Pluto, planet yang pada asalnya dianggap sebahagian daripada planet dalam Sistem Suria sebelum statusnya diturunkan menjadi planet kerdil pada 2006 oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).
Walaupun terdapat cadangan untuk menghantar Voyager 1 ketika proba tersebut menjalankan misinya dalam Sistem Suria, para astronomi akhirnya memilih untuk memanjangkan misinya ketika penerbangan di planet Zuhal sekaligus membatalkan penerbangannya ke Pluto. Dari sini lahirnya proba New Horizons.
Projek yang dipilih sebahagian daripada program New Frontiers oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada akhir 2001 ini pada asalnya melalui beberapa kekangan birokrasi sebelum dana programnya diluluskan pada tahun berikutnya oleh kerajaan Amerika Syarikat ketika itu.
Proba ini dibina oleh Southwest Research Institute (SwRI) dan John Hopkins Applied Physics Laboratory dan secara umumnya mempunyai saiz dan reka bentuk seperti sebuah grand piano. Ia malah digambarkan seperti sebuah grand piano yang digamkan bersama dengan sebuah piring satelit yang besar.
Sama seperti proba-proba lain yang melakukan penerbangan luar lingkungan planet dalaman Sistem Suria, New Horizons juga dikuasakan oleh penjana radioisotop haba elektrik dan plutonium-238 sebagai bahan bakarnya.
New Horizons yang mempunyai berat lebih kurang 480 kilogram, dilengkapi dengan tujuh peralatan sains, di mana tiga daripadanya merupakan peralatan optik, dua peralatan plasma, satu pengesan habuk, dan satu radiometer.
Peralatan sains ini digunakan untuk melakukan penyiasatan terhadap keadaan geologi, suhu permukaan dan atmosfera serta tekanannya, selain mengira halaju lepas Pluto dan bulannya.
New Horizons juga dilengkapi dengan Ultrastable Oscillator sub-sistem yang bertujuan untuk menyiasat Pioneer Anomaly ketika penghujung hayat proba tersebut.
Satu kelainan yang terdapat pada New Horizons, proba ini tidak membawa ‘mesej’ yang seperti proba Voyager dan Pioneer yang masing-masing membawa mesej berkenaan kemanusiaan yang berbentuk Piring Emas dan Plak Emas.
Sebaliknya, perkara ini dianggap tidak perlu, ditambah gangguan oleh Prinsipal Program Alan Stern, terhadap program New Horizon selain kekangan bajet dan sumber.
New Horizons dilancarkan pada 19 Januari 2006 di Cape Canaveral setelah ditunda beberapa kali selama beberapa hari akibat masalah teknikal.
News Horizon menjadi objek buatan manusia yang paling pantas dilancarkan dari Bumi pada kelajuan 16.26 km/s sekaligus menyamai halaju lepas Sistem Suria dari Bumi.
Andai proba ini lewat dilancarkan, ia akan memberi kesan kepada tempoh misinya kerana hanya 23 hari pertama tahun 2006 sahaja yang akan memberikannya peluang untuk melakukan penerbangan melepasi Musytari bagi mendapatkan bantuan graviti daripada planet gergasi tersebut.
Sepanjang perjalanannya menuju ke Musytari, beberapa ujian peralatan dan pembetulan trajektori dilakukan untuk memastikan segalanya berfungsi dengan baik.
New Horizons mula mengambil gambar Musytari kira-kira lapan bulan setelah dilancarkan. Ia mula menerima bantuan graviti dari planet gergasi tersebut apabila proba tersebut mula menghampiri planet tersebut pada jarak 2.3 juta kilometer.
Bantuan graviti ini memendekkan tempoh perjalanannya ke Pluto sebanyak tiga tahun. Sepanjang proba tersebut melalui Musytari, ia melakukan beberapa pemerhatian terhadap atmosfera Musytari dan beberapa bulan miliknya.
Selepas melepasi planet terbesar dalam Sistem Suria, New Horizons meneruskan perjalanannya ke Pluto dalam mod hibernasi, untuk menjimatkan kos operasi selain memanjangkan jangka hayat peralatannya.
Sekitar Januari 2015, New Horizons memulakan operasinya untuk menghampiri Pluto dengan mengaktifkan beberapa peralatan optiknya untuk menjadi mata kepada pengawal misi untuk mengawal trajektori proba berkenaan menghampiri Pluto.
Kira-kira enam bulan kemudian, proba ini melakukan penerbangan yang paling hampir dengan Pluto pada jarak sekitar 12,472 kilometer dari permukaan planet kerdil tersebut.
Misi New Horizons terbahagi kepada tiga objektif yang dikelaskan mengikut keutamaan. Antara misi paling utama bagi New Horizons adalah untuk mengenalpasti keadaan geologi dan atmosfera planet Pluto dan bulannya, Charon selain menganalisis graviti kedua jasad tersebut.
Antara lain, misi yang perlu dilakukan ialah mengambil gambar Pluto dan bulan-bulan yang mengelilinginya terutamanya dua bulan baharu yang ditemukan dua tiga tahun sebelum itu, iaitu Kerberos dan Styx.
New Horizons juga ditugaskan untuk mencari sekiranya terdapat bulan-bulan lain yang mengelilingi Pluto di samping mengenalpasti sekiranya terdapat gelang yang mengelilinginya seperti yang terdapat pada planet luaran Sistem Solar yang lain.
Selesai melakukan misi penerbangannya di Pluto, New Horizons menghantar sebanyak 6.25 gigabait data hasil daripada pemerhatiannya. Data yang terakhir yang diterima pada Oktober 2016, 1 tahun 3 bulan selepas misinya selesai di Pluto.
Usai misi New Horizons di Pluto, proba ini meneruskan misinya mencari objek di Lingkaran Kuiper dan telah melakukan pemerhatian terhadap Arrokoth, salah satu jasad yang berada dalam lingkaran tersebut.
Sekarang, New Horizons masih meneruskan penjelajahannya di bahagian luar Lingkaran Kuiper dan mampu beroperasi sekurang-kurangnya sehingga tahun 2030-an.
Proba grand piano ini juga dijangka akan mengikuti jejak langkah dua program proba terdahulu, Voyager dan Mariner untuk keluar daripada Sistem Suria menuju ke ruang angkasa bebas.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto ihsan NASA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.