Ketika saya mula berjinak-jinak untuk mengenal politik kepartian dan pilihan raya, seorang rakan berkongsi petikan ini:
If you are neutral in situations of injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has its foot on the tail of a mouse and you say that you are neutral, the mouse will not appreciate your neutrality - Desmond Tutu
Dia berkongsi petikan ini setelah saya dengan yakin diri mengatakan bahawa semua parti politik adalah sama dan mengundi adalah sesuatu yang sia-sia. Perbualan kami sebelum itu panjang setelah melihat kumpulan gelandangan dan memikirkan bagaimana teruknya kehidupan ini saat seseorang tidak mampu memiliki tempat selamat untuk melindungi diri.
Dan kami?
Masih bersenang-senang dalam universiti menikmati wang biasiswa, menghayati dingin-selesa perpustakaan, dan makan percuma selepas tamat program.
Ironinya, saya memilih untuk tidak berpihak sedangkan perubahan struktural dan proses membina semula negara boleh tercapai dengan perubahan kerajaan.
Perubahan organik yang bermula dengan kesedaran masyarakat?
Boleh, tetapi memakan masa.
Membaca dan menghayati kata-kata Desmond Tutu, saya insaf. Saya mula berpihak. Saya mula memberi peluang kepada parti pembangkang membawa perubahan dengan cara membuang undi ketika pilihan raya.
Kali kedua saya membuang undi, parti pembangkang menang. Kita gembira. Tiada kacau-bilau yang berlaku seperti dimomok-momokkan oleh propagandis Biro Tata Negara (BTN).
Sentimen Boikot Undi #UndiRosak PRU14
Sebelum terjadinya kemenangan 2018, sentimen boikot undi juga diapi-apikan. Hal ini terjadi antaranya disebabkan oleh kesepakatan Tun Dr. Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bersama-sama dalam Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan UMNO-Barisan Nasional. Sebilangan aktivis dan pempengaruh media sosial memainkan isu boikot undi ini.
Para pemula sentimen boikot undi ini ada yang bertahan sehingga hari mengundi, ada juga yang membuat pusingan-U. Pada saat-saat akhir, mereka ini memohon rakyat Malaysia turun mengundi pula. Akhirnya kita sedar, rupa-rupanya selepas tertubuhnya kerajaan baru - mereka yang prinsip laksana lalang inilah yang diberikan jawatan pegawai khas dan juga menerajui perbadanan milik kerajaan.
Kumpulan yang kekal dengan sentimen boikot undi, masih mempertahankan ego diri. Masih tidak dapat menerima kemenangan PH. Setiap pembaharuan polisi oleh kerajaan PH, mereka diamkan, walau sebenarnya patut dipuji. Apabila ada kesilapan yang selalunya terjadi akibat salah lapor media (misquote), isu-isu panas mainan lasykar siber, isu perkauman ala BTN, mereka ini yang akan meloncat dan terus menaip di media sosial - nasib baik boikot undi, tengoklah apa jadi sekarang. Kan dah kata . . .
Setelah Dr. Maszlee Malik meletak jawatan daripada menjadi Menteri Pendidikan, semua jadi terkesima. Siapa lagi yang layak selain dia?
Langkah Sheraton bermula.
Semua kembali menggigit jari. Kleptokrat dan segala jenis bapa koruptor kembali.
Menteri-menteri kangkong king kong kiang datang.
Duo Wan Azizah dan Hannah Yeoh digantikan dengan Rina Harun dan Kak Lah.
Menteri Pendidikan? Radzi Jidin.
Siapa lagi yang setanding dengan Anthony Loke, Yeo Bee Yin, Saifuddin Nasution dan Dr. Dzulkefly Ahmad?
Hari ini, kita melihat aneka jenis menteri dan kementerian yang langsung tiada fungsi.
Semangat membina negara semula
Saya fikir, dengan terpenjaranya Najib Razak kita mula sedar tentang kepentingan mengundi dan memilih kerajaan yang mempunyai keazaman politik untuk membina semula negara.
Malangnya, dalam keadaan pengumuman pilihan raya sewaktu ketidaktentuan cuaca dengan risiko banjir ini, ada lagi yang buta tuli dengan kejahatan kerajaan ini dan melaungkan - boikot undi.
Ini bukan satu rahsia - tidak turun undi adalah mengundi Barisan Nasional kembali. Rosakkan undi sama dengan mengundi Barisan Nasional.
Jika anda rasa anda cool dengan mengisytiharkan diri anda tidak mengundi, berkempen untuk boikot undi, dan mengejek serta merendah-rendahkan orang yang masih berpegang dengan harapan mengundi untuk perubahan, anda adalah orang yang berpihak dengan ketidakadilan.
Jika anda rasa anda cool dengan mengungkit kerajaan PH yang mengikut kata anda tidak mencapai tahap yang anda harapkan, mungkin anda perlu membuat ujian kesihatan kerana ejakulasi pramatang adalah salah satu simptom impoten.
Kalau berani, turunlah mengundi!
Semestakata; setiap malam mendengar suara semesta
Foto kredit: The Malaysia Life
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.