Kesultanan Melaka; Nasab dan Pewarisan

Kesultanan Melaka; Nasab dan Pewarisan

I

Sultan Melaka? Pernahkah kita tertanya apakah masih ada pewaris Sultan Melaka dahulu-kala yang masih memerintah atau bertakhta? Benarkah Melaka masih bersultan tetapi dinafikan?

Saya teringat kata-kata seorang tua kepada saya “keturunan Zulkarnain, raja-raja ini tidak boleh menganiaya dan menghina rakyat. Kalau mereka buat juga, sebab itu banyak negara sudah tiada beraja. Dalam Sejarah Melayu ada tulis.” Awalnya saya kurang faham, tetapi setelah membaca buku Sejarah Melayu saya sedikit mengerti.

Dalam wa’adat atau sumpah setia antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana yang panjang itu, rumusannya mudah. Keturunan Seri Teri Buana tidak boleh mencela, menista dan mengaibi rakyat. Keturunan Demang Lebar Daun pula tidak boleh menderhaka dan menitikkan darah keturunan Seri Teri Buana yang menjadi raja.

Tetapi apa yang lebih penting ialah dua baris kata-kata Demang Lebar Daun iaitu “jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku.” Itu yang pertama, yang kedua ialah “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”

Seri Teri Buana dan dua orang adiknya di dalam Sejarah Melayu adalah keturunan Iskandar Zulkarnain dan muncul di Bukit Siguntang. Dia adalah leluhur Parameswara yang menjadi Sultan Melaka yang pertama. Demang Lebar Daun pula ialah pemimpin rakyat setempat dan dia juga bukan calang-calang orang.

Oleh itu keturunan Sultan Melaka sudah pasti terikat dengan sumpah setia tersebut terhadap rakyat. Namun begitu persetiaan tersebut bukanlah fakta sejarah yang pasti, tetapi ia tidak menafikan sifat persetiaan atau kontrak tersebut yang universal – pemerintah dan pemimpin yang tidak adil pasti akan tidak akan bertahan.

Setelah Kota Melaka ditakluk Portugis, keturunan Seri Teri Buana masih tetap bertakhta. Pemerintahan keturunannya tidak bernoktah di situ sahaja. Legasi empayar Melayu Melaka yang luas mengubah pusat pemerintahannya ke Johor-Riau.

Sultan Mahmud dari Melaka masih memerintah. Salah seorang anak baginda iaitu Alauddin II ditabalkan sebagai pemerintah legasi empayar Melayu yang berpusat di Johor-Riau. Yang seorang lagi iaitu Muzaffar I pula dihantar memerintah Perak yang dahulunya juga di bawah kekuasaan Kesultanan Melaka.

Begitupun masih bertakhta, tetapi jika dirujuk persetiaan bersama Demang Lebar Daun, ini adalah bibit-bibit peringatan besar. Maknanya raja keturunan Seri Teri Buana terancam dari takhta dan binasa negerinya.

II

Lantas yang menjadi persoalan, apakah Kesultanan Perak dan Johor masih lagi berketurunan Parameswara, Seri Teri Buana dan Zulkarnain? Yang menuntut takhta Melaka pula apa cerita?

Setelah Sultan Mahmud Shah II Mangkat Dijulang akibat ditikam oleh Laksamana Bentan, maka tiadalah lagi kononnya waris Kesultanan Melaka. Raja zalim bukan sahaja disanggah, tetapi turut hilang takhta untuk diwariskan kepada pewarisnya. Ini mungkin petanda seperti yang diisyaratkan dalam persetiaan ataupun wa’adat.

Sayugia diangkatlah Bendahara Tun Abdul Jalil oleh para pembesar Johor-Riau untuk menjadi Sultan bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Namun pertabalan Sultan daripada Wangsa Bendahara dilihat kurang ‘berdaulat’. Kendati darah keturunan diraja yang muncul di Bukit Siguntang masih mengalir di dalam tubuh melalui moyang perempuannya iaitu Tun Mengkudu binti Tun Jenal, namun ia tidak cukup kuat.

Pemerintahan Johor-Riau yang dikepalai oleh Wangsa Bendahara juga mempunyai banyak masalah dalaman, perebutan kuasa dan sebagainya. Mungkin kerana dilihat kurang berdaulat oleh rakyat.

Orang Laut yang selama ini menyebelahi dan menyokong pemerintahan dinasti Melayu semenjak Srivijaya, Melaka sehinggalah Johor-Riau mulai menarik sokongan. Mereka tidak mengakui pemerintahan Wangsa Bendahara. Kemudian muncul Raja Kecil yang didakwa sebagai pewaris Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merampas kuasa daripada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.

Raja Kecil mendapat sokongan daripada Orang Laut yang menggangap Baginda sebagai pewaris berdaulat raja Melayu. Namun anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV iaitu Raja Sulaiman dengan bantuan pahlawan Bugis telah berjaya mengusir Raja Kecil.

Namun begitu Raja Kecil diangkat menjadi sultan di Siak. Baginda merupakan pengasas Kesultanan Siak yang sebelumnya di bawah pengaruh Melaka dan Johor-Riau. Oleh itu, Kesultanan Siak dianggap menjadi penerus Dinasti Kesultanan Melaka. Namun persoalannya, apakah ia berkekalan?

Keturunan Raja Kecil memerintah Siak selama enam generasi. Namun kemudian, rampasan kuasa dalaman oleh menantu Sultan Siak keempat (Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah) telah menyaksikan pewaris Kesultanan Dinasti Melaka telah disingkirkan.

Sultan Yahya iaitu sultan yang disingkirkan dikatakan lemah dalam pentadbiran. Maka kabullah sekali lagi persetiaan Demang Lebar Daun bersama Seri Teri Buana – bukanlah kerana kesaktian waadat itu, tetapi kerana sifat persetiaan itu yang universal. Pemerintah dan pemimpin tidak adil akan disanggah dan rakyat yang tiada kesetiaan akan porak-peranda.

Kekuasaan Kesultanan Siak selepas itu juga tidak bertahan lama apabila ianya dibubar ketika menyertai Indonesia.

Keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid (ayahanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV) pula menguasai bekas kawasan kekuasaan Melaka seperti Terengganu, Pahang, Johor dan Kepulauan Riau. Keturunan pahlawan diraja Bugis yang membantu Kesultanan Johor Wangsa Bendahara pula memerintah negeri Selangor.

III

Lalu bagaimana pula dengan keturunan Sultan Muzaffar Shah I di Perak yang juga berasal dari Dinasti Kesultanan Melaka? Apakah mereka masih kekal memerintah dan bertakhta?

Sebenarnya Kesultanan Perak daripada Dinasti Melaka cuma bertahan selama sembilan generasi. Salehuddin Riayat Shah iaitu Sultan Perak yang ke sembilan merupakan nasab terakhir dari sebelah lelaki yang berketurunan Sultan Melaka.

Ini kerana semasa pemerintahannya wabak taun telah melanda dan ramai rakyat termasuk kerabat diraja telah terkorban membuatkan ketiadaan waris lelaki terdekat untuk menjadi pengganti sultan. Sultan Perak ke sepuluh iaitu Muzaffar Shah II cumalah suami kepada cicit Sultan Perak Yang kedua dari sebelah nasab perempuan.

Waris Kesultanan Melaka dan Seri Teri Buana mungkin masih ada, namun hampir pasti bahawa tiada lagi antara mereka yang masih bertakhta.

Tentang tuntutan seorang keturunan raja untuk menjadi Sultan Melaka di zaman moden ini pula, beliau sebenarnya ialah keturunan Sultan Perak ke 22 yang tidak lagi bernasabkan secara terus daripada Kesultanan Dinasti Melaka. Usahkan dia, hatta Sultan Perak yang absah sekalipun tidak akan boleh menuntut semula takhta Melaka.

Maka kekallah Melaka tiada beraja.

IV

Namun begitu apakah wa’adat dan daulat cuma boleh diwarisi secara nasab? Maka apa jadi kepada bekas kawasan kekuasaan Melaka yang kemudiannya diperintah oleh raja-raja yang tidak bernasabkan Kesultanan Melaka?

Sebenarnya alat kebesaran kerajaan atau ‘regalia’ juga menjadi lambang keunggulan, kemuliaan dan pewarisan kedaulatan. Alatan kebesaran seperti nobat, dan perkakas kerajaan dianggap mulia dan keramat – ini dicatatkan oleh M.A. Fawzi Basri di dalam buku Cempaka Sari; Sejarah Kesultanan Negeri Perak.

Oleh itu di dalam kasus negeri Perak, walaupun tidak lagi bernasabkan secara terus dengan leluhur Dinasti Kesultanan Melaka, namun Kesultanan Perak kini tetap mewarisi nobat secara turun temurun dan alat perkakasan kebesaran daripada Kesultanan Melaka seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Hang Tuah.

Begitu juga kasus raja-raja dari Wangsa Bendahara Johor-Riau, mereka mewarisi alatan kebesaran warisan Kesultanan Melaka seperti Cogan Sirih Besar, Keris Panjang, Ketor dan sebagainya. Alatan kebesaran inilah yang melegitimasikan seseorang sultan walaupun tidak bernasabkan secara terus dengan Kesultanan sebelumnya.

Jika membaca sejarah Johor-Riau kita boleh melihat bagaimana Tengku Abdul Rahman yang disokong Belanda dan Tengku Hussein yang dibantu Inggeris yang berebut takhta telah cuba memaksa Engku Puteri Raja Hamidah. Malah Belanda sanggup merampas alat kebesaran kerajaan yang disimpan oleh Engku Puteri Raja Hamidah untuk melegitimasikan pertabalan Tengku Abdul Rahman sebagai sultan.

Tetapi oleh kerana sibuk berebut kuasa dan negeri menjadi huru-hara, maka runtuhlah empayar Johor-Riau terbahagi dua. Johor-Pahang di satu bahagian, Riau-Lingga di satu bahagian lagi.

Menambah episod duka, tidak lama kemudian keturunan Tengku Abdul Rahman menjadi Sultan di Riau-Lingga telah dibubarkan oleh Belanda. Keturunan Tengku Hussein juga kemudiannya hilang takhta di Johor-Pahang. Kabullah persetiaan Demang Lebar Daun bersama Seri Teri Buana.

Perebutan takhta Johor-Riau ini juga menunjukkan betapa pentingnya seseorang pewaris takhta untuk berada di sisi Sultan yang telah mangkat sebagai adat pewarisan takhta. Ketika ayahanda mereka iaitu Sultan Mahmud Shah III mangkat, Tengku Hussein sebagai putera sulung kebiasaannya akan menjadi pilihan untuk menjadi sultan. Namun kerana Tengku Hussein berada di Pahang dan lewat pulang, ini menjadi salah satu alasan yang membolehkan adindanya iaitu Tengku Abdul Rahman dipilih untuk menjadi sultan.

Selain dua cara tersebut, secara tradisinya juga pertabalan seseorang raja pemerintah boleh diperolehi daripada pengiktirafan seorang sultan berdaulat yang lainnya. Misalnya Raja Lumu atau Sultan Salehuddin yang mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Perak dan menggunakan nobat iaitu salah satu alat kebesaran kerajaan Perak semasa pertabalan Baginda sebagai Sultan Selangor yang pertama.

V

Selain cara tradisi, ada cara moden bagi mendaulatkan dan meligitimasikan kekuasaan atau pemerintahan iaitu melalui perlembagaan dan undang-undang. Cara ini telah dimulai oleh Wangsa Temenggung di Johor yang juga merupakan sebahagian daripada waris Kesultanan Wangsa Bendahara.

Wangsa Temenggung yang membentuk Kesultanan Johor moden tidak mewarisi alatan kebesaran Johor lama yang telah runtuh. Namun Temenggung telah melegitimasikan kedudukannya sebagai Sultan Johor melalui Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri. Ini dicontohi daripada pemerintahan di negara-negara eropah tatkala itu.

Pada zaman moden, kini hampir semua kesultanan di Malaysia didaulatkan secara perlembagaan dan perundangan walaupun cara tradisi tetap menjadi sebahagian daripada upacara penting pertabalan. Kendati tidak terlihat ‘sakti’, tetapi tetap mengangkat legitimasi dan lebih mandiri.

Dan ini juga bermaksud bahawa kekuasaan raja-raja tidak lagi seperti dahulu, kini mereka cuma bertakhta tetapi tidak memerintah. Mengapa kuasa semakin terhakis? Mungkin kerana persetiaan silam yang universal sifatnya itu tetap relevan. Maka sekali lagi, kabullah persetiaan Demang Lebar Daun bersama Seri Teri Buana. Inilah pesan kebaikan buat pemerintah, pemimpin dan sekalian rakyat.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: flickr

Share this Post: