Berlegar dalam media sosial imej jalanan Jakarta yang terbakar. Ancaman pandemik tidak menghalang kesatuan buruh dan mahasiswa di sana untuk turun ke jalan raya dalam angka gergasi di kota Jakarta dan bandar-bandar lain. Kesemuanya diharungi untuk membantah Omnibus Law, terutamanya RUU Cipta Kerja.
RUU Cipta Kerja ini telah dibentang dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR - seperti Dewan Rakyat Malaysia) dan bakal dikuatkuasakan oleh kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Jokowi yang kini berhadapan kritikan.
Tindakan ini mencetuskan kemarahan kesatuan buruh, mahasiswa, aktivis alam sekitar dan banyak lagi kesatuan lain kerana dianggap melanggar hak pekerja dan menghalalkan kerosakan alam hanya untuk memberi keuntungan kepada kaum pemodal dan pelabur luar.
Omnibus Law itu sendiri bermaksud sebuah pindaan kepada jaringan kompleks Rang Undang-Undang yang meliputi pelbagai aspek. Terdapat empat Omnibus Law yang sedang dibentang di DPR - Cipta Kerja, Perpajakan, Ibu Kota Baru, dan Kerfarmasian.
Omnibus Law ini sudah dibayangkan sejak Januari oleh Presiden Jokowi sebagai langkah menyelamatkan ekonomi Indonesia yang kini dilapor menguncup kepada 5.3% dalam suku kedua 2020.
Untuk yang kurang menyedari perkembangan di negara jiran; sejak setahun yang lalu, Presiden Jokowi dan kerajaannya yang baru sahaja memperbaharui mandat mereka dalam pilihan raya yang lepas sudah secara terbuka mengumumkan langkah-langkah besar untuk memacu ekonomi mereka.
Antaranya termasuklah memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan di kepulauan Borneo dan membuka pintu ekonomi buat pelaburan asing bagi membiayai projek-projek mega masa hadapan. Inilah antara sebab Omnibus Law ini dibawa oleh kerajaan; agar sekatan dan kekusutan undang-undang sedia ada dapat dirombak secara besar-besaran.
Yang menjadi tajuk besar hari ini adalah RUU Cipta Kerja - yang bertujuan melonggarkan persekitaran ekonomi Indoneis agar lebih mudah diterima pelabur. Melaui RUU Cipta Kerja, Indonesia bakal melonggarkan birokrasi ke atas pelaburan dari luar, mengubah sistem gaji minima sedia ada mengikut pendaerahan, menurunkan kadar pampasan wajib buat perkerja, dan memanjangkan tempoh 'overtime' yang dibenarkan antara lainnya.
RUU ini juga melonggarkan piawaian alam sekitar dalam perusahaan yang berkaitan. Dalam sebarang bentuk pelaburan baharu yang melibatkan penerokaan hutan misalnya, sebuah syarikat hanya perlu melaporkan analisa impak alam sekitar jika dianggap sebagai perniagaan berisiko tinggi.
Berdepan kemelut ekonomi, lebih 6 juta telah hilang pekerjaan sejak pandemik, dan hampir 3 juta graduan dilaporkan sedang menunggu dan mencari pekerjaan. Indonesia ingin meningkatkan kedudukan dalam indeks mesra pelaburan yang ketinggalan berbanding negara ASEAN lain termasuk Vietnam dalam berdepan situasi ini.
RUU ini ditentang bukan sahaja oleh kesatuan-kesatuan buruh dan mahasiswa, malah juga organisasi dakwah terbesar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) yang berpengaruh besar. Mereka menyifatkannya sebagai RUU pro-kapitalis yang menindas kelas pekerja.
Di peringkat antarabangsa, bantahan terbesar ke atas RUU ini turut datang dari organisasi buruh seperti International Trade Union Confederation (ITUC). RUU ini disifatkan sebagai memberi peluang eksploitasi pelabur menjarah kekayaan Indonesia.
Organisasi alam sekitar turut memberi amaran langkah RUU ini bakal menyaksikan lebih banyak penggondolan hutan akibat kelonggaran yang diberi buat pelabur. Indonesia hari ini sudah pun sedia berhadapan dengan masalah kebakaran dan penggondolan hutan, maka langkah sebegini dianggap sebagai hanya akan terus memburukkan Indonesia.
Indonesia negara yang terkenal dengan kekuatan kesatuan-kesatuan buruh dan mahasiswanya. Protes yang berlangsung sekarang tidak berlaku dengan spontan, sebaliknya telah sejak awal direncanakan untuk berdepan perkembangan RUU Cipta Kerja.
Selain di jalan raya, media sosial turut digunakan sebagai platform bantahan. Antara bentuk bantahan yang menarik perhatian adalah bagaimana sebilangan wanita muda mula memuat naik ugutan mendedahkan skandal mereka dengan anggota-anggota DPR yang terlibat dengan RUU ini. - ALTERNATIF
Foto ihsan Jaksel News
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.