Kepentingan Mengenali Keluarga Tumbuhan

Kepentingan Mengenali Keluarga Tumbuhan

Tahukah anda, dalam dunia hortikultur, tumbuhan juga terdiri daripada pelbagai keluarga tanaman. Pengetahuan mengenai keluarga tanaman amat membantu dalam pengurusan kebun kita. 

Berbeza dengan manusia yang mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam sesuatu situasi, tumbuhan tidak mampu beradaptasi dalam keadaan yang tidak menepati keperluannya untuk hidup. Maka, jika sesuatu penyakit menyerang sesuatu keluarga tumbuhan, tumbuhan ini akan terus menyerang seluruh keturunannya selama-lamanya.

Namun begitu, kelemahan tumbuhan ini boleh kita jadikannya sebagai kelebihan untuk aktiviti berkebun kita.

Dalam dunia tumbuhan, semua tumbuhan dari keluarga yang sama mempunyai "makanan" kegemaran yang sama.  Maksud makanan di sini ialah nutrien penting yang diperlukan untuk tanaman. Begitu juga dengan ancaman, keseluruhan keluarga hanya akan terdedah dengan perosak dan penyakit yang sama.

Bayangkan anda menanam tumbuhan daripada keluarga yang sama di dalam pasu yang sama. Semestinya persaingan akan berlaku kerana mereka berebut nutrien (makanan) yang sama.

Strategi yang kita boleh gunakan untuk menang dalam situasi ini ialah sekiranya kita mempunyai ruangan yang terhad, tanamlah tumbuhan daripada keluarga yang berbeza untuk mengelakkan persaingan memandangkan tumbuhan-tumbuhan ini mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza.

Selain dapat memaksimumkan keuntungan, kaedah menanam berbilang keluarga ini mampu mengelirukan para musuh.

Sebagai contoh, tanam cili di dalam pasu. Apabila pokok sudah tua dan sedia untuk diganti, pada pusingan kedua ini gantikannya dengan apa-apa sahaja tanaman dari keluarga yang berbeza, misalnya dengan menanam pokok kacang bendi. Sekiranya kita bercucuk tanam di dalam pasu, susun pasu secara berselang seli dengan setiap jenis tumbuhan daripada keluarga yang berbeza. Jika bercucuk tanam di atas batas, bezakan setiap batas mengikut keluarga.

Ada 2 penjelasan mudah di sini.  Pertama, perosak atau penyakit, akan keliru dengan barisan tanaman yang berselang seli. Kekeliruan ini sebenarnya amat menyusahkan dan mereka sendiri akan berpindah mencari mangsa lain.

Kedua, mengikut kajian pakar hortikultur, jarang sekali perosak dan penyakit akan menyerang tanaman pada musim pertama.  Biasanya perosak akan mula membina kekuatan dahulu sebelum menyerang.

Apabila kita tanam keluarga lain di pusingan seterusnya, perosak akan keliru kerana ini bukannya sasaran asal mereka. Oleh sebab itu, perosak akan terlalu untuk mencari mangsa baharu.

Mudah kan?

Persoalan seterusnya, bagaimana untuk menentukan keluarga tanaman?

Untuk anda yang berpengalaman, keluarga tanaman boleh ditentukan dengan hanya melihat ciri-cirinya saja. Perkara penting untuk dilihat ialah daun dan bunga. Tanaman dari keluarga yang sama mempunyai daun atau bunga yang hampir sama.

Sebagai contoh, cili, tomato dan terung mempunyai daun yang hampir sama. Roselle, bendi, kapas dan bunga raya pula mengeluarkan bunga yang hampir sama. Walaupun kaedah ini kurang tepat, namun kita boleh gunakan sebagai panduan asas. Kaedah yang paling tepat adalah dengan memerhatikan nama saintifik sesuatu tanaman.

Cara yang saya gunakan untuk mencari maklumat ini adalah melalui carian di Wikipedia. Saya kongsikan satu situasi. Sekiranya pada ketika itu saya ingin menanam cili dan tomato, saya akan membuat carian Wikipedia dengan menaip cili. Dengan jelas nama keluarga cili ialah Solanaceae.  Sekarang carian Wikipedia untuk tomato pula. Nama keluarganya juga adalah Solanaceae. Maka sahlah cili dan tomato adalah daripada keluarga yang sama.

Strategi penanaman? Keluarga sama, tanam jauh-jauh bimbang gaduh! Sekian.

Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik ‘old school’ yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan lain.

Kredit foto: www.northeastnursery.com

 

Share this Post: