tetap dirasakan meskipun ia berlatar belakangkan New York. Ada satu babak apabila mereka bercerita tentang kerinduan terhadap kampung halaman. Malah, mereka juga masih berbicara dengan menggunakan bahasa Indonesia, masih tahu memasak rendang daging dan masih menyokong pasukan bola sepak Persebaya (pasukan bola sepak Surabaya). Mereka juga berusaha untuk membuka sebuah kedai makan, yang sudah tentu ialah kedai makan Indonesia.
Di samping itu, filem ini tidak memaparkan gah atau keindahan kota New York yang biasanya ditampilkan dalam banyak filem secara berlebihan sehinggakan menyebabkan kita mendambakan kota itu. Walau bagaimanapun, filem ini membawa kita menengok sisi lain kota tersebut terutamanya Queens. Mungkin kebetulan lokasi ini diambil, atau filem ini seakan-akan ingin memberikan penghormatan kepada para imigran, perantau atau buruh migran Indonesia dengan nama Queen – sebagaimana Party, Biyah, Ance dan Chinta yang menggelar diri mereka sebagai Ratu. Merekalah pahlawan devisa* yang membawa nama Indonesia.
Oleh yang demikian, jika Joko Anwar, salah seorang sutradara terbaik Indonesia sendiri menyatakan bahawa beliau sangat berbangga menonton filem ini sebagai orang Indonesia dan sebagai sebahagian daripada sinema Indonesia, maka kita boleh katakan bahawa filem Lucky ini bukan sahaja membuatkan kita mahu ke New York tetapi Indonesia!
* Pahlawan devisa merupakan istilah Indonesia untuk merujuk kepada orang-orang yang bekerja di luar negara dan menyimpan wang daripada gaji mereka dalam bentuk mata wang negara asal. Pertukaran daripada mata wang asing ke mata wang negara asal dilihat akan meningkatkan nilai mata wang negara asal tersebut. Oleh sebab itulah mereka dianggap sebagai pahlawan.
Sharifah Nursyahidah merupakan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang meminati penyelidikan dalam politik budaya dan gerakan buruh. Telah menulis beberapa buku antaranya "Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme” dan artikel seperti “Raver dan Hipster: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur”.
Foto: Netflix
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.