KAWALAN PENYAKIT SEMASA MUSIM BANJIR

KAWALAN PENYAKIT SEMASA MUSIM BANJIR

Banjir bukan sahaja merosakkan harta benda dan mengganggu emosi, bahkan lebih teruk lagi, banjir boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Ketahui beberapa penyakit bawaan banjir yang boleh memudaratkan tubuh badan kita sekali gus boleh membawa maut.

Salah satunya ialah Leptospirosis. Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus ini adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat dalam air kencing haiwan berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing dan lembu. Bakteria ini berkemungkinan besar terdapat dalam air banjir dan kemudian menjangkiti manusia. Antara simptom penyakit ini adalah demam, muntah, sakit otot, ruam, jaundis dan air kencing yang berwarna gelap.

Kedua ialah keracunan makanan. Dalam situasi darurat banjir, makanan mungkin terdedah dengan pelbagai kuman di sekeliling. Tambahan pula, keadaan kawasan banjir yang dipenuhi lumpur dan kotoran lain seperti bangkai dan sebagainya menambahkan lagi risiko makanan tercemar. Bekalan air bersih juga susah didapati dalam situasi sukar seperti ini. Perhatikan jika terdapat tanda-tanda seperti muntah dan cirit-birit.

Seterusnya, sakit mata. Sakit mata atau konjunktivitis adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada alahan, kuman atau virus. Penyakit ini sangat mudah berjangkit terutama jika bergaul dengan orang yang mengalami sakit mata atau berkongsi alatan peribadi seperti tuala, peralatan mandian dan bantal. Antara tanda telah dijangkiti konjunktivitis adalah mata putih bertukar menjadi sangat merah, pedih, sensitif terhadap cahaya, berair dan tahi mata yang banyak.

Demam denggi juga penyakit bawaan banjir. Demam denggi kebiasaan terjadi semasa dan selepas kejadian banjir. Puncanya adalah pembiakan nyamuk aedes yang terjadi di kawasan atau tempat takungan air. Demam denggi kebiasaannya dimulakan dengan demam mengejut dengan suhu yang tinggi iaitu sekitar 40 ke 41ºC. Selain itu, disusuli pula dengan sakit kepala terus, sakit di belakang bebola mata, sakit otot dan sendi, gatal-gatal kulit dan sesetengahnya akan mengalami merah-merah pada sebahagian atau keseluruhan tubuh badan.

Untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko penyakit-penyakit bawaan banjir ini, anda dinasihatkan untuk:

  1. Pindah ke tempat yang selamat secepat mungkin atau apabila diarahkan berbuat demikian untuk mengelakkan anda daripada terpaksa meranduk air banjir.
  2. Elakkan anak-anak anda bermain air banjir.
  3. Sentiasa pastikan makanan dan minuman bersih dan di masak sempurna. Elakkan makan makanan mentah dan sentiasa kupas buah sebelum makan. Air bersih yang lebih terjamin dalam situasi ini adalah air mineral yang dibeli di dalam botol.
  4. Pastikan anda mencuci tangan sekerap mungkin dengan sabun.
  5. Pastikan tuala mandi anda bersih dan elakkan berkongsi barangan peribadi seperti alatan mandian dan bantal.
  6. Gunakan kelambu atau penyembur antinyamuk semasa hendak tidur atau pada malam hari terutamanya.
  7. Dapatkan rawatan segera jika anda tidak sihat.

Jaga diri. Kekal sihat dan selamat!

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/banjir-dan-risiko-penyakit-berjangkit/

Kredit foto: malaymail.com

Share this Post: