Berita sudah tersebar ke seluruh dunia, Donald J. Trump tewas di kotak undi pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2020. Joe Biden kini adalah President Elect – bakal presiden yang hanya menunggu masa untuk mengambil alih ruang pejabat di Sayap Barat Rumah Putih dari Trump.
Adakah kekalahan Trump ini sudah diduga dan diramal? Ringkasnya iya, kekalahan Trump sentiasa diramal oleh penganalisis politik, media, dan pusat-pusat kajian sepanjang tempoh kempen pemilihan. Namun ramalan yang selalunya berdasarkan culaan melalui kaedah seperti exit poll dan tinjauan ramai tidak selalunya tepat. Hillary Clinton juga pernah diramalkan sebagai pemenang ketika bertembung dengan Trump pada 2016, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
Ramalan sebegini sebenarnya sering cenderung untuk tidak melambangkan realiti penuh. Seperti di Malaysia juga; pengalisis politik, media, pusat kajian politik yang ternama pun tidak dapat sepenuhnya lari dari membuat ramalan yang cenderung berat sebelah. Samada kerana data yang tidak tepat, faktor demografi, ataupun ramalan itu sendiri sebahagian bentuk propaganda untuk mengolah persetujuan (manufacturing consent) bagi tujuan memenangkan calon tertentu, ia tidak akan 100% tepat.
Jadi, jika ramalan politik biasa seperti di atas tidak selalunya tepat, ada atau tidak ramalan jenis lain yang lebih tepat atau sekurangnya tidak tersasar? Jawapannya terletak pada seorang profesor sejarah dari American University di Washington D.C., Allan Lichtman.
Allan Lichtman sering mendapat jolokan sebagai ‘Nujum Pilihan Raya’ – ini di atas reputasinya yang mampu meramal kemenangan atau kekalahan dalam terutama sekali pemilihan presiden Amerika Syarikat dengan tepat pada setiap kali, sejak 1984.
Sebagai rekod, Allan Lichtman telah berjaya meramal kemenangan bagi setiap pemilihan presiden sejak era Ronald Reagan. Beliau tidak pernah gagal meramalkan kemenangan (dan kekalahan) George H.W Bush, Bill Clinton, George W. Bush, Barack Obama, dan Donald J. Trump sendiri pada 2016. Tidak dilupai, beliau turut meramalkan kemenangan Al Gore melawan Bush pada 2000, dan ternyata Al Gore secara teknikalnya telah pun menang undi terbesar jika tidak kerana campur tangan mahkamah bagi kiraan undi di Florida yang memenangkan Bush.
Allan Lichtman tidak mempercayai culaan dan analisa pada kempen pilihan raya sebagai indikator tepat untuk meramal kemenangan – sebaliknya beliau berpegang kepada sebuah sistem ‘kunci’ yang dibangunkan bersama ahli seismologi Rusia, Vladimir Keilis-Borok pada 1981. Sistem ramalan ini dipanggil “13 Kunci ke Rumah Putih” atau “13 Keys to the White House”, dan ia digunakan untuk menilai dan menilik kemenangan atau kekalahan bagi seseorang penyandang kerusi presiden Amerika Syarikat.
"13 Kunci ke Rumah Putih" ini adalah sebuah set soalan ringkas berbentuk 13 kriteria kemenangan dengan pilihan jawapan betul atau salah yang mewakili mata positif dan negatif. Soalan-soalan ini akan dipadankan dengan profil pentadbiran penyandang kerusi presiden ketika berhadapan pilihan raya. Jika penyandang presiden mendapat enam atau lebih mata negatif atau salah – presiden tersebut ditilik akan kalah dalam pemilihan seterusnya.
Allan Lichtman percaya bahawa kempen pilihan raya tidak menentukan menang kalah seseorang calon – sebaliknya prestasi pentadbiran ketika memerintah lebih memainkan peranan. “Penganalisa undi dan pakar politik menilai pilihan raya seperti perlumbaan kuda, tetapi sejarah membuktikan pengundi tidak pernah tertipu dengan helah-helah sewaktu kempen. Pengundi akan mengundi secara pragmatik berdasarkan prestasi parti pemerintah di Rumah Putih”, ujar Lichtman dalam sebuah wawancara bersama Times.
Pada 2016, Lichtman meramalkan Donald J. Trump bakal muncul sebagai pemenang, memandangkan Parti Demokrat mendapat markah yang rendah menurut sistem kunci beliau. Ketika itu, hanya Lichtman yang meramalkan kemenangan Trump, ratusan yang lain meletakkan kemenangan buat Hillary Clinton.
Trump menyedari ramalan beliau, dan tentu sekali menyukainya. Beliau telah mengutuskan surat penghargaan buat Lichtman dan menyatakan Lichtman satu-satunya orang yang menganalisa keadaan dengan betul. Biar demikian, Lichtman tidak menganggap Trump memahami sepenuhnya sistem ramalan beliau, dan ini dibuktikan melalui kegagalan Trump pada pemilihan 2020.
Lichtman sentiasa mengingatkan bahawa “13 Kunci ke Rumah Putih” adalah kriteria kemenangan yang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kempen, sebaliknya pentadbiran sepanjang menjawat jawatan sebagai presiden. 13 kunci tersebut adalah ; i) mandat parti, ii) persaingan, iii) penyandang jawatan, iv) kuasa ketiga, v) ekonomi jangka pendek, vi) ekonomi jangka panjang, vii) perubahan dasar, viii) keresahan awam, ix) skandal, x) kegagalan dasar luar dan ketenteraan, xi) kejayaan dasar luar dan ketenteraan, xii) karisma penyandang, dan xiii) karisma pencabar.
Dipendekkan kisah, Trump yang awalnya seolah memahami kunci-kunci cadangan Lichtman telah gagal mendapat markah positif untuk tujuh kunci penting – melintasi garis merah enam kunci yang memuktamadkan ramalan kekalahannya. Ini termasuk Kunci Pertama – mandat parti, Kunci Kelima – dasar ekonomi jangka pendek, Kunci Keenam – dasar ekonomi jangka panjang, Kunci Kesembilan – skandal, Kunci Kesebelas – kejayaan dasar luar dan ketenteraan, dan Kunci Kedua Belas – karisma penyandang iaitu dirinya sendiri.
Lichtman sedar bahawa kunci yang diajukan beliau bukanlah satu-satunya faktor yang memainkan peranan. Faktor-faktor luaran lain turut memainkan peranan dalam menentukan kalah menang seseorang. Buat Trump, Lichtman turut bersetuju bahawa kegagalan menangani pandemik Covid-19 turut menjadi faktor penting lain yang menyumbang kepada tewasnya beliau kepada Biden. - ALTERNATIF
Foto ihsan Salon
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.