Kapitalisme dan Covid-19

Kapitalisme dan Covid-19

Sudah hampir setahun dunia berperang dengan pandemik Coronavirus (COVID-19). 2020 juga akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Usaha-usaha untuk menghasilkan vaksin dan mengkaji virus ini masih giat dilakukan. Namun, kelelahan dan penantian lama ini juga tidak lepas daripada penyebaran pelbagai teori konspirasi. Apatah lagi, jutaan orang di seluruh dunia telah diberhentikan kerja dan pelbagai kedai terpaksa gulung tikar. Hakikatnya, kesan krisis ekonomi seperti pengangguran sudah berlaku jauh sebelum COVID-19 muncul. Ekonomi gig yang semakin berkembang hanya membuatkan pekerja-pekerja terdedah kepada pekerjaan prekariat. 

Pada tahun 2018, kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 3.3 peratus. Kadar ini mungkin kelihatan masih rendah. Namun, pada masa sama, ramai pekerja tidak dibayar dengan gaji yang setimpal dan menghadapi masalah ‘underemployment’. Bahkan, jurang ekonomi semakin melebar – yang miskin bertambah miskin, yang kaya semakin kaya. Oleh yang demikian, kapitalismelah yang menciptakan wabak ini. Kapitalisme jugalah yang memburukkan krisis kesihatan dan kemanusiaan ini. Terdapat dua penjelasan untuk ini. 

Pertama, kapitalisme mengacau sistem pertanian dan penternakan pada tahap yang tidak rasional. Nafsu kapitalis untuk mengeluarkan produk pertanian dan penternakan pada skala yang keterlaluan kerana ingin mengaut keuntungan telah mendekatkan manusia pada haiwan-haiwan yang sebelum ini berada jauh di dalam hutan. Hutan ditebang, haiwan dibunuh secara berleluasa dan rakus. Akibatnya, patogen daripada haiwan-haiwan tersebut berpindah kepada manusia. Walhal, manusia tidak mempunyai keimunan seperti haiwan tersebut. 

Pelbagai taktik industri pertanian moden lain juga digunakan oleh banyak syarikat multinasional pertanian tani (agribusiness) sehinggakan mengenepikan pertimbangan ekosistem. Misalnya, ayam yang disuntik untuk mempercepatkan pembesarannya atau pengeluaran daging lembu secara besar-besaran. Lihat sahaja filem Okja yang mengkritik kapitalisme kerana menyalahgunakan amalan ‘genetically modified organism ’. Semua perkara ini ada diterangkan dengan jelas dalam buku “Big Farms Make Big Flu: Dispatches on Influenza, Agribusiness, and the Nature of Science” yang ditulis oleh Rob Wallace.

Kedua, kapitalisme mendorong manusia untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk bekerja. Ketika wabak ini, rakyat dianjurkan untuk melakukan penjarakkan fizikal dan duduk di dalam rumah. Tetapi, mahu tidak mahu, para pekerja terpaksa keluar dari rumah untuk bekerja. Jika mereka tidak keluar, mereka tidak akan mendapatkan wang. Kebanyakan mereka ini adalah daripada golongan menengah ke bawah, pekerja swasta, pekerja perubatan, pekerja kilang dan pekerja daripada sektor informal. Keadaan ini sudah tentu mempercepatkan penularan virus COVID-19. Bahkan, mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 62 kluster (30 peratus) di negara ini adalah berkaitan dengan tempat kerja. 

Pada masa sama, majikan masih dapat memaksimumkan keuntungan. Golongan kaya boleh duduk di rumah sambil menunggu pendapatan mereka. Walaupun COVID-19 melanda, jumlah bilionair juga bertambah. Di China, golongan kaya memperoleh keuntungan sebanyak AS$1.5 trilion (RM6.22 trilion) kerana peningkatan pembelian dalam talian semasa pandemik COVID-19. Kekayaan ini telah melebihi pendapatan keseluruhan lima tahun yang lepas. Di Malaysia pula, pada Julai 2020, Wong Teek Son, muncul menjadi bilionair kelima negara daripada sektor pengeluaran sarung tangan. Sementara itu, minggu ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaporkan bahawa hampir 90,000 orang kehilangan pekerjaan pada tahun ini. 

Beginilah cara bagaimana kapitalisme berfungsi, sistem ekonomi yang melibatkan pengeluaran komoditi supaya kapitalis sebagai pemodal dapat memperoleh keuntungan secara maksimum dengan menekan gaji pekerja agar menjadi lebih rendah. Pekerja boleh dipecat sesuka hati ketika mereka tidak diperlukan. Sistem ekonomi yang menghasilkan produk berdasarkan ‘profit’ dan bukannya ‘needs’. Kapitalis menguasai alat-alat pengeluaran dan menentukan apa atau bagaimana sesuatu dihasilkan. Manakala, pekerja tidak memiliki apa-apa melainkan tenaganya. Padahal, pekerjalah yang mewujudkan nilai lebihan (surplus) sehinggakan majikan boleh menjadi kaya dan untung. Oleh yang demikian, selagi kapitalisme masih berjalan, kerosakan alam sekitar, penindasan pekerja dan wabak baharu akan terus terjadi. “Ubat” kepada kapitalisme ini juga perlu dihasilkan.

Sharifah Nursyahidah merupakan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang meminati penyelidikan dalam politik budaya dan gerakan buruh. Telah menulis beberapa buku dan artikel antaranya "Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme” dan “Raver dan Hipster: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur”.

 Foto ihsan Resilience.org

 

 

 

Share this Post: