“Merdeka Dengan Darah”. Begitu bunyi laungan Testamen Politik Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin Ahmad Boestamam. Boestamam, dalam lipatan sejarah, merupakan salah seorang pejuang jalur kiri yang wujud di Malaya. API, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ialah antara contoh gerakan yang membawa idealisme kiri.
Bila kita bicara tentang jalur kiri, kiri yang bagaimana yang kita maksudkan? Adakah mereka ini membawa idea sosialisme atau Marxisme – yang sering diwacanakan sebagai “kiri” dalam politik Barat? Bagaimana mereka-mereka ini muncul? Jalur kiri dan kanan di Malaya – adakah perbezaan yang ketara dalam perjalanan menuntut kemerdekaan?
Pertama sekali, kita perlu jelas dengan konotasi kiri yang digunakan. Kajian oleh Rustam A. Sani – The Social Roots of The Malay Left – merupakan akaun sejarah yang boleh dirujuk walaupun pembatasan kajian beliau hanyalah bertumpu kepada KMM. Penyataan “jalur kiri” dalam sejarah pergerakan di Malaysia tidak merujuk kepada pegangan idea sosialisme atau komunisme seperti di Barat. Andaian bahawa “kiri” itu membawa penyataan yang sama dari zaman Marx, Engels dan Lenin, dan sama di semua negara dan konteks, merupakan andaian yang bermasalah. Maka, dalam melihat golongan Melayu kiri, tanggapan ini perlu digugurkan dahulu. Walaupun golongan kiri Melayu itu bersifat lebih terbuka dengan idea sosialisme, namun tiada bukti terus menyatakan bahawa pergerakan kiri di Malaya itu bersusur galur dari pergerakan sosialis lain, terutamanya dari Indonesia. William Roff dalam Origins of Malay Nationalism juga tidak menjumpai pengaruh terus pemimpin komunis Indonesia dengan penubuhan KMM.
Lalu, bagaimana boleh kita melihat jalur kiri ini? Berbanding organisasi jalur kanan sewaktu awal penubuhannya, jalur kiri lebih bersifat anti-kolonial. Kesinambungan dari dualisme ekonomi kolonial, orang Melayu terkekang hanya dalam ekonomi tradisional dan melihat Raja sebagai sosok pentadbiran. Golongan imigran pula melihat kepada keabsahan pentadbiran kolonial atas penglibatan terus dalam kapitalisme kolonial. Dari situ, organisasi kanan Melayu lebih berfokus kepada isu kebajikan dan lebih berprinsip anti-imigran (dihasut oleh beberapa faktor) berbanding anti-kolonial. Namun tidak dinafikan juga wujud sifat anti-imigran dalam beberapa pimpinan KMM. Ini boleh diamati dalam kolum, cerpen atau novel mereka.
Seperti yang dinyatakan, jalur kiri lebih bersifat anti-kolonial. Kesedaran terhadap penindas kolonial ini diinsafi terutamanya dari golongan baru yang terpelajar. Sebelum wujudnya Sultan Idris Training College (SITC – sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris), hanya golongan aristokrat yang menerima pendidikan tinggi melalui Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK – nama asalnya Sekolah Melayu Berasrama). Di SITC, muncul golongan Melayu terpelajar yang di luar golongan aristokrat. Ini akhirnya membawa kepada kemunculan idea dan wacana – terutamanya tentang soal kemiskinan Melayu. Sistem pendidikan, penulisan dan wacana-wacana segar yang lahir dari golongan terpelajar inilah yang membawa kepada elit politik bukan tradisional. SITC sebagai pusat pendidikan agung zaman itu sememangnya mewujudkan ruang kesedaran, namun bukanlah SITC sahaja tempat kelahiran dan asuhan idea ini. Ada sahaja pejuang golongan kiri yang bukan lulusan SITC. Haji Othman Bin Abdullah yang mendapat pendidikan Arab sebagai contoh.
Bagi golongan kanan yang lebih konservatif, rata-rata juga merupakan golongan terpelajar. Antara mereka ialah lulusan MCKK yang mendapat pendidikan tinggi di Eropah. Susur galur mereka sudah tentu dari golongan aristokrat. Walaupun pendidikan membuka ruang meritokrasi dalam pentadbiran kolonial, yang mendominasi bahagian ini – dan bahagian pergerakan politik Melayu – tetaplah dari aristokrat. Di sini perbezaan antara pergerakan politik golongan kiri dan kanan. Golongan kanan menurut sifat strata tradisional dengan meletakkan Raja sebagai penaung pergerakan dan aristokrat menjadi tunjang pergerakan. Di bahagian kiri pula, kemunculan penggeraknya ialah dari golongan marhaen yang mendapat pendidikan dan akhirnya menceburkan diri dalam perjuangan anti-kolonial.
Satu lagi perbezaan ketara antara golongan kiri dan kanan ialah corak pegangan ideologi. Ada perbezaan yang ketara antara nasionalisme kiri dan kanan. Kesinambungannya membawa kepada perbezaan dalam corak organisasi. Gagasan idea Melayu Raya yang dibawa jalur kiri membuka ruang luas dalam penglibatan politik. Seperti yang dinyatakan, jalur kanan bergerak dalam kerangka tradisional. Strata tradisional sangat mementingkan wilayah kerana kuasa seorang Raja dibatasi sempadan wilayahnya. Disebabkan itu, organisasi kanan sangat bersifat kenegerian. Ini boleh dilihat pada nama organisasi itu sendiri seperti Persatuan Melayu Selangor. Di sini pengaruh aristokrat dan rakyat negeri bertapak – di bawah naungan raja negeri tersebut.
Jalur kiri – pimpinan elit politik bukan tradisional – memecahkan monopoli kuasa ini. Dengan ideologi yang lebih luas dan tidak sesempit sempadan negeri, mereka membawa idea “kebangsaan” yang kena dengan maksudnya. Untuk melihat betapa luasnya idea gagasan Melayu Raya, Nusantara secara umum dilibatkan bersama. Ini bererti Indonesia dan Malaya dilihat perlu disatukan. Disebabkan itu jugalah, idea Melayu Raya juga disebut sebagai Pan-Indonesianisme Jelas betapa inklusifnya idea dan gagasan mereka.
Tujuan penulisan ini bukanlah untuk melihat sejarah bagaimana golongan kiri berjuang menuju kemerdekaan. Itu sudah banyak dicatat, malah oleh pejuang zaman itu sendiri. Apa yang ingin dijelaskan ialah sosiologi dan pemikiran golongan kiri di Malaya bagi menjawab persoalan besar; apa yang dimaksudkan dengan kiri.
Dalam dunia yang semakin global dan di mana kesedaran kelas (class consciousness) semakin kuat, kiri di Malaysia tidak membawa erti yang sama dengan kiri pra-kemerdekaan. Dengan memahami jelas perbezaan dunia moden kita dan dunia yang dijajah ketika itu, kita akan lebih memahami sejarah kemerdekaan negara ini.
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto: Arkib
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.