Mandat Syurga

Mandat Syurga

Pembentukan sebuah kerajaan bukanlah hanya semata-mata mempunyai seorang ketua dan barisan kepimpinan. Pengabsahan sebuah kerajaan itu juga memerlukan ‘mandat’ yang memberikan keabsahan sesebuah kerajaan itu untuk memerintah.

Alang mahu melantik seorang pengawas di sekolah juga memerlukan mandat daripada guru disiplin atau pengetua, apa lagi mahu memerintah sesebuah kerajaan yang sudah tentu memerlukan sesuatu untuk membuktikan keabsahannya untuk memerintah sesuatu kawasan dan populasinya.

Jika dilihat susur galur sejarah, pelbagai cara yang digunakan oleh ketamadunan yang pernah wujud untuk mendapatkan keabsahan kerajaan yang dibina oleh mereka.

Contohnya, ketamadunan Greek yang telah memperkenalkan demokrasi yang berasal daripada perkataan ‘demos’ yang membawa maksud ‘rakyat’ dan ‘kratos’ yang membawa maksud kuasa.

Boleh dikatakan kebanyakan negara yang wujud sekarang mengamalkan sistem ini untuk mendapatkan keabsahan kerajaan mereka.

Namun begitu, terdapat beberapa juga negara yang tidak mengamalkan sistem ini atau pun hanya membenarkan sistem ini berjalan pada peringkat-peringkat tertentu sahaja.

Seperti yang kita semua tahu, ketamadunan China merupakan sebuah ketamadunan yang hebat dan besar serta bertahan selama lebih kurang dua ribu tahun sebelum pembentukan China Moden yang hanya bermula sekitar awal abad ke-20

Ketamadunan China telah mencipta apa yang dipanggil sebagai Empat Penciptaan Terhebat, iaitu serbuk letupan, kompas, pencetakan dan pembuatan kertas yang dianggap memberikan kesan mendalam terhadap hampir kesemua ketamadunan manusia.

Tamadun ini mempunyai satu kaedah yang menarik dan sedikit berbeza untuk membentuk dan memberikan legitimasi dalam pembentukan kerajaan dalam ketamadunan mereka.

Mereka mempunyai apa yang dipanggil sebagai “Mandat Syurga” yang menjadi bukti pemerintahan mereka sebagai satu pemerintahan yang sah dan harus dituruti oleh rakyat jelata.

Apa yang menarik mengenai mandat ini, ia merupakan seolah-olah sistem yang mirip demokrasi apabila rakyat mempunyai hak untuk menjatuhkan pemerintah yang dianggap zalim dan tidak bertanggungjawab terhadapnya.

Tidak seperti monarki yang lain, di mana seseorang raja itu telah ditakdirkan oleh Tuhan sejak sebelum mereka dilahirkan lagi untuk menjadi dan mewarisi jawatan pemerintah serta mereka ini selalunya datang daripada keturunan bangsawan

Berbeza pula dengan konsep Mandat Syurga ini, seseorang itu tidak perlu berdarah bangsawan asalkan mereka berkebolehan dan adil dalam memerintah.

Bersandarkan kepada kepercayaan ini, Syurga atau Tian mewakili hukum semula jadi dan keazaman pemerintah yang adil bagi China.

Seandainya sesuatu pemerintahan itu dijatuhkan, ia bermakna mereka kehilangan mandat daripada syurga untuk menjadi Maharaja China atau Tianzi yang membawa makna “Anak Syurga”

Seterusnya, kepercayaan ini pertama kali mula diperkenalkan ketika peralihan kuasa daripada dinasti awal ketamadunan China, iaitu daripada Dinasti Shang ke Dinasti Zhou.

Pada penghujung pemerintahan Shang yang telah memerintah China untuk tempoh yang agak lama, berlaku satu pemberontakan akibat penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dan yang menindas rakyat.

Pemberontakan yang diketuai oleh Zhou Wu ketika itu telah mewujudkan konsep Mandat Syurga untuk membenarkan mereka untuk merampas kuasa dan memerintah menggantikan Shang yang dianggap sudah korup dan rosak serta tidak lagi layak untuk menjadi pemerintah.

Pemerintahan Shang ketika itu dianggap sudah kehilangan mandat daripada syurga untuk terus menjadi pemerintah.

Selain itu, kejadian bencana alam seperti banjir, kebuluran dan gempa bumi merupakan salah satu petanda daripada syurga bahawa sesuatu pemerintahan itu sudah tidak lagi disenangi oleh syurga.

Hal ini menyebabkan kebanyakan pemberontakan berlaku selepas bencana alam berlaku, kerana ramai menganggap itu merupakan petanda daripada syurga untuk sesebuah kerajaan itu untuk dijatuhkan.

Jadi, di sini mandat syurga memberikan hak kepada rakyat untuk memberontak menentang pemerintah yang dianggap zalim dan tidak adil dalam pemerintahan mereka.

Walau bagaimanapun, hak memberontak ini bukanlah sesuatu undang-undang bertulis yang memberikan hak kepada rakyat untuk melakukannya. 

Seringkali cubaan pemberontakan ini akan cuba dipatahkan oleh pemerintah dan mereka yang melakukan pemberontakan ini lazimnya akan dijatuhkan hukuman yang berat.

Namun, perkara ni telah memberikan sebab dan kewajaran kepada rakyat untuk berani melakukan perubahan seandainya mereka merasakan pemerintah hanya menindas dan bertindak zalim terhadap mereka.

Konsep dan kepercayaan ini juga diguna pakai oleh kerajaan yang memerintah di Asia Timur seperti di Korea oleh dinasti Joseon dan raja-raja yang memerintah Vietnam.

Tetapi, pada abad yang ke-21, kewujudan kerajaan yang tidak mempunyai mandat baik daripada rakyat atau syurga sekalipun bukanlah suatu keajaiban.

Apa yang diperlukan kononnya untuk mempunyai ‘mandat’ dan membentuk sebuah kerajaan hanyalah sogokan berupa jawatan dan kedudukan kepada mereka yang korup.

Kerajaan seperti ini hanyalah sebuah kerajaan badut yang caca marba yang terus berselindung di sebalik berhala dan tugu untuk terus menjadi kerajaan tanpa mandat.

Kesimpulannya, kerajaan yang gagal mendapat mandat rakyat dan gilakan kuasa umpama retak menanti belah. Saat kejatuhannya, mandat daripada Tuhan juga pasti akan gagal menyelamatkannya.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: Public Domain / Wikimedia

Share this Post: