“Segala sesuatu di dunia ini boleh dirompak dan dicuri, kecuali satu perkara; satu perkara ini adalah CINTA, yang terpancar dari manusia ke arah komitmen yang kuat pada satu keyakinan atau perjuangan.” – Ghassan Kanafani
Ghassan Kanafani mungkin tidak sepopular Che Guevara, atau Yasser Arafat dalam perjuangan pembebasan. Walaupun mati dalam usia muda, sumbangan beliau dalam gerakan revolusioner tak boleh dikesampingkan.
Ghassan Fayiz Kanafani adalah seorang wartawan, penulis novel, editor dan aktivis politik. Beliau merupakan salah seorang pimpinan tertinggi dalam Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (Popular Front for the Libration of Palestine – PFLP).
Beliau mati dibunuh pada usia muda, 36 tahun, pada tanggal 8 Julai 1982, di Beirut, Lubnan, apabila kereta miliknya dipasang bom oleh MOSSAD (unit risikan Israel), yang turut mengorbankan anak saudaranya berumur 17 tahun, Lamees Najim. Pengebumian beliau dihadiri ribuan orang.
Beliau lahir pada tahun 1936, di Akka, Palestin. Bapanya seorang peguam; aktif dalam gerakan nasionalis menentang penjajahan British yang ketika itu turut menggalakkan pendudukan Yahudi di bumi Palestin, yang menyebabkan beliau dipenjara beberapa kali ketika Ghassan masih kecil.
Apabila perang Arab-Israel yang tercetus pada 1948, tiba di Akka pada Mei tahun yang sama, Ghassan dan keluarganya terpaksa melarikan diri bersama ratusan ribu yang lain. Mereka kemudiannya menetap di Damascus, Syria, sebagai pelarian Palestin.
Dalam surat kepada anaknya berdekad kemudian, beliau menceritakn tentang rasa malu yang teramat, melihat sendiri bagaimana keluarga mereka terpaksa meletakkan senjata, dan ikut sama menjadi pelarian perang. Ketika itu beliau berusia 10 tahun.
Beliau menamatkan sekolah di Damascus, kemudian menjadi guru seni di kem pelarian Palestin selepas menerima tauliah mengajar dari Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA). Ketika ini lah beliau mula menulis cerita pendek bagi pelajar memahami situasi mereka.
Dalam Politik
Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Damascus, di Fakulti Pengajian Sastera Arab. Ketika inilah beliau bertemu dengan George Habash, pemimpin Gerakan Arab Nasionalis (MAN), dan kemudiannya terlibat aktif dalam gerakan tersebut, yang juga menyebabkan beliau dibuang universiti.
Berhijrah ke Kuwait 1956, beliau menyambung kerjanya sebagai guru dan menjadi wartawan untuk majalah Al-Ra’I, akhbar milik MAN. Beliau berhijrah ke Beirut pada 1960 dan menjadi editor untuk akhbar Al-Hurriyya (pembebasan) juga milik MAN.
"Saya menulis dengan baik kerana saya percaya pada tujuan, pada prinsipnya. Pada hari saya meninggalkan prinsip-prinsip ini, cerita saya akan menjadi kosong. Sekiranya saya meninggalkan prinsip ini, anda sendiri tidak akan menghormati saya." – Ghassan Kanafani
Beliau kemudiannya menjadi editor untuk beberapa majalah dan akhbar, termasuklah Al-Muharrir (Sang Pembebasan), al-Anwar, serta majalah mingguan milik PFLP, Al-Hadaf (sasaran). Ketika ini juga PFLP meninggalkan faham Arab Nasionalis kepada gerakan revolusioner pembebasan Palestin.
Selain menjadi wartawan dan editor, beliau turut dipertanggungjawabkan untuk menyusun semula program politik PFLP pimpinan George Habash. Penulisan beliau banyak mempengaruhi pemikiran dan strategi dalam dunia Arab. Beliau kemudiannya dilantik menjadi jurucakap PFLP.
Sasterawan dan Aktivis
Antara tulisan beliau yang paling di ingati adalah novel Men in The Sun (Lelaki di Sebalik Matahari). Ia menceritakan kisah tiga pelarian Palestin dari pelbagai generasi yang cuba melintasi sempadan Iraq ke Kuwait dengan harapan mendapat pekerjaan di sana.
Tragedi itu terjadi ketika para pelarian melintasi sempadan, tetapi mati di tangki air yang mereka sembunyikan. Cerita ini diakhiri dengan pertanyaan yang menghantui, bahawa mereka mati bukan kerana panas terik matahari, tetapi kerana keheningan mereka sendiri.
Atas sebab ini, pengakhiran novel ini sering dibaca sebagai kritikan terhadap kekalahan dan kelemahan politik dalam masyarakat Arab dan seruan untuk "memukul dinding" korupsi yang menjangkiti masyarakat Palestin.
Selain merupakan seorang pemimpin politik yang disegani, namun nama beliau juga diangkat dalam dunia penulisan dan sastera. Kata Ghassan, sastera adalah semangat disebalik politiknya. Beliau telah menghasilkan puluhan tulisan, novel, cerita pendek, skrip teater dan penulisan akademik.
Gaya penulisan Kanafani telah digambarkan sebagai "jelas dan berterus terang"; teknik naratif modennya - menggunakan kesan pengimbasan semula dan pelbagai suara naratif - mewakili kemajuan yang jelas dalam fiksyen Arab.
Walaupun terkenal sebagai seorang militan, Ghassan Kanafani tidak pernah mengangkat senjata, sebaliknya menyerang musuh dengan tulisan-tulisan beliau, yang membangunkan semangat dunia Arab melawan rejim Zionis Israel.
"Perjuangan pembebasan Palestin bukan hanya untuk rakyat Palestin, tetapi sebuah perjuangan untuk setiap pembebasan ... sebagai perjuangan buat rakyat yang dieksploitasi dan ditindas di era kita." – Ghassan Kanafani
Melihat bagaimana dunia arab hari ini meninggalkan perjuangan membebaskan Palestin, dengan menormalisasikan hubungan dengan penjajah Israel, aku mengenang sendiri, bagaimana Kanafani akan bereaksi jika beliau masih hidup.
Alfatihah.
Free Palestine! Viva Palestina!
Amir Hadi adalah seorang aktivis hak asasi manusia. Pernah bersama SUARAM, beliau kini adalah Setiausaha Agung Liga Rakyat Demokratik dan merupakan salah seorang pengasas bersama Ikatan Rakyat Demokratik (MUDA).
Foto: Assafir
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.