Kekangkungan 'Profesor Pelukis'

Kekangkungan 'Profesor Pelukis'

Malam ini menggulai kangkung, 
Malam esok menggulai serai;
Malam ini kita berkampung, 
Malam esok kita bercerai.
 

Pantun atau tradisi lisan Melayu selalu tidak lupa memugar maksud daripada tabiat pohon, sayur herba, dan aneka alam. Tidaklah melebih kalau hendak dikatakan, kecerdikan seseorang pun boleh diukur ketika dia menimbang alam semula jadi bagi melambang kata.

Coretan ini dimulakan sebilah pembayang pantun, Malam ini menggulai kangkung/Malam esok menggulai serai; -  bercerita tentang gulai sayur kangkung terjadual dalam rutin makanan harian orang banyak.  

Sengaja saya petik untuk bicara perihal kangkung sebelum menjentik beberapa hal lain setelahnya.

Menurut Kamus Dewan kata ‘kangkung’ memiliki dwi makna - satu; sejenis sayur atau herba menjalar yang biasanya hidup di air dan dapat dibuat sayur, nama sainsnya pula Ipomoea reptans. Dua; sejenis katak yang besar. 

Yang cantiknya, kata kangkung – selain diguna dalam pantun itu – mempunyai  konotasi yang menarik di Malaysia. Konotasi yang paling menarik pastilah yang ada pada istilah: ‘Profesor Kangkung’ 

Terima kasih kepada Syed Hussein Alatas kerana memberi kita kalimat cerdik ini sehingga akal kita mendapat gambar-gambar dan visual yang baru.

Kreativiti Allahyarham Syed Husein begitu tepat membayangkan maksud dan pemerhatiannya apabila menguar-uarkan istilah 'profesor kangkung' sejak 1980-an. 

Pendekatan membina sandaran kata bahkan perkataan yang baru oleh para sarjana, sasterawan dan seniman – jika dikerjakan dengan baik mampu membina masyarakat yang kreatif – kerana yang lahir daripada yang kreatif selalunya akan mencetus yang kreatif juga. 

Di tangan Syed Hussein, sayur itu memberi makna sinikal. Sayur itu, selain sedap direbus bersama mee segera memiliki makna tepat di tangan Syed Husein – tokoh ini meminjam tabiat kangkung dan disandar dengan kata lain. Tabiatnya yang senang menjalar di permukaan air, senang dipatah dan sedap pula dimakan dengan mudah terbayang dek kepala. 

Kita, bila mendengarnya, terus tahu maksud yang hendak dijelaskan Syed Husein. 

Profesor kangkung - adalah mereka yang bergelar profesor tapi tabiatnya tidak serupa profesor. Lebih serupa kangkung.

Batangnya lompong, duduk di permukaan, mengacau pesawah dan sedap dimakan. 

Profesor dalam golongan itu; tak berisi, hidup di permukaan kerana tidak berfikir, menganalisis dan mengkaji, senang hidup menjalar (sehingga selalu membuat si pesawah sakit mata), dan sudah tentu dengan senang dipatah-patahkan untuk dibuat gulai dan dimakan.

Terima kasih sekali lagi kepada Syed Husein kerana memperkenalkan kata sindiran ini kepada khalayak sekali gus mendedahkan bahawa ada pekung dalam dunia akademik negara kita. 

Lewat beberapa waktu pandemik berjalan, profesor-profesor spesis ini giat didedahkan pekungnya. Bermula daripada pendedahan Dr Arshad Ayub baru-baru ini yang berkata lambakan profesor di negara kita tidak berkualiti.

Dan kemudian disambung Faisal Tehrani membicarakannya juga lewat siri tulisan di pelbagai portal termasuk ‘rahsia terbuka’ yang diceritakan novelis itu mengenai scam akademia negara. (Barangkali maklumat yang banyak pada tangan Faisal Tehrani itu disebabkan kajiannya ketika menyiapkan novel berjudul 'Profesor' terbitan FIXI dua tahun lalu - yang saya pun belum membacanya)

Laporan MalaysiaNow pun turut mendedahkan bagaimana hasil kerja palsu orang universiti antara tertinggi ditemui dalam pangkalan data global.

Bagaimanapun, daripada pelbagai komentar tentang pekung dunia akademia negara. Komentar Ahmad Murad Merican adalah antara komentar yang paling menarik fikiran. Dalam sebuah laporan MalaysiaNow, Murad sempat menyifatkan golongan akademia umpama ‘Macau Scammer’.   

Dan kemudian, lebih menarik lagi apabila dengan tajam komentar beliau dalam satu catatan Facebook mengenai profesor seni halus yang tidak membuat kerja ‘semulajadinya.’

Itulah yang membuat saya melengung dan berdengung kepala. 

Jika boleh dipanjang-panjangkan (dan memang perlu dipanjang-panjangkan).

Kita namakan golongan yang dimaksudkan Murad itu sebagai 'Profesor Pelukis’. Profesor seni halus yang duduk enak di universiti awam - tetapi tidak melakukan kerja-kerja penulisan teori, analisis, kritik, pencerapan historiografi dan sebagainya. Sebaliknya giat melukis dan menjual lukisan mereka. Gaji di universiti dapat, untung lukisan pun dapat.

Untuk membaca pemikiran, idea, kritik dan teori jitu daripada Profesor Pelukis jenis kangkung ini - alamat menunggu kucing bertanduk. 

"2,500 profesor kita tiada kualiti" kata Arshad. Saya dengan pasti, Profesor Pelukis pastilah dalam kalangan mereka itu. 

Seharusnya, orang universiti melakukan kerja-kerja akademik. Bukan melukis dan menjual lukisan. Lukisan-lukisan seorang Profesor Pelukis tidak memberi apa-apa makna jika pemikiran, idea dan kajiannya tidak dapat kita sentuh dan pelajari. 

Kerja-kerja melukis, kanak-kanak pun boleh, orang yang tak belajar seni halus di universiti pun boleh melakukannya. 

Apa yang membezakan seorang profesor daripada seorang kanak-kanak dan mereka yang tidak belajar di universiti?

Sudah pastilah pemikiran jawapannya. 

Namun begitu jarang kita mengetahui profesor seni menulis idea-idea segar, kritikan-kritikan padu, dan apresiasi seni yang menghubungkan urat jemalai minda dan jiwa kita.

Gejala-gejala seperti ini, mendedahkan lagi pekung yang sedia terbuka di institusi pendidikan tinggi - yang sepatutnya menjadi rujukan orang awam. 

Namun, dengan kemuflisan kajian teori, analisa, kritikan, pemetaan sejarah dan sosial kesenian - kerana Profesor Pelukis tidak membuat kerja dan barangkali kontang idea - negara kita terus menjadi haru-biru. Terus menerus hilang punca.

Ekosistem kesenian berada dalam udara yang buruk. Para seniman terpaksa pula menghirup udara penuh toksik itu.

Toksiknya ekosistem seni termasuk:

1. Masyarakat tidak dapat membezakan antara 'Seni' dan 'Hiburan'. Antara 'Seniman' dan 'Penghibur'. Tidak hairan media kita (termasuklah yang rasmi) boleh menggunakan istilah 'penggiat seni' sesuka hati. 

Ketika media melaporkan teguran ustazah Asma kepada penyanyi Ayda Jebat, istilah ‘penggiat seni’ juga yang digunakan.

Walhal dunia hiburan massa yang sia-sia demikian rupa tidak pernah identik dengan kesenian.

Entahlah, apa yang seninya klip video Ayda Jebat tempoh hari.

2. Apabila institusi yang sepatutnya berfungsi sebagai pentadbir hal-hal kesenian dan kebudayaan    diketuai bukan ahlinya – atau barangkali oleh seorang ‘perambat laba’ yang tak tahu menahu tabiat seniman, tidak tahu kerja seniman adalah mencipta kesenian. Akibatnya, si ‘perambat laba’ ini akan menyusahkan para seniman dengan pelbagai birokrasi. Mereka bukan pemudah cara. Tetapi penyusah cara.

3. Jauhnya bidang seni halus sebagai ibu wadah-wadah kesenian di negara ini. Hakikat ini begitu pahit, tetapi ia perlu diperkatakan. Ia adalah manifestasi muflisnya sumber primer mahu pun sekunder keilmuan kita merujuk budaya dan kesenian tempatan bagi rujukan pengkarya dan seniman. Usaha-usaha kajian seni halus begitu sukar disentuh.

Lebih malang, seniman sendiri tidak mahu berusaha dan mengambil jalan mudah ketika berkarya. Menyebabkan hal ini menjadi lebih parah.

Kerana itu, saya sedikit kecewa (lucu pun ada) ketika menghadap seminar antarabangsa pemikiran  Syed Husein Alatas: Legasi ilmuan dan Perjuangan yang dianjurkan IIIT sempena mengenang pemergian beliau Januari lalu. 

Lucu sedikit apabila menyaksikan Mohamad Abu Bakar seakan-akan defensif dengan hakikat yang berlaku dalam negara kita - bahawa wujud golongan akademia kangkung yang menjalar di institusi pendidikan tinggi negara. Sepatutnya di dalam seminar antarabangsa demikian barangkali boleh juga Abu Bakar menceritakan perihal kekangkungan profesor yang turut dikomentar anak perempuan Syed Hussein, Masturah Alatas dalam seminar yang sama.

Alih-alih, gelar profesor yang dikelaskan kepada empat jenis itu pula yang dijelaskan sepenuh hatinya kepada khalayak. 

Sedangkan, profesor itu hanyalah gelaran. Walhal, bila disebut pensyarah universiti. Semua orang tahu golongan ini adalah golongan akademia yang sepatutnya bukan sekadar mengajar. Mereka adalah sarjana dan intelektual  yang harus memainkan peranan untuk memandaikan masyarakat. Membina masyarakat yang berfikir.

Apatah lagi mereka yang bergelar ‘profesor’.

Canggung, cukup canggung.

Kenapa ia perlu dijelaskan? Apakah perkataan 'profesor' itu terlalu sukar nak difaham? 

Namun, jika betul hendak mengkelas-kelaskan juga gelar profesor sedemikian, eloklah tambah satu lagi dalam empat kategori itu: 'Profesor Pelukis' - profesor seni halus yang barangkali hanya mahu menjadi selebriti.

Namun, tidak berupaya memberikan kefahaman apatah lagi menggoncang pemikiran.          

Oh ya, masih ada maksud pantun dari Kurik-Kundi Merah Saga. Biarlah kita fahami seperti ini:

Malam ini kita berkampung/Malam esok kita bercerai: Jika memang tak ada harapan untuk kita menumpang ilmu ‘profesor-profesor’ kita – eloklah kita rintis jalan sendiri-sendiri. Seni mungkin akan terus jadi zombi – tercerai dan terberai.

Zahid M. Naser menulis puisi, esei dan cerpen, selain menterjemah dan menyunting. Karya ecerannya diterbitkan dalam beberapa antologi dan laman web. Buku puisinya; Berehat Di Sisi Paus terbit pada 2016.

Foto: Masturah Alatas

Share this Post: