Masa Azali, Mimpi Abadi, dan Mawar Infiniti

Masa Azali, Mimpi Abadi, dan Mawar Infiniti

Sebelum tidur Muhammadi terlebih dahulu membaca satu artikel melalui telefon bimbit, namun kelihatan dia tidak beberapa fokus. Dahinya berkerut seperti tidak berpuas hati. Setelah habis membaca dia meletak telefon bimbit dan merebahkan diri.

“Tidak mengapa kalau nak mempersenda cerita rekaan atau fiksyen. Tetapi mengaitkan fiksyen yang dipersenda dengan pemikiran seorang filsuf, itu tidak kena. Lagipun itukan fiksyen, biarkanlah.” bisik Muhammadi mengenang kembali artikel yang dibacanya tadi.

Suasana semakin sunyi. Muhammadi melelapkan mata, entah dibuai mimpi atau nyenyak hingga ke pagi. Malam pun semakin larut dalam kegelapan.

“Encik. Encik, kenapa tidur di sini?”

Muhammadi terjaga. Seorang lelaki pertengahan usia mengejutkannya. Muhammadi kehairanan. “Macam mana aku boleh tertidur atas kerusi ini?” Lelaki tadi berlalu pergi sambil melambai tangan kepadanya, seumpama mengajak ke suatu tempat. Muhammadi bangun dan menuruti lelaki itu.

Dia berjalan di satu laluan. Cantik seperti di dalam bustan. Taman indah yang dipenuhi bunga-bungaan berkelopak lima di sepanjang laluan. Berwarna merah sedikit terang, ada merah kepudaran dan ada yang keunguan. “Seperti pernah tengok bunga ini.” Muhammadi cuba mengingati.

Kemudian dia tiba di satu bangunan besar berwarna jingga kemerahan. Seumpama istana. Seni bina tua namun penuh keunggulan dan mengagumkan. Dia melangkah masuk dan kemudian sampai di satu bilik besar. Ada ramai orang – sekitar tiga puluh. Lelaki tadi sudah tidak kelihataan di dalam keramaian. Mereka masing-masing mengambil tempat di kerusi yang tersedia. 

Satu kerusi masih kosong. Lelaki yang duduk di sebelah kerusi itu mengisyaratkan kepada Muhammadi untuk duduk.

“Baiklah. Semua telah kembali. Kita akan sambung majlis perbincangan ataupun jadali ini.” Tiba-tiba ada suara.

Muhammadi melihat ke hadapan. Ada pentas. Empat orang seakan-akan panel mengambil tempat.

Yang bercakap tadi seakan moderator, dia salah seorang daripada mereka yang berada di atas pentas. Kelihatan segak seakan-akan rupa orang Arab. Berpakaian sangat kemas berjubah dan mengenakan pakaian bisht di bahagian luar yang besar di bahagian lengan. Tampak bergaya.

“Jadi anda mengatakan setelah mencipta alam ini, Tuhan cuma ‘memikirkan’ kebesarannya sahaja. Adakah anda bermaksud Tuhan ‘lepas tangan’ dan tidak memikirkan tentang alam yang diciptanya?” Moderator bertanya sambil matanya melihat kepada panel yang duduk di bahagian paling kiri di pentas.

“Ini majlis perbincangan apa?” hati Muhammadi tertanya. Namun dalam masa yang sama dia berminat untuk menantikan jawapan.

“Begini. Tuhan adalah asbab dan penggerak yang utama dan yang pertama. Dia tidak disebabkan oleh perkara lain. Dia juga adalah penggerak yang tidak bergerak. Unmoved mover.” Panelis pertama yang irasnya seperti orang barat memulakan jawapan. Rambutnya seperti tidak bersikat dan menghala ke depan, namun raut wajahnya tegas.

“Aku pernah terbaca mengenai Unmoved mover.” Bisik Muhammadi.

Panelis pertama menyambung “Maka setelah alam dicipta dengan qadar yang ditetapkan oleh-Nya, maka Tuhan cuma ‘memikirkan’ tentang kebesaran ‘diri-Nya’ atau zat-Nya sahaja. Tuhan yang Maha Besar itu tidak perlu memikirkan soal alam kerana itu cuma akan mengecilkan sifat-Nya. Tiada apa yang patut Tuhan risaukan. Kerana alam ini berjalan menurut kehendak-Nya atau qadar yang telah Dia tetapkan sejak azali lagi.

Qadar ini seumpama mekanisme atau ketetapan. Mungkin ada yang menamakannya sebagai ‘sunnah Tuhan’. Seperti bulan yang mengorbit. Orbit itulah mekanisme ataupun ketetapan Tuhan terhadap bulan, ia tidak melangkauinya dan tidak boleh bergerak sesuka hati di dalam semesta.”

“Jadi benarlah awak berpendapat Tuhan ‘terpisah’ dari alam ini?” Panel yang duduk di sebelah kanan pentas bertanya dan moderator membenarkan. Dalam urutan kiri ke kanan, dia adalah panelis ketiga. Wajahnya tenang dan penampilan pakaiannya kelihatan zuhud.

Panelis pertama pun menambah “tuan pasti setuju bahawa Tuhan bersifat qadim atau qidam yang bermaksud sedia ada. Itu sifat wajib bagi Tuhan. Jadi adalah mustahil untuk Tuhan bersifat huduth ataupun baharu. Bukankah alam dan dunia ini bersifat baharu? Jadi bagaimana Tuhan boleh bersama atau perlu memikirkan tentang sesuatu yang baharu sifatnya? Ia bertentangan dengan kemuliaan-Nya yang bersifat qidam.” 

“Betul juga ya.” Bersahaja kata-kata orang yang duduk di sebelah Muhammadi, dia pun menganggukkan kepala tanda bersetuju.

“Ada benarnya. Tetapi saya juga terasa ganjil. Apa respons tuan, jika Tuhan yang qidam itu ‘tidak memikirkan’ tentang alam yang bersifat baharu ini, lalu kepada siapa harus umat manusia meletakkan harapan?” Moderator bersuara sambil memandang panelis ketiga. Muhammadi serta hadirin lain nampak seperti tertunggu-tunggu jawapan.

“Benar Tuhan itu sedia ada dan bukannya bersifat baharu. Tetapi itu tidaklah bererti Tuhan terpisah daripada alam ini. 

Jika Allah cuma memikirkan kebesaran dan ‘diri-Nya’ sahaja, apa jadi pada doa kita semua? Satu pun tidak dimakbulkan. Lihatlah ketika Nabi berdoa sewaktu perang Badar, Tuhan memakbulkannya ketika itu juga. Itu bukti jelas menunjukkan Tuhan dan segala kebesaran-Nya sentiasa terkait dengan alam ini. Malah Tuhan amat dekat.”

Muhammadi diam sambil menyelami. Hadirin lain juga tampak seperti itu juga. Walaupun sunyi, namun terasa suasana sedikit panas.

“Tuan yang dimuliakan.” Panelis kedua yang duduk diantara panelis pertama dan moderator mula bersuara sambil memandang panelis yang ketiga. Pandangannya tajam, wajahnya serius tetapi suaranya tenang. Moderator mengangkat tangan dan mempersilakan.

“Sememangnya Tuhan amat dekat dengan alam ciptaan-Nya. Tetapi itu melalui qadar atau ketetapan-Nya semenjak azali lagi. Jauh awal di dalam masa. Ingatkah tuan kepada suatu hadith peristiwa Nabi Adam telah mengalahkan Nabi Musa dalam debat diantara mereka berdua? 

Nabi Adam berkata bagaimana Nabi Musa boleh mempersoalkan suatu takdir yang telah ditetapkan jauh mendahului penciptaan dirinya (Adam) sendiri? Jika dianalogi kepada doa Nabi dan doa kita sendiri, ia telah dimakbulkan melalui qadar serta keilmuan-Nya jauh sebelum kita sendiri berdoa. Jika kita berdoa sekarang…”

“Sekarang?” sampuk moderator.

“Ya sekarang, lalu apakah sekarang juga Tuhan akan mendengar rintihan kita dan Dia memakbulkannya? Apakah satu jam tadi misalnya, Tuhan tidak tahu yang kita akan berdoa sekarang?”

“Seperti berbangkit persoalan waktu di sini. Nampaknya doa kita dikabulkan sebelum kita berdoa lagi ya? Bukannya selepas kita berdoa barulah Tuhan mengabulkannya. Apakah ini bermaksud takdir juga telah pun sedia ditentukan?”

Hadirin nampak seperti sedikit terkeliru dan saling memandang antara satu sama lain. Namun ada juga antara mereka yang menganggukkan kepala termasuklah Muhammadi.

Panelis kedua memberi respons “Pernyataan tuan amat bijak. Persoalan ini terkait waktu dan sebagainya. Perlu diperbincang lanjut. Seperti mana Tuhan tidak bertempat, Tuhan juga tidak berwaktu. Masa dan tempat ataupun ruang adalah ciptaan-Nya juga. 

Cuma apabila di dalam Al-Quran, Tuhan menyatakan Dia ‘duduk’ di atas Arasy. Banyak juga contoh yang terkait dengan waktu misalnya Allah menurunkan Al-Quran selepas Injil. Injil diturunkan selepas Zabur dan Taurat. Ini kerana di dalam kitab suci, Tuhan menyampaikan mesej menggunakan bahasa insan.

Namun polemik Tuhan tidak bertempat ini amat ironi. Bagaimana seseorang yang mengatakan Tuhan tidak bertempat sedangkan di akhirat nanti dia percaya bahawa dia boleh melihat Tuhan dengan matanya sendiri? Saya tidak akan komen panjang perkara ini.”

“Benar, kita kekurangan masa.” Moderator mencelah.

“Baiklah. Perbendaharaan Islam menyatakan sekurang-kurangnya ada empat jenis waktu iaitu ajal, waqt, dahl dan ‘asr. Ajal adalah batasan sesuatu waktu seperti kematian. Waqt pula terkait dengan sesuatu yang telah tiba masanya seperti ungkapan ‘sudah masuk waktu zohor’ atau ‘sekarang waktu untuk makan’. 

Dahr dan ‘asr pula adalah konsep yang hampir sama tetapi tertakluk kepada konteksnya. Di dalam satu hadith kudsi Tuhan berkata ‘Aku adalah masa (dahr)’ bagi menunjukkan bahawa Tuhan menguasai masa. Di dalam satu surah Tuhan berfirman ‘demi masa (‘asr)’. Tetapi Allah sudah tentu tidak terangkum di dalam masa. Jadi sesuatu yang berlaku dalam ruang masa tidak memberikan kesan langsung kepada Tuhan kerana Dia berada di dalam kesempurnaan. Dia qadim.”

“Izinkan saya” kata panelis pertama dan diizinkan oleh moderator dan diberi laluan oleh panel kedua.

“Di dalam keilmuan Yunani. Ada dua jenis masa iaitu kronos dan kairos. Kronos ialah masa, yakni masa yang berkronologi. Malah perkataan kronologi itu sendiri datang daripada istilah kronos. Kronos ini pula bersifat infiniti atau abadi – entah bila bermula dan entah bila berakhir. 

Kairos pula adalah ‘masa’ yang dikaitkan dengan Tuhan. Ianya bukan masa yang boleh dikuantitikan seperti kronos, sebaliknya bersifat kualiti – masa yang tidak bermasa, waktu yang tidak berwaktu, tiada masa lepas dan tiada masa di hadapan, ia seperti dengan qadim.”

Panelis kedua kembali menyambung kembali “Masa yang tersangat jauh ke belakang ialah azali. Dan tersangat jauh ke hadapan ialah abadi. Bukan maksud saya bahawa alam ini qadim kerana alam ini diciptakan oleh Tuhan. Namun alam ini azali dan abadi. 

Azali yang kita tidak tahu di mana ia bermula dan abadi yang kita tidak tahu di mana ia berakhir - infiniti. Namun ia masih bergerak di dalam masa dan berbeza berbanding qadim yang tidak tertakluk masa. 

Bukankah sebelum Tuhan memisahkan langit dan bumi ianya terjalin satu? Mungkin satu atom. Bila atom ini dicipta? Bahkan sebelum langit dan bumi dipisahkan, telah ada air dan arsy Tuhan seperti yang dicatat di dalam Al-Quran. Jika masa dikira secara mengundur mungkin tak tercapai – inilah azali. 

Seperti juga firman Tuhan bahawa ‘mereka kekal di dalam syurga selama-lamanya’. Tuhan menggunakan perkataan ‘abada’. Kita tidak tahu bila ianya berakhir atau apakah akan berakhir. 

Memang benar kiamat tetap akan berlaku – saya mengimaninya. Namun ia cuma melibatkan ‘alam syahadah’ atau alam yang dapat dicerap oleh pandcaindera dan mungkin melibatkan beberapa alam lain. Namun ruang (space) dan masa akan kekal wujud, kerana itu syurga dan neraka tetap ada. Ia telah ada sejak azali. Ia ada sekarang ini. Ia ada semasa kiamat. Ia ada semasa akhirat. Muktamad. 

Takdir pula bersifat dinamik. Ada yang telah ditentukan dan tidak mampu kita ubah seperti siapa bapa kita, anak kita, etnik kita itu tidak boleh diubah dan kita tidak boleh memilih. 

Namun Tuhan tetap memberikan pilihan dan kelonggaran kepada kita tentang banyak hal. Mahu pakai apa, mahu makan apa, itu pilihan – tetapi ada qadarnya kerana ada makanan yang boleh manusia makan dan ada makanan yang tidak boleh dimakan kerana ia beracun dan sebagainya. 

Mungkin ada yang berkata ianya kebebasan. Namun itu semua tetap terangkum dalam pengetahuan dan qadar yang ditetapkan Tuhan. Yang harus kita faham ialah qadar dan pengetahuan Tuhan adalah dua kategori yang berbeza namun saling berkaitan.”

Setelah panelis kedua berhenti. Hadirin seakan mengambil nafas lega. Moderator spontan berkata “Panjang lebar sekali penerangan ini.” 

Muhammadi pula mengimbau kembali “Aku pernah baca mengenai ini semua. Tapi sudah lama, hampir-hampir terlupa. Menarik juga bila ia disingkap kembali.” Perbincangan seperti berehat tanpa isyarat setelah panelis kedua berhujah panjang tadi. 

Muhammadi menoleh ke kiri dan kanan meninjau keadaan. Lalu ternampak seorang perempuan berdiri membetulkan tempat duduknya. Dia seperti kenal perempuan itu. “Eh, itu Nisrin. Dia pun ada di sini?”. Namun fikiran Muhammadi telah dipintas oleh suara moderator.

“Jika ada pemisahan bahawa Tuhan yang tidak bermasa itu dan alam yang bermasa ini, apakah itu bermaksud Tuhan langsung tidak campur tangan soal pentadbiran alam sekarang ini? Apakah Tuhan – misalnya – mengetahui mengenai jadali yang sedang berlaku di sini dan pada saat ini?” Moderator kembali bertanya panelis ketiga.

“Sudah pasti Tuhan tahu. Dia maha mengetahui. Jika tidak tahu, bagaimana Dia boleh menjadi Tuhan. Dia mengetahui dengan terperinci. Jika di satu malam gelap tanpa bulan, di tengah hutan, saat semuanya sedang terlena. Lalu gugur sehelai daun yang paling kecil daripada pokok yang paling kecil, Tuhan pasti tahu. Malah Tuhan tahu apa yang ada di dalam hati kita dan ini jelas telah difirmankan oleh-Nya.”

“Jadi ini bermaksud Tuhan yang tetap itu - yang qadim itu – boleh mengetahui sesuatu yang baharu walaupun ‘diri-Nya’ sendiri tidak baharu. Bukankah begitu?” Moderator menegaskan soalan.

Panelis ketiga menyambung “Sudah tentu Tuhan tahu. Di akhirat nanti bukankah Tuhan akan menghakimi semua umat manusia? Dalil ini jelas dan tidak perlu dipertikai. Tatkala itu Tuhan berbicara dengan setiap manusia. Pada masa itu, ketika itu dan saat itu, dalam waktu yang berlalu itu, Tuhan hadir di situ. 

Sudah pastilah Tuhan tahu setiap apa yang berlaku dan setiap perkara yang kecil seperti zarah atom – Pengetahuan Tuhan bersifat juz’i. Tiada apapun yang akan terlepas daripada pengetahuan-Nya. Bukankah Yang Maha Mengetahui itu adalah Tuhan?”

“Boleh saya bertanya?” Panelis pertama memohon laluan. Moderator pun menganggukkan kepalanya. “Jika Tuhan mengetahui secara juz’i – ya saya tahu Tuhan Maha Mengetahui – namun sefaham saya juz’i bukan sekadar bermaksud terperinci. Ia juga bermaksud berkronologi – berjuzuk. Andaikan anda dan kalian semua membaca Al-Quran. Ada juzuk pertama, diikuti juzuk kedua dan begitulah seterusnya secara satu-persatu. 

Jika di dalam malam gelap seperti yang tuan cakapkan tadi, tanpa bulan dan di tengah hutan, andaikan gugur pula daun kedua, ketiga dan seterusnya. Maka apakah Tuhan tahu satu-persatu? Setiap sesuatu dan satu-persatu adalah berbeza ertinya.

Maksud saya Tuhan tahu sesuatu yang baharu, kemudian yang baharu, kemudian yang lagi baharu dan begitulah seterusnya? Bagi saya pula Tuhan bukan Tuhan jika pengetahuan-Nya melalui pengalaman yang baharu pada setiap masa. Itu adalah pemikiran manusia – daripada tidak tahu menjadi tahu.”

Panelis ketiga pantas dan tenang membalas “lalu bagaimana Tuhan menghakimi di akhirat nanti? Tuhan akan mengetahui satu-persatu di ketika itu. Tentang daun yang gugur tadi, mustahil Tuhan tidak tahu daun mana yang jatuh dahulu dan daun mana yang gugur kemudian?”

“Kita tidak akan benar-benar tahu sehingga kita melalui masa itu. Namun pengetahuan Tuhan merangkumi akhirat dan masa depan sama seperti Tuhan mengetahui perkara yang lalu iaitu detik alam semesta tercipta. Tuhan mengetahui semua itu tanpa selang masa kerana masa itu sendiri adalah makhluk ciptaan-Nya.” Panelis kedua ikut campur.

“Maaf para panelis dan hadirin. Perbincangan masih panas. Tapi nampaknya setakat ini sahaja masa yang kita ada. 

Seperti hujah yang terakhir tadi, kita cuma akan benar-benar tahu setelah kita melalui sahaja. Saya secara peribadi bersetuju dengan panelis pertama dan kedua bahawa pengetahuan Tuhan itu sedia ada dan tidak baharu dan tidak diperbaharui pengetahuan-Nya. 

Namun saya juga bersetuju dengan panelis ketiga bahawa Tuhan secara pasti mengetahui setiap sesuatu perkara secara terperinci. Tuhan pasti tahu daun mana yang jatuh dahulu dan daun mana yang jatuh kemudian walau sepencil mana tempat pokok itu berada. 

Mungkin akal kita tidak mampu untuk memahami bentuk pengetahuan Tuhan Yang Maha Agung. Namun apa yang saya teliti daripada hujah semua panelis tadi, mereka sebenarnya mahu menunjukkan keAgungan Tuhan, namun mereka berbeza pendapat. 

Kepada semua hadirin yang hadir, saya mengucapkan terima kasih dan moga kita akan bertemu kembali. Terima kasih juga kepada para panelis yang bersusah-payah datang jauh melampaui masa.”

Muhammadi sedikit terkejut “Melampaui masa… apa maksudnya?” Tetapi nampak seperti cuma dia sahaja yang terasa begitu – rasa surreal dan absurd. Hadirin lain nampak seperti tidak kisah dan sedikitpun tidak terkejut. Namun begitu Muhammadi sangat berpuas hati dapat melihat dan mendengar jadali ataupun perbincangan hari ini. Tetapi dia pasti sedar bahawa perbincangan ini tidak akan terhenti di sini.

Muhammadi duduk termangu seperti tidak tahu mahu kemana. Tiba-tiba dia teringatkan Nisrin. Dia bangun dan melilau cuba mencari Nisrin di sekelilingnya. Hadirin lain semakin kurang dan beransur-ansur meninggalkan tempat itu. 

“Ah… itu dia.” Muhammadi tersenyum lebar dan bingkas bangun terus menuju kearah tempat duduk perempuan itu. “Nisrin, kau pun datang ke sini?” 

“mmm… saya bukan Nisrin. Maaf saya tak kenal awak.” Jawapan perempuan itu mengejutkan Muhammadi dan dia agak kebingungan.

“Maaf, rupa awak seiras dengan kawan saya.” Dia pun berlalu pergi menelusuri kembali laluan tadi. Dia melalui semula lorong yang dipehuhi bunga berkelopak lima.

“Nisrin.” Tiba-tiba kedengaran suara wanita tadi dari arah belakangnya. 

Muhammadi berasa sedikit pelik lalu menoleh dan bertanya “Apa?”.

“Ini mawar liar, cantik kan? Di dalam bahasa Parsi ia dipanggil sebagai nisrin.” Terang perempuan itu. Rupa-rupanya dia mengekori Muhammadi dari belakang.

“Patutlah macam pernah nampak bunga ini. Nisrin letak gambar bunga ini di meja kerjanya….” Bisik Muhammadi dan kemudian dia bersuara. “oh, inilah maksud nisrin rupanya. Maaf, nama awak siapa?”

“Saya Mawar, tapi bukan mawar liar ya.” Katanya memperkenalkan diri sambil tersenyum. Mawar menyambung “Awak pula siapa nama?”

“Saya Muhammadi”

Mawar kembali bersuara “macam kebetulan.” Muhammadi kelu.

“Muhammadi di dalam bahasa Parsi bermaksud Mawar Damsyik. Mawar yang berasal dari Damsyik. Kebetulan, nama saya juga Mawar, dan kawan awak ‘Mawar Liar’. Jumpa lagi lain masa ya. Saya selalu datang ke sini. Assalamu’alaikum.” Mawar pun berlalu pergi.

Muhammadi tiba kembali di kerusi tempat beliau tertidur tadi. Dia duduk sambil memikirkan maksud namanya “Selama ini aku ingat nama aku bersempena nama Nabi Muhammad sahaja, rupanya ia juga bermaksud sejenis bunga. Apakah mak dan ayah tahu perkara ini?” Dia menoleh ke arah Mawar yang semakin jauh walau berjalan perlahan. 

Wajah Muhammadi nampak seperti kehairanan dan tertanya “Apa yang berlaku ini? Kebetulan?” Setelah beberapa lama termenung dan berfikir, dia pun terlelap. Mungkin kepenatan.

“Muhammadi. Muhammadi. Bangun. Dah pukul 5.30 pagi ni, tak kerja ke hari ni!?” Pintu diketuk, Muhammadi pun terkejut dan terjaga. Dia kelihatan seperti kehairanan “Aku tidur di atas katil? Mana kerusi tadi?”

Forget Me Not.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

*segala watak, situasi dan dialog adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada. Namun segala mesej dan informasi yang disampaikan adalah benar sekadar kemampuan penulis. 

Foto: 'Abd Allah Musawwir / Nelson-Atkins Museum of Art

Share this Post: