ISU PEMAKAIAN BRACES, BERTAULIAH ATAU TAK BERTAULIAH

ISU PEMAKAIAN BRACES, BERTAULIAH ATAU TAK BERTAULIAH

Isu pemakaian braces sama ada bertauliah atau tidak bertauliah ini sudah lama menjadi isu hangat yang diperkatakan terutamanya dari aspek keselamatan.

Braces atau pendakap gigi adalah sejenis alat yang digunakan oleh ortodontik atau orang yang bertauliah dalam bidang pergigian untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur dengan pemeriksaan secara berkala sehingga menjadi susunan yang cantik.

Proses ini mengambil masa kira-kira dua setengah tahun kepada tiga tahun. Ada juga yang perlu memakai braces lebih lama, bergantung kepada keadaan gigi asal serta kemajuan pergerakan gigi semasa tempoh pemakaian braces.

Antara komponen utama dalam rawatan pemakaian braces termasuklah braket, wayar dan pelbagai komponen lain yang diperbuat daripada besi.

Bukan itu sahaja, proses pemakaian braces juga memerlukan anda untuk menjalani X-ray terlebih dahulu. Kemudian, biasanya gigi perlu dicabut bagi menyediakan ruang untuk pergerakan gigi.

Bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia, kos rawatan ortodontik, atau memakai braces ini amnya adalah agak tinggi.

Dianggarkan kos pemakaian braces yang terkini di klinik swasta adalah sekitar RM4,000 ke RM10,000.

Bagi sesetengah klinik swasta, caj X-ray dan caj untuk cabut gigi per batang dikira asing. Tidak termasuk dalam kos keseluruhan pemakaian braces.

Memang mahal. Jadi, tidak hairanlah ramai yang tidak mampu untuk memakai braces walaupun gigi tidak tersusun cantik.

Namun, hakikatnya, kos pemakaian braces ini bukanlah faktor utama orang memilih untuk memakai fake braces.

Jika dilihat semula, golongan yang terjebak dengan fake braces adalah golongan remaja dan rata-rata yang memilih untuk memakai fake braces ini sudah mempunyai susunan gigi yang cantik.

Jadi, kenapa?

Kerana TREND. Ya, memakai braces kelihatan cantik dan mereka tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti trend ini.

Bagi sesetengah orang, braces adalah seperti aksesori gigi yang cantik pada mata mereka. Jadi, jika sekadar untuk menambah aksesori, sudah tentu mereka tidak mahu mengeluarkan kos yang tinggi sehingga ribuan ringgit.

Pilihan yang ada pastilah fake braces yakni kosnya jauh lebih murah iaitu sekitar RM90 ke RM150 sahaja. Fake braces juga amat mudah didapati iaitu melalui pembelian online dan pasaran gelap.

Ada juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab menyediakan khidmat untuk memasang fake braces ini. Dan tentunya individu-individu ini bukan dalam kalangan orang yang bertauliah dalam disiplin pergigian.

Sesiapa sahaja boleh menyediakan khidmat pemasangan fake braces ini. Ngeri bukan?

Nah, disangka bertambah cantik selepas melekatkan “aksesori gigi” tetapi padah yang menanti!

Walaupun pemakaian fake braces hanya terhad dalam tempoh tiga ke lima bulan sahaja, pergerakan gigi masih boleh berlaku. Terdapat beberapa kes yang melaporkan gigi goyang dan hampir tertanggal.

Alatan pemasangan fake braces yang tidak jelas bahan buatan serta kebersihannya amatlah berbahaya.

Kemungkinan alatan mengandungi bahan kimia bahaya, boleh berkarat di dalam mulut dan alatan yang tidak disteril boleh menjadi tempat pembiakan bakteria.

Getah yang digunakan bagi fake braces juga disediakan dalam pelbagai bentuk menarik seperti bentuk floral dan kartun, yang akan menyukarkan proses penjagaan kebersihan mulut sepanjang fake braces berada di dalam mulut.

Kesannya, pembiakan bakteria dan risiko ulser di dalam mulut.

Braces diciptakan bertujuan, bukan suka-suka

Braces berfungsi menggerakkan gigi yang tidak teratur supaya tersusun dengan elok. Gigi yang tidak teratur boleh menyebabkan masalah kebersihan mulut. Sebagai contoh makanan yang sukar dikeluarkan dari gigi yang berlapis.

Selain itu, masalah ini juga boleh menyebabkan seseorang kurang keyakinan diri. Gigi yang tidak tersusun seperti jongang menyebabkan paras rupa yang kurang menarik.

Fake braces bukan aksesori suka-suka!

Kurangnya kesedaran masyarakat dalam hal ini merupakan faktor penyumbang dalam amalan tidak bertauliah ini.

Selain pendididkan dan kesedaran yang perlu disebarkan oleh pihak berkuasa kesihatan, orang ramai terutama ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mencegah masalah ini.

Orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya anda mendapati terdapat tawaran perkhidmatan ortodontik haram ini diiklankan secara terbuka di mana-mana media sosial dan sebagainya.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/fake-braces/

https://www.researchgate.net/publication/344638033_Fake_Braces_by_Quacks_in_Malaysia_An_Expert_Opinion

Kredit foto: Aura Orthodontics

Share this Post: