PLACEBO VS NOCEBO

PLACEBO VS NOCEBO

Apa itu placebo?

Placebo adalah kaedah rawatan atau bahan tidak aktif yang tidak memberi sebarang kesan perubatan terhadap tubuh.

Bahan aktif tersebut antaranya adalah air steril, larutan garam atau pil gula.

Ringkasnya, placebo adalah ubat palsu atau kaedah rawatan palsu.

Kesan placebo pula merujuk kepada apa-apa kesan psikologi mahupun fizikal hasil daripada rawatan placebo atau pengambilan ubat placebo.

Contoh situasi: Anda telah membeli satu produk minuman kesihatan di pasaran yang dikatakan sangat berkesan dalam merawat masalah letih dan tubuh lesu.

Selepas beberapa pengambilan, anda merasakan perubahan positif pada tubuh anda. Keletihan dan kelesuan yang dialami sudah semakin berkurang.

Tidak lama kemudian, tular di media sosial bahawa produk yang diambil tersebut sebenarnya tidak mengandungi apa-apa bahan aktif bagi mengatasi masalah keletihan dan kelesuan yang dinyatakan. Produk tersebut hanyalah produk palsu.

Kesan placebo

Kesan terapeutik yang anda rasakan tersebut dipanggil kesan placebo.

Kesan positif yang anda rasakan tersebut sebenarnya merupakan hasil daripada pemikiran yang positif dan harapan yang tinggi untuk merawat masalah yang dialami.

Penting bagi kajian perubatan dan farmaseutikal

Dalam kajian perubatan dan farmaseutikal, placebo merupakan sesuatu yang mesti dan penting dalam ujian klinikal.

Sebagai contoh, bagi uji kaji klinikal sesuatu ubat-ubatan, peserta yang terlibat akan dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama tidak diberikan sebarang ubat, kumpulan kedua pula diberikan ubat yang diuji kaji manakala kumpulan ketiga diberikan pil gula tanpa pengetahuan mereka, iaitu pil dengan rupa dan warna yang sama seperti ubat yang dikaji tersebut tetapi yang tidak mempunyai sebarang bahan aktif untuk tujuan perubatan.

Ubat yang diuji kaji tersebut akan diluluskan jika kesan rawatannya melebihi kesan placebo.

Kajian tentang kesan placebo dalam mengurangkan kesakitan menunjukkan 30 sehingga 60 peratus peserta menyatakan tahap kesakitan yang mereka alami berkurangan selepas mengambil pil placebo.

Apa itu nocebo?

Nocebo pula bertentangan daripada placebo.

Nocebo menerangkan keadaan yakni kesan negatif berlaku hasil daripada rasa percaya kepada perkara-perkara negatif atau fikiran yang negatif itu sendiri.

Contoh situasi: Anda kerap mengalami sakit kepala. Kebiasaannya anda berjumpa doktor dan mengambil ubat yang diberi mengikut preskripsi doktor tersebut.

Namun, kali ini anda membuat keputusan untuk membeli ubat bagi merawat sakit kepala di kaunter farmasi sahaja setelah membuat bacaan tentang sejenis ubat bagi merawat masalah sakit kepala yang anda alami.

Melalui pembacaan anda, telah dinyatakan kesan sampingan pengambilan ubat tersebut seperti loya dan muntah.

Sebelum anda makan ubat tersebut, kesan-kesan sampingan yang dinyatakan itu berlegar-legar dalam fikiran anda. Dan, selepas makan ubat anda mula berasa loya dan ingin muntah.

Setelah beberapa lama kemudian, anda mendapati ubat yang anda beli di kaunter farmasi adalah ubat biasa yang anda makan dengan preskripsi doktor tanpa sebarang kesan sampingan sebelum ini.

Kesan nocebo

Kesan negatif yang anda alami tersebut merupakan kesan nocebo iaitu pemikiran negatif berupaya mempengaruhi tindak balas tubuh terhadap sesuatu perkara.

"Mind over medicine"

Pemikiran positif dan pemikiran negatif sebenarnya memainkan peranan dan mampu mempengaruhi kesihatan fizikal seseorang.

Pemikiran yang positif serta harapan yang tinggi dalam diri seseorang pesakit itu mampu membantu fizikalnya untuk kembali sembuh walaupun hakikatnya ubat yang diberikan kepadanya hanyalah ubat palsu.

Pemikiran yang negatif pula berupaya mempengaruhi tubuh kita untuk bertindak balas sebagaimana yang berada dalam minda kita.

Selain berikhtiar dengan rawatan dan ubat-ubatan, rawatlah fizikal kita dengan minda yang positif juga.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.annualreviews.org/doi/10.1146/annurev-pharmtox-010818-021542

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK513296/

https://medsafe.govt.nz/profs/PUArticles/March2019/The%20nocebo%20effect.htm

https://www.medicalnewstoday.com/articles/306437#how-does-it-work

(Kredit foto: vox.com)

Share this Post: