Berikut adalah sambungan terjemahan teks pidato Malaysia Irrendenta oleh Wenceslao Q. Vinzons. Sila baca Bahagian 1 , Bahagian 2, dan Bahagian 3 yang disiarkan minggu lalu.
Dengan mengekalkan keperibadian kita melawan kesan berterusan dari pencerobohan fizikal dan budaya, kita telah berevolusi menjadi kaum yang sesuai untuk pembangunan negara dan pemerintahan sendiri.
Kita mempunyai warisan penderitaan dan penganiayaan di bawah pemerintahan asing; warisan terbaik dari agama dan pemikiran barat dipaksa ke atas tradisi dan budaya terbaik orang Timur. Ditambah dalam kelebihan ini pemberian rahmat dari alam buat kita; tanah yang subur yang menunggu tangan-tangan pekerjanya; lombong-lombong emas, arang batu dan bijih besi kita yang mana pada masa ini memiliki lebih potensi dalam industri dari kekayaan yang kukuh.
Malaysia yang bersatu menjangkau dari penghujung utara Semenanjung Melayu ke pantai New Guinea, dari Madagaskar ke Filipina dan ke pulau-pulau terpencil Polinesia, akan menjadi faktor yang kuat dalam dunia maritim.
Pencapaian ini akan membebaskan kita dari keaiban orang-orang asing. Ia akan menafikan tuduhan salah bahawa kita ini tidak mampu mengorganisasi, sebuah kaum yang tidak punya kebolehan memerintah, menolak kerja keras dan tabiat kerajinan, boros dan sambil lewa dalam pengurusan, gemar menyabung ayam dan sukan kebudak-budakan, ketagih dengan judi, dan sama sekali tidak mempunyai sifat-sifat yang diperlukan bagi seseorang yang akan berada ditempat yang memegang tanggungjawab bagi keluarga besar bangsa.
Pelan yang saya usulkan pada kalian malam ini, tuan-tuan dan puan-puan, bukanlah sepenuhnya tanggapan yang baru. Ianya adalah keadaan asal sebelum rumah nenek moyang kita yang bertamadun ditelan ombak. Ia dilaksanakan dengan cara di mana empayar Sriwijaya dan Majapahit memerintah lautan. Ianya telah diusulkan oleh parlimen Hawai pada tahun 1879 dan disusun pada tahun 1898 oleh Apolinario Mabini dalam ideanya ‘Federacion Malaya’ (Gabungan Malaya).
Tuhan memberikan cabaran pada jutaan rakyat Malaysia. Ia menemukan gema pada satu-satunya negeri Melayu di Siam, disebarkan ke seluruh Negeri-negeri Selat, mengalir dengan lebih deras di Kepulauan Pasifik. Ia terekspresi apabila orang-orang Jawa menentang undang-undang tidak adil Belanda di Maluku; apabila Ketua Tamasese Samoa mencabar skuad penembak Inggeris; apabila Filipina memberontak melawan Sepanyol dan menentang pencerobohan Amerika.
Ianya juga akan menemukan ekspresi, apabila kita akan memperluas visi melampaui sempadan wilayah kita, apabila setiap negara Melayu membebaskan dirinya dari keinginan ganjil orang tempatan, apabila setiap pulau-pulau kecil akan menggemakan nyanyian keagungan empayar yang dilupakan; ketika kita di dalam visi (mewujudkan) Negara Bersatu bekerja bersama untuk menerima bahasa yang sama dan mengatasi kelemahan-kelemahan kita, supaya dengan pembaharuan kekuatan kaum kita akan kita lahirkan sebuah nasionalisme baru, iaitu Malaysia yang ditebus semula.
Seperti yang saya sampaikan pada kalian malam ini, tuan-tuan dan puan-puan, beban dari mesej saya, saya merasakan bahawa bayangan keraguan telah melintasi fikiran kalian. Kalian pasti telah menggelengkan kepala dalam ketidakpercayaan akan impian ini kerana keluasan kadarnya kelihatan melawan realiti; apabila dengan besarnya pertimbangan kelihatan sangat mustahil dan tidak masuk akal; dengan advokasinya yang aneh untuk menyatukan orang-orang yang duduk berjauhan yang hilang dalam luasnya lautan terbentang, mungkin untuk seketika menganggap ianya sebuah projek yang sangat mustahil.
Tetapi jawapan kalian kepada cabaran ini akan menjadi penghakiman kalian dalam keupayaan bangsa kalian buat peradaban, dan visi kalian untuk sebuah Malaysia yang ditebus akan menjadi penyelamat buat anak cucu kalian.
Terjemahan oleh Amir Abd Hadi. Terjemahan ini dibuat secara semberono, yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Tagalog, sebelum diterjemah kedalam bahasa Inggeris.
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.