Prolog: Pertembungan Karya Dua Pemikir Hebat
Pada tahun 1684 (Gottfried Wilhelm) Leibniz telah menerbitkan hasil kerjanya ke dalam bentuk karya penulisan bertajuk ‘Nova Methodus pro Maximis et Minimis’ yang mendedahkan kaedah barudalam dunia matematik iaitu kalkulus. Penemuan ini sangat hebat kerana dikatakan pengkomputeran moden juga tidak mampu mengira kalkulus melainkan memudahkan kiraannya sahaja.
Leibniz adalah seorang filsuf merangkumi pelbagai bidang pemikiran seperti sejarah, politik, linguistik, termasuklah matematik dan pelbagai bidang lain lagi. Menurut kisah, Leibniz yang berasal dari Jerman telah memulai kerja-kerjanya terhadap kalkulus semenjak tahun 1674 lagi.
Namun para penyokong (Isaac) Newton iaitu seorang ahli matematik dan ahli sains Inggeris mendakwa bahawa Leibniz telah memplagiat hasil kerja pemikir ulung yang terkenal dengan hukum graviti itu. Newton menyatakan bahawa beliau telah memulakan kerja-kerja kalkulus semenjak 1666 lagi iaitu lapan tahun lebih awal daripada Leibniz. Ia dicatat di dalam buku bertajuk ‘The method of fluxions and fluents’, malangnya beliau tidak menerbitkan karya tersebut kecuali ia cuma menjadi penjelasan kecil terhadap terbitannya yang lain dan terkemudian.
Menguatkan dakwaan penyokong Newton, Liebniz yang juga seorang diplomat pernah bertemu Newton lapan tahun sebelum karya ‘Nova Methodus pro Maximis et Minimis’ terbit. Malah John Wallis iaitu seorang ahli matematik Inggeris yang terkenal ketika itu juga mendakwa Leibniz telah belajar kalkulus daripada Newton, namun dakwaan Wallis ini kemudiannya diketahui cuma palsu.
Newton dikatakan terkejut dengan penerbitan karya Leibniz. Leibniz pula ketika menerbitkan karya tersebut, dikatakan sudah sedia maklum akan hasil kerja Newton tentang kalkulus. Namun beliau langsung tidak menyebut nama Newton kerana ianya tidak munasabah, kerana Newton pada awal tidak pernah menerbitkan apa-apa karya tentang matematik dan namanya cuma tersebar di England tetapi tidak dikenali oleh ahli-ahli matematik Eropah yang lain.
Namun Newton dan Leibniz mengembangkan idea kalkulus mereka secara berasingan. Perdebatan idea dan intelek ini akhirnya bolehlah dikatakan dimenangi oleh Newton dan penyokongnya. Walaupun begitu, notasi kalkulus yang dibangunkan oleh Leibniz lebih mudah digunapakai sehingga kini berbanding notasi Newton.
Kontroversi ini menggemparkan dunia intelektual Eropah kerana ia membabitkan pertelagahan di antara dua pemikir besar yang sangat genius. Kini Newton dan Leibniz sama-sama telah diiktiraf sebagai pengasas kalkulus dan bagi saya ini adalah contoh epik dan klasik pertikaian harta intelek.
Harta Intelek
Harta intelek adalah daya cipta hasil fikiran manusia membabitkan harta tidak nyata seperti penulisan, muzik, karya seni dan lain-lain lagi. Empat jenis harta intelek yang terkenal ialah hak cipta, paten, cap dagang dan rahsia dagangan. Namun terdapat beberapa bentuk lagi harta intelek yang wujud.
Hak cipta ialah hak eksklusif yang mengawal sesuatu karya dan kebiasannya untuk sesuatu tempoh waktu yang terhad. Paten pula ialah hak eksklusif terhadap proses atau cara untuk menghasilkan rekacipta atau penyelesaian kepada sesuatu masalah.
Cap dagangan atau tanda dagang pula adalah sejenis lambang, logo, ataupun tanda unik yang membezakan sesuatu produk itu dengan produk yang lain. Satu lagi harta intelek yang popular yakni rahsia dagangan pula kurang diberi tekanan oleh aspek perundangan berbanding tiga sebelumnya.
Sebagai contoh lanjut, misalnya hak cipta sesebuah lagu akan menghalang komposer lain daripada meniru atau menciplak sesebuah karya lain. Ia juga memberikan hak kepada pihak-pihak berkenaan untuk mempertahankan karyanya daripada dicetak rompak.
Malah di dalam contoh kes Ibrahim Anon a.k.a. Ujang dan Kharisma Publications (kemudiannya dikenali sebagai MOY Publications), beliau telah kehilangan hak cipta terhadap karya yang menggunakan nama panggilannya sendiri sebagai tajuk komik. Ini kerana perjanjian hak cipta di antara mereka dikatakan telah memberikan hak cipta tersebut kepada Kharisma Publications sebagai syarikat penerbit.
Paten pula misalan mudahnya ialah pembungkusan dan cara penyediaan sesuatu makanan. Jika makanan tersebut menggunakan bahagian daging batang pinang (tenderloin) atau harimau menangis (sirloin), ianya tidak boleh mempatenkan nama bahagian daging yang telah digunakan secara umum tersebut. Sebaliknya yang boleh dipatenkan ialah cuma proses penyediaan dan pembungkusan ataupun perkara yang berkaitan logo dan sebagainya.
Contoh paling jelas untuk tanda dagang pula ialah lambang belang tiga produk Adidas terutama kasut keluarannya. Adidas di Amerika Syarikat pernah membawa rekaan kasut Payless ke muka pengadilan. Ini kerana rekaan kasut Payless yang menggunakan belang dua dan empat namun kelihatan seakan-akan belang tiga Adidas. Adidas telah memenangi kes tersebut dan dianugerahi bayaran ganti rugi.
Sejarah harta intelek dikatakan telah melalui zaman yang panjang iaitu semenjak tahun 1266 lagi bermula di England. Ia untuk melindungi cap tanda dagang para pembuat roti di atas roti yang dihasilkan oleh mereka. Namun ianya mula popular dan berkembang luas setelah World Intellectual Property Organization (WIPO) iaitu agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada 1967.
Di Malaysia harta intelek dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten 1983 dan Akta Cap Dagangan 2019. Namun setiap undang-undang berkenaan harta intelek cuma berkuatkuasa di negara masing-masing sahaja. Oleh itu WIPO menjadi pelopor antarabangsa bagi persefahaman dan perjanjian mengenai harta intelek rentas sempadan.
Pro dan Kontra
Penubuhan WIPO selaras Artikel 27 Universal Declaration of Human Rights yang menyatakan “setiap orang berhak untuk melindungi kepentingan moral dan kepentingan material yang dihasilkan dari setiap produk ilmiah, sastera atau seni yang mana dia adalah pengarang.”
Hak harta intelek dikatakan mengangkat martabat hak asasi dan boleh meningkatkan daya inovasi manusia dengan melindungi dan mengiktiraf karya dan hasil idea seseorang. Ada juga yang mengatakan perlindungan harta peribadi dalam bentuk intelek lebih efektif dan memakmurkan masyarakat kerana umumnya rakyat merasa dilindungi.
Namun harta intelek adakalanya kelihatan bercanggah dengan hak asasi manusia itu sendiri. Ini kerana kos untuk mendapatkan hak harta intelek itu sendiri biasanya memerlukan kos yang tinggi dan ini membuatkan produk yang dihasilkan menjadi mahal dan membebankan golongan yang kurang berkemampuan.
Harta intelek juga menyebabkan pemonopolian berlaku kerana hak cuma diberikan kepada seseorang atau sesuatu syarikat sahaja. Malah terdapat kes di mana syarikat penerbitan melakukan helah bagi ‘merampas’ harta intelek daripada pengkarya asal dan ini sudah pasti bertentangan dengan hak asasi manusia.
Walau wujud kontroversi yang terpalit terhadap harta intelek, namunnya ia bukanlah perkara yang sepenuhnya bermasalah. Pihak-pihak tertentu termasuk perusahaan besar tidak boleh membolot atau melakukan pemonopolian sesuka hati jika wujud undang-undang yang adil.
Suatu masa dahulu di negara kita, McDonald’s telah cuba menghalang restoran McCurry daripada menggunakan ejaan singkatan ‘Mc’. Namun keputusan mahkamah persekutuan telah menyebelahi restoran McCurry. Kita tahu bahawa istilah ‘Mc’ adalah singkatan kepada ejaan ‘Mac’ yang merupakan nama yang sering digunapakai oleh orang Eropah dan hak cipta tidak boleh diberikan kepada sesuatu perusahaan sahaja. Malah perniagaan di antara kedua-dua perusahaan tersebut jauh berbeza.
Dalam contoh lain misalnya, Walt Disney melalui undang-undang harta intelek telah menghalang segala usaha pihak yang tidak berhak daripada menggunakan watak kartun Mickey Mouse. Namun mereka tidak menghalang jika pihak lain mahu mencipta watak tikus antropomorfik lain yang berbeza daripada Mickey Mouse.
Secara umumnya harta intelek bertujuan baik bagi melindungi hak serta produk intelek dan hasil fikiran seseorang insan. Namun kita juga tidak dapat menolak bahawa tipu helah tetap berlaku dan wujud golongan yang memanipulasi undang-undang harta intelek bagi menindas pihak-pihak tertentu termasuk masyarakat umum. Perkara ini perlu diatasi agar hasrat sebenar harta intelek dapat tercapai.
Bukankah di sebalik laba keuntungan itu harta intelek juga bermakna memberi manfaat kepada umum. Kerana itulah ianya diistilahkan sebagai intelek. Jika Newton dan Leibniz masih hidup sehingga kini, moga mereka bersetuju dan berbangga dinamakan sebagai pengasas bersama ilmu kalkulus yang terbukti membawa manfaat besar kepada umat manusia seluruhnya.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Andrew Gray / Alexey Gomankov
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.