Ada satu kiriman daripada seseorang wanita yang minta saya kongsikan pada wanita lain yang perlukan. Kisahnya pada saya agak menarik dan mungkin boleh jadi tauladan. Pastinya, isu ini bukanlah ada pada semua lelaki cumanya berharap agar ada pertimbangan kepada wanita sebelum membuat keputusan.
Kisahnya adalah Siti (bukan nama sebenar) bekerja sebagai kakitangan awam di sekitar Lembah Klang. Ada seorang lelaki yang dia kenali ingin melamarnya untuk dijadikan isteri. Namun, lelaki tersebut bukanlah anak teruna sebaliknya seorang duda anak tiga.
Siti tak kisah dan melihat sikap tanggungjawab lelaki tersebut kepada anak-anaknya dimana lelaki tersebut sering beritahu Siti yang dia baru lepas hubungi anak-anak, sering bawak anak berjalan ketika cuti panjang dan tak gagal beri nafkah anak walaupun anak-anak berada bersama bekas isteri.
Jadi, Siti pun menerima lamaran setelah berkali-kali diajak dan langsung perkahwinan secepat mungkin. Katanya bercinta selepas nikah. Keluarga Siti pun ikutkan saja tanpa melengah-melengahkan.
Selepas kahwin, barulah terdedah ‘true colour’ suaminya. Nafkah untuk Siti tidak ada. Rumah kelamin pun menetap di rumah milik Siti. Suami hanya bayar bil eletrik sahaja. Barang-barang dapur, pakaian dan kosmetik Siti semuanya ditanggung sendiri. Bila disoal tentang nafkah, asyik cakap tiada. Bahkan dimarahi kerana asyik cakap tentang duit.
Siti jadi hairan sebab rasanya suaminya yang dianggap bertanggungjawab tersebut tak sama selepas nikah. Jadi Siti mula mencari bekas isteri untuk menyiasat sama ada suaminya banyak berikan kepada anak-anak sehingga tiada peruntukan kepada Siti.
Bekas isteri sangat baik dan ramah kepada Siti. Barulah Siti tahu rupanya nafkah anak yang diberi mengikut perintah Mahkamah tidaklah tinggi mana. Bahkan mungkin tidak cukup. RM200 sahaja sebulan untuk setiap seorang anak. Jadi, hanya RM600 sahaja nafkah anak. Bekas isteri pun berkata, dulu bercerai pun secara fasakh kerana suami gagal beri nafkah.
Akhirnya, Siti pun faham. Dan kini Siti menyesal kerana tersalah langkah. Bukan tidak terima jodoh ketentuan, tapi terlalu gelojoh sebelum membuat keputusan terbaik.
Nasihat perundangan
Perkahwinan adalah ketentuan. Itu betul. Tapi, kita juga sebenarnya berhak untuk mengenal terlebih dahulu siapa bakal imam kita. Tidak salah memilih duda. Ini bukan isu duda atau teruna. Tetapi isu tanggungjawab.
Pada kebiasaan, seorang lelaki duda yang mempunyai anak, dia akan ada pelbagai tanggungjawab misalnya, nafkah anak.
Biasanya seorang lelaki yang pernah bercerai akan ada anak. Dan pastinya, nafkah anak masih perlu ditanggung oleh lelaki tersebut. Dan pada kebiasaan juga, seorang lelaki ini telah diperintahkan oleh Mahkamah untuk menanggung nafkah anak.
Sebagai wanita yang bakal berkahwin dengan duda, anda berhak tahu berapa jumlah yang diperintahkan tersebut. Siasat terlebih dahulu. Jika perintah nafkah anak hanya RM200 sebulan, percayalah, antara dua. Sama ada gajinya memang sedikit ataupun kedekut. Tapi, kalau RM500 keatas untuk seorang anak, insya Allah, mungkin pendapatannya stabil atau bertanggungjawab pada anaknya.
Kemudian juga, ambil kira nafkah eddah & mutaah. Pada kebiasaan juga, seorang duda yang bercerai juga akan ada perintah atau saman nafkah eddah dan mutaah yang telah atau bakal dihadapi. Ini merupakan hak bekas isteri yang ada dalam Islam.
Ada keadaan yang nafkah eddah dan mutaah tersebut mungkin tidak tinggi, tapi pastinya perlu ada pembayaran dibuat oleh lelaki tersebut.
Isu hak jagaan anak juga selalu timbul bila satu pasangan bercerai. Ada yang mungkin faham dan boleh bertolak ansur tentang hak jagaan, melawat dan bermalam. Namun, tak kurang banyaknya juga pergaduhan tentang hak jagaan.
Pastinya sebagai bakal isteri, mungkin anda tidak mahu sebarang isu timbul. Cuma, pastinya akan libatkan anda juga bila dah berkahwin nanti. Ada yang boleh terima anak tiri, dan ada juga yang tak boleh terima.
Hutang dengan bekas isteri juga antara perkara yang melingkari seorang duda. Ada juga duda yang dalam perkahwinan terdahulu mempunyai hutang dalam perkahwinannya terdahulu. Contohnya, pernah meminjam duit bekas isteri, menggadai barang kemas dan lain-lain perkara yang disifatkan meminjam tapi tidak menjelaskan hutang kepada bekas isteri.
Jangan ingat semua harta yang si lelaki tersebut tunjuk kepada anda, anda dapat rasakan memang dia berharta. Akhirnya lepas kahwin baru anda dapat tahu, ada satu kes yang belum selesai antara suami anda dan bekas isterinya yang menuntut harta-harta tersebut sebagai harta sepencarian.
Bahkan, ada juga harta yang digunakan tersebut adalah milik bekas isteri yang tidak dipulangkan. Bila sebut tentang harta sepencarian, pasti, setiap harta yang dimiliki dalam tempoh perkahwinan tersebut pasti ada sebahagiannya milik bekas isteri. Cumanya, nilai tersebut mungkin tidak banyak bergantung kepada takat sumbangan.
Ada duda yang sudah tiada apa-apa harta kerana semuanya sudah diisytiharkan harta sepencarian dan dijual untuk dibahagikan mengikut bahagian kepada bekas isteri
Kesimpulannya, sekali lagi saya katakan, isu ini bukan bermaksud kahwin dengan lelaki duda ini teruk, cuma ada risiko yang seorang wanita perlu hadapi sebelum berkahwin.
Sebaiknya, wanita ini perlu siasat terlebih dahulu. Bahkan, ahli keluarga juga perlu mengambil tahu secara mendalam kisah perceraian lalu. Ada yang menyesal kerana baru tahu lelakinya panas baran dan memukul isteri kerana tidak siasat perceraian lalu disebabkan fasakh mendatangkan kemudharatan kepada isteri terdahulu.
Kita semua diberi pilihan. Mempunyai hak untuk menilai sebelum membuat keputusan. Selebihnya, berserah kepada Allah.
Duda terlajak laris tu hanya wujud dalam novel sahaja. Jangan berharap sangat. Faham ke tidak?
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto Ihsan Pinterest
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.