Di media sosial, kita selalu melihat tanda pagar keep hustling, hustle atau seumpamanya. Tanda pagar ini adalah untuk menunjukkan individu tersebut sedang bekerja keras demi bertahan hidup. Seseorang itu juga hanya dapat mencapai kejayaan atau kekayaan jika bekerja dengan gigih. Budaya hustle ini sebenarnya sama sahaja dengan workaholism atau gila kerja.
Walau bagaimanapun, istilah keep hustling mungkin lebih positif dan sedap didengar. Akhirnya, gaya hidup ini menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat kita. Usahawan, pakar motivasi dan pempengaruh media sosial kononnya juga memomokkan masyarakat bahawa kita kurang bekerja keras.
Budaya ini sinonim dengan anak muda sebagai bukti bahawa mereka tidak malas sepertimana yang kerap menjadi pandangan masyarakat. Perasaan bangga juga akan muncul sekiranya dapat mempamerkan kesibukan, pencapaian atau jadual kerja yang sangat padat. Semuanya demi hasil.
Malah, seseorang akan berasa serba salah jika sedang berehat, tidak melakukan kegiatan yang produktif atau tidak dapat mengejar sasaran kerja. Ekoran daripada itu, kita sanggup membuat banyak pekerjaan dalam satu-satu masa, tidak ada waktu untuk diri sendiri dan berdedikasi terhadap jam kerja yang sangat panjang.
Maksud hustle itu sendiri merujuk kepada tergesa-gesa, berasak-asak, kesibukan dan kecepatan. Budaya ini juga tidak terkecuali daripada toxic positivity dan toxic productivity. Pada hakikatnya, keadaan ini membuatkan ramai orang terjejas dari segi kesihatan fizikal dan mental. Tuntutan ini mengakibatkan kita cenderung mengabaikan kesejahteraan diri sendiri. Misalnya, menjadi lesu upaya, tekanan dan menghidap penyakit.
Sedangkan, rehat juga merupakan aktiviti produktif. Setiap orang memerlukan rehat untuk merehatkan badan atau unplug setelah penat bekerja seharian, melakukan hobi, menjana idea-idea baharu atau meningkatkan kemahiran kreativiti dan menyelesaikan masalah. Bahkan, banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa berehat akan menghasilkan kerja yang lebih cekap.
Tidaklah menjadi kesalahan jika seseorang gigih atau rajin bekerja. Tetapi, ia akan memberikan kesan yang tidak baik sekiranya kita tidak dapat menikmati kehidupan, tidak relaks dan tidak dapat melakukan aktiviti lain selain pekerjaan. Lebih-lebih lagi, kita ialah manusia, bukannya robot.
Kenapa ini terjadi? Kita hidup dalam ekonomi kapitalisme yang mengutamakan keuntungan. Oleh yang demikian, wang dan persaingan menjadi matlamat penting dalam kehidupan. Sistem ekonomi dan pola pemikiran seperti inilah yang menyuburkan budaya hustle, workaholism atau apa sahaja nama yang diberikan kepadanya. Pihak yang untung sudah tentu ialah majikan dan kapitalis. Jadi, gaya hidup yang tidak sihat ini merupakan roda penggerak kepada kapitalisme.
Maka, budaya ini juga sudah ada sejak sekian lama. Namun, ia semakin berkembang sejak pandemik COVID-19 ini. Ramai orang bergantung pada perniagaan sampingan atau side hustle supaya mereka dapat terus menyara kehidupan. Apatah lagi dengan ekonomi yang merudum dan perkembangan ekonomi gig.
Malah, keletihan dan kegelisahan juga meningkat kerana definisi antara kerja dengan rumah menjadi kabur kerana sebahagian orang harus bekerja dari rumah. Kemudiannya, kita terpaksa berjuang untuk memastikan keseimbangan kehidupan bekerja (work-life).
Di Indonesia, terdapat istilah kaum rebahan. Istilah ini merujuk kepada individu yang memilih untuk bersantai, baring atau merebahkan badan di katil berbanding dengan membuat pekerjaan yang berkonotasi sebagai produktif. Mereka sebenarnya masih bekerja tetapi tidak terlalu keras, berasa gembira dengan pencapaian yang sudah ada dan meluangkan masa untuk berehat. Budaya atau trend ini dilihat sebagai satu perlawanan terhadap budaya hustle. Bagi kaum rebahan, kesejahteraan diri adalah lebih utama. Pendek kata, santuy.
Menolak budaya hustle bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita perlu bekerja untuk menyara kehidupan dalam zaman yang serba-serbi mahal. Tetapi, usaha untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan tidak seharusnya menghalang kehidupan kita atau menyekat kita untuk menikmati kehidupan. Bahkan, jika kita memahami asas kepada bagaimana budaya hustle ini boleh wujud, iaitu kapitalisme, kita akan tahu apakah alternatif terhadap sistem ekonomi tersebut.
Malah, Paul Lafargue, seorang jurnalis, aktivis dan penulis yang berpandangan sosialis pun ada menyatakan bahawa akhirnya, “setiap orang mempunyai hak untuk malas”.
Sharifah Nursyahidah merupakan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang meminati penyelidikan dalam politik budaya dan gerakan buruh. Telah menulis beberapa buku antaranya "Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme” dan artikel seperti “Raver dan Hipster: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur”.
Foto: Katty Huertas / WAMU
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.