Marikh dan Keberahian Manusia

Marikh dan Keberahian Manusia

“You gave them all those old time stars
Through wars of worlds invaded by Mars”- Radio Gaga, Queen
 

Dari lapan buah planet yang mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria (maaf Pluto hanyalah sebuah planet kerdil);  sebuah planet sentiasa memberahikan umat manusia untuk mencari bukti wujudnya kehidupan dalam kejiranan ini selain Bumi.

Boleh dikatakan planet kedua terkecil di dalam Sistem Suria ini sentiasa menjadi simbol dan tarikan dalam fiksyen yang mengatakan terdapat ‘hidupan’ yang mendiami planet ini.

Marikh atau Mars, planet yang dinamakan sempena Dewa Perang dalam mitologi Roman juga dikenali sebagai ‘Planet Merah’ kerana permukaannya yang kemerah-merahan disebabkan kewujudan besi yang teroksida atau karat di permukaannya.

Benarkah terdapat hidupan yang mendiami di planet ini? 

Salah faham yang mengatakan terdapat hidupan pintar (intelligence life) di sana berpunca daripada alatan astronomi primitif yang digunakan oleh ahli astronomi pada sekitar abad ke-18.

Pada abad tersebut, ahli astronomi akan melukis semula apa yang dilihat oleh mereka melalui teleskop.

Berbeza dengan alatan astronomi moden yang digunakan sekarang, di mana setiap imej yang dilihat menggunakan teleskop akan ditangkap dan disimpan di dalam komputer.

Menerusi teleskop yang digunakan pada abad tersebut, ahli astronomi telah menemukan ‘terusan’ pada permukaan planet tersebut.

Tetapi, terusan-terusan yang dikatakan terdapat pada permukaan Marikh ini hanyalah ‘ilusi optik’ (optical illusion) yang disebabkan keterbatasan resolusi teleskop pada waktu itu.

Penemuan terusan tersebut telah memberikan anggapan kepada ahli astronomi ketika itu bahawa terusan itu merupakan hasil kejuruteraan hidupan pintar yang mendiami Marikh.

Hal ini kerana, mereka juga beranggapan terdapat atmosfera yang mampu menampung kehidupan seperti di Bumi.

Selain itu, kecondongan Marikh pada paksinya terhadap matahari dan tempoh satu harinya yang hampir menyamai satu hari di Bumi juga menguatkan lagi andaian bahawa wujudnya hidupan pintar di Planet Merah (satu hari di Marikh atau Sol mempunyai tempoh kira-kira 40 minit lebih panjang berbanding satu hari di Bumi).

Walaupun, terdapat perdebatan dalam kalangan ahli astronomi mengenai kewujudan hidupan di Marikh, ini tidak menjadi batu penghalang kepadanya untuk disensasikan.

War of The World hasil nukilan penulis Inggeris terkenal H.G Wells, merupakan sebuah novel fiksyen tentang Bumi yang diserang oleh makhluk asing yang berasal dari Planet Marikh.

Perbahasan ini terlerai pada tahun 1965 apabila gambar permukaan Marikh yang diambil proba Mariner 4, menunjukkan ia hanyalah sebuah planet gersang yang dipenuhi dengan kawah bekas hentaman meteorit dan tidak terdapat terusan yang seperti digambarkan di permukaannya.

Di sebalik kegagalan untuk membuktikan terdapat sebarang hidupan pintar di Marikh, mengapa Planet Merah ini masih menarik minat manusia untuk terus dan terus mengkaji planet ini?

Jawapan kepada persoalan ini mudah.

Marikh sentiasa menjadi minat para saintis dan pengkaji kerana planet ini berkemungkinan tinggi untuk mempunyai sebarang mikroorganisma hidup pada masa lampau.

Berdasarkan bukti geologi dan kajian yang telah dilakukan, berbilion tahun dahulu air pernah mengalir di permukaan Marikh dan telah membentuk tasik, kolam dan lautan yang luas di permukaannya.

Ramai saintis berpendapat kewujudan air pada permukaan planet tersebut mewujudkan satu persekitaran yang sesuai untuk mikroorganisma berkembang.

Walau bagaimanapun, kewujudan persekitaran yang dianggap sesuai bukanlah bukti kewujudan kehidupan itu sendiri.

Sementelahan, Marikh juga merupakan sebuah planet yang paling kerap dijelajahi manusia.

Sejak bermulanya perlumbaan angkasa pada pertengahan abad ke-20, puluhan misi menjelajah planet ini telah dijalankan.

Beberapa perayau (rover) dan pendarat (lander) telah berjaya didaratkan di permukaan Marikh selain pengorbit (orbiter) yang mengorbit planet tersebut.

Kesatuan Soviet merupakan pihak pertama yang cuba melakukan pendaratan di atas permukaan Marikh walaupun pendaratnya yang paling berjaya hanya berfungsi selama kurang daripada dua minit selepas pendaratan dilakukan.

Viking 1 milik NASA menjadi pendarat pertama yang berjaya mendarat dan berfungsi secara total di permukaan Marikh pada Julai 1976 serta berfungsi selama lebih kurang 2000 Sol.

NASA juga berjaya menghantar beberapa perayau di permukaan Marikh seperti Curiosity yang masih berfungsi sehingga hari ini setelah sembilan tahun berada di permukaan Marikh dan yang terbaru Perseverance yang mendarat di permukaan Marikh pada Februari 2021.

Hatta negara yang kurang terlibat dalam perlumbaan angkasa seperti Emiriah Arab Bersatu juga turut sama menghantar orbiter yang berjaya memasuki orbit Marikh pada awal 2021.

Oh yang pasti, kita semua tidak perlu risau akan Matt Damon. 

Beliau masih selamat berada di Bumi dan tidak perlu diselamatkan di Marikh kerana masih belum ada manusia yang berjaya menjejakkan kaki di Marikh.

Dan, sekarang Planet Merah ini menjadi sasaran utama agensi-agensi angkasa dan pihak persendirian seperti SpaceX untuk melakukan misi menghantar manusia ke permukaan Marikh.

Andai satu hari nanti manusia berjaya menjejakkan kaki ke Marikh, satu lembaran baru akan tercipta untuk peradaban manusia kerana berjaya menawan planet lain di dalam Sistem Suria.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: 20th Century Fox

Share this Post: