Plastik terdapat dalam hampir semua aspek kehidupan seharian kerana penggunaannya yang meluas. Pengeluaran plastik telah meningkat dengan pesat pada awal tahun 1950 di mana bermulanya perkembangan industri pembuatan. Terdapat banyak aplikasi plastik termasuk peralatan pertanian, peralatan rumah, perabot, pembungkusan, industri automotif, elektrik dan elektronik dan banyak lagi.
Zarah-zarah mikroplastik menjadi kebimbangan sejak kebelakangan ini terhadap pencemaran plastik kerana ukurannya yang terlalu kecil iaitu kurang dari 5 mm dan tidak mudah dikesan oleh mata kasar. Mikroplastik adalah istilah yang menggambarkan serpihan plastik yang tersebar di lautan dan plastik ini berkemungkinan akan dimakan oleh organisma laut. Mikroplastik juga merupakan bahan sintetik dengan kandungan polimer yang tinggi dan tidak dapat dihancurkan.
Mikroplastik biasanya terdapat di lautan, sedimen, sungai, dan di bawah permukaan perairan di laut. Mikroplastik terdapat dalam sebilangan besar plastik yang tersebar di lautan dan kuantitinya dikhuatiri meningkat kerana kemampuan satu plastik besar untuk dipecah menjadi berjuta-juta kepingan mikroplastik melalui tindakan mekanikal.
Selain itu, mikroplastik terhasil dari dua sumber iaitu sumber primer dan sumber sekunder. Mikroplastik primer adalah jenis mikroplastik yang bocor ke persekitaran. Mikroplastik sekunder adalah mikroplastik yang mencapai persekitaran tanah.
Mikroplastik yang mencemarkan air akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan beberapa strategi perlu dilaksanakan untuk menghentikan pencemaran ini. Kewujudan mikroplastik telah dilaporkan dan diakui sebagai pencemar berpotensi yang dapat memberikan kesan negatif kepada persekitaran akuatik dan menyebabkan risiko terhadap kesihatan ekosistem akuatik.
Ikan adalah kumpulan populasi yang paling banyak dipengaruhi oleh pencemaran mikroplastik di antara semua organisma lain di persekitaran akuatik. Mikroplastik mempengaruhi ikan secara fizikal dengan menyumbat sistem pencernaan dan menyebabkan keradangan pada tisu saluran pencernaan yang akan mencegah nutrien diserap dengan tepat. Mikroplastik juga akan mempengaruhi kemampuan ikan untuk makan yang sekaligus akan mengganggu pertumbuhan, pembiakan dan kemampuan mereka untuk berfungsi dengan normal.
Selain itu, banyak kajian telah dilakukan untuk mengkaji kesan mikroplastik terhadap organisma akuatik lain. Mikroplastik dapat melemahkan prestasi pembiakan tiram di lautan. Pengambilan mikroplastik juga akan membawa risiko kepada kelangsungan hidup dan proses penetasan telur kopepod yang juga dipengaruhi oleh pengurangan telur apabila alga memakannya.
Salah satu organisma yang hidup di lautan yang turut dipengaruhi oleh mikroplastik adalah karang. Mikroplastik akan dimakan oleh karang dengan cara menelan mikroplastik tersebut atau menyerap dan mencernanya. Mikroplastik akan mempengaruhi tisu karang mesenterial yang akan mengurangkan keupayaan karang untuk makan dan akan mengurangkan tenaga simpanan.
Seterusnya, mikroplastik juga mempengaruhi plankton di habitat laut dengan menembusi ke dinding sel fitoplankton yang akan mengurangkan penyerapan klorofil. Plankton juga mengekalkan serpihan plastik yang terlalu kecil di dalam tisu mereka melalui proses fagositosis.
Pengambilan mikroplastik juga akan memberi kesan negatif kepada spesies terancam seperti burung laut yang akan mempengaruhi tingkah laku makan, kematian dan pembiakannya. Haiwan laut yang besar seperti ikan hiu, ikan paus, anjing laut, penyu laut dan beruang kutub juga akan memakan mikroplastik dan perkara ini dibuktikan dengan penemuan mikroplastik di dalam perut anjing laut, Phoca vitulina. Makhluk besar akan memakan mikroplastik secara langsung dengan menelan air laut yang dicemari mikroplastik atau secara tidak langsung dengan memakan mangsa lain yang mengandungi mikroplastik di dalam badan mereka.
Oleh kerana pencemaran ini berlaku secara serius, penelitian yang lebih mandalam haruslah dilakukan untuk memastikan pencemaran plastik dihentikan sekaligus meneliti cara membersihkan laut yang dapat diguna pakai di seluruh dunia. Sejujurnya, satu undang-undang harus diwujudkan mengenai penggunaan plastik berlebihan yang terkawal sehingga rakyat menyedari tentang kesan bahaya dari serpihan plastik di ekosistem laut. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan semula mengenai larangan sepenuhnya produk plastik.
Selain itu, pengurusan pembaziran plastik secara sistematik harus dilakukan seperti memeriksa pengumpulan sampah untuk mencari plastik dan mengitar semula dengan cara yang betul. Perkara yang paling biasa dilakukan ialah kempen untuk mendidik orang ramai mengenai kesan mikroplastik terhadap alam sekitar supaya mereka mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai sejauh mana mikroplastik memberi kesan buruk terhadap alam sekitar. Kesimpulannya, setiap individu haruslah bekerjasama dalam menangani masalah pencemaran mikroplastik ini agar tidak terus mencemarkan alam sekitar.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto ihsan Shutterstock/Dotted Yeti
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.