1966, seluruh dunia sedang dilanda Beatlemania. John, Paul, George, dan Ringo menjadi mimpi basah buat anak-anak gadis, histeria di mana-mana sahaja munculnya mereka. Anak-anak teruna tidak ketinggalan – muzik, fesyen rambut dan pakaian The Fab Four jadi ikutan. Corong-corong radio tidak lagi memainkan Tchaikovsky atau Beethoven – Rock n Roll kini mendominasi. Dalam tahun ini juga, The Beatles dengan beraninya mengisytiharkan mereka lebih popular dari Jesus Anak Nazareth.
Di sebelah Timur peta dunia, Asia Tenggara sedang menggelegak. Di Indonesia, kabinet Sukarno sedang kepanasan dengan Orde Baru yang menunggu masa menggulingkannya. Di Malaysia, Sarawak darurat politik, dan Lyndon B. Johnson turun ke Kuala Lumpur; signal kuat pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Filipina tidak terkecuali mengalami pergerakan politik. 1965, Ferdinand Emmanuel Edralin Marcos Sr terpilih sebagai Presiden, membuka jalan buat sebuah legasi Wanita Pertama paling dikenali sehingga kini, Imelda Marcos.
Selayaknya buat mana-mana kugiran yang sedang terkenal, apa lagi mencapai status paling popular dalam dunia, The Beatles menyambung semula jelajah antarabangsa mereka selepas kejayaan Jelajah Amerika Syarikat dan Jelajah UK, serta selepas siap merakamkan album ketujuh, Revolver. Jerman, Jepun, dan Filipina menjadi destinasi pada 1966.
Jerman dan Jepun adalah destinasi yang selamat dan terjamin. Kedua-duanya bukan dunia asing; Dunia Pertama kalau mengikut geopolitik walaupun kedua-duanya bekas musuh Britain ketika Perang Dunia Kedua. Jelajah ke Jerman dan Jepun dianggap sebagai fan service, paling tidak pun adalah duta budaya buat Britain - namun Filipina, satu-satunya negara Dunia Ketiga dalam senarai jelajah menjadi destinasi yang segera bertukar politikal dan paling dikenang - atas sebab yang buruk.
Kehadiran The Beatles ke Filipina dilihat lebih dari sekadar pertukaran budaya atau fan service, sebaliknya juga untuk mengukuhkan imej pro-Barat kerajaan Marcos yang baru setahun berkuasa.
4.30 petang, 3 Julai 1966, The Beatles tiba ke Manila dengan disambut oleh ribuan peminat yang menunggu sejak awal. Namun The Beatles, antaranya George Harrison mengingati ketibaan mereka sebagai sebuah pengalaman menakutkan. Berbanding destinasi lain di mana mereka diberi layanan yang baik dan mesra, The Beatles tiba dengan disambut oleh pegawai-pegawai tentera berpakaian biasa yang bengis dan tidak mesra, lengkap bersenjatakan pistol di pinggang masing-masing.
Sebaik keluar dari pesawat, bagasi mereka tidak dibenarkan untuk dibawa bersama, sebaliknya ditinggalkan di pesawat untuk diperiksa, sementara mereka diiring secara kasar memasuki kenderaan dan terpisah dari Brian Eipstein, pengurus mereka. Ini kali pertama Eipstein terpisah dari mereka. Selain ketiadaan Eipstein, masing-masing juga gusar kerana memikirkan barangan terlarang yang biasa dibawa mereka ke mana-mana, antaranya ganja. Mereka tidak pasti apa bakal berlaku jika ia ditemui.
Tidak terus ke hotel, mereka sebaliknya dibawa tanpa pengetahuan ke Pengkalan Tentera Laut di Manila Harbour untuk sebuah sidang media yang juga di luar pengetahuan mereka. Selanjutnya, mereka dibawa menaiki sebuah kapal mewah milik saudagar kaya Filipina, Don Manolo Elizalde tanpa tujuan khusus melainkan menjadi pameran kuasa anak Don Manolo di hadapan rakan-rakannya. Hanya pada jam 4.00 pagi, keempat-empat mereka dapat pulang ke hotel bersama Eipstein untuk berehat.
Kemuncak kepada pengalaman menakutkan mereka di Filipina hadir pada keesokan harinya, 4 Julai 1966, apabila mereka semua dijemput oleh Ferdinand dan Imelda Marcos ke Istana Presiden. Keempat-empat mereka yang keletihan tidak mengetahui tentang rencana ini, biarpun akhbar-akhbar di Manila telah pun melaporkan rencana pertemuan tersebut sehari lebih awal. Brian Eipstein sebenarnya telah sejak awal menolak jemputan tersebut, ketika di Tokyo lagi. Ini sejajar dengan polisi kugiran tersebut sejak 1964 lagi untuk tidak menghadiri sebarang pertemuan awam bersama ahli politik atau pemimpin negara.
Bukan sahaja laporan di dada akhbar, sebaliknya juga siaran langsung di televisyen juga telah diatur untuk pertemuan tersebut. Di hotel, keadaan hanya bertambah buruk apabila John Lennon, ketika dimaklumkan oleh wakil istana yang mereka sedang ditunggu oleh Ferdinand dan Imelda Marcos – telah menanyakan kembali “Siapa Marcos?”.
Petang itu di televisyen, siaran langsung tetap diteruskan dengan empat kerusi kosong di hadapan Ferdinand dan Imelda Marcos, berlatar belakangkan tangisan anak-anak tetamu lain yang kecewa selepas menunggu. Peristiwa ini telah mencetuskan kemarahan terutama sekali Imelda Marcos yang merakamkan kekecewaan dan menggelarkan mereka sebagai sombong dan biadap. Ketidakhadiran The Beatles untuk bertemu pasangan Marcos petang itu menjadi permulaan lebih buruk kepada pengalaman yang tak akan mereka lupai di Filipina.
Petang itu, konsert mereka di Stadium Bola Sepak Rizal tetap berlangsung seperti dirancang, biarpun dengan banyak lagi kesulitan. Selain sistem bunyi yang teruk, mereka juga terpaksa membuat persembahan di hadapan peminat yang terpaksa berdiri jauh dengan dikelilingi kawat duri dan tentera bersenjata. Konsert tersebut tetap melakar sejarah sebagai konsert terbesar mereka iaitu lebih 80,000 penonton sejak petang ke malam dalam dua sesi.
Limpahan penonton malam itu tidak menjadi berita baik buat The Beatles. Mereka masih belum menyedari apa yang sedang menunggu mereka. Keesokan harinya, 5 Julai 1966, bukan laporan tentang kehadiran peminat ke konsert mereka yang menjadi tajuk berita, sebaliknya ketidakhadiran mereka bertemu dengan pasangan Marcos menjadi tumpuan muka hadapan akhbar. Kemarahan Imelda Marcos dan kebiadapan The Beatles mencetuskan huru hara yang lebih besar.
Pada tahun yang sama, John Lennon pernah mengatakan The Beatles lebih popular dari Jesus; yang mengundang kecaman masyarakat umum. Begitupun, peristiwa tersebut tidak mampu menandingi nasib mereka di Filipina.
Di hotel penginapan mereka pagi itu, semua pegawai keselamatan yang menjaga mereka telah hilang, termasuk pekerja-pekerja yang diupah untuk mengangkat peralatan muzik mereka. Eipstein turut diganggu oleh pegawai cukai yang menuntut beliau untuk membayar duti hiburan yang sepatutnya dilangsai oleh penganjur tempatan.
Di luar pintu hotel, kenderaan mereka dikepung sekumpulan penyokong Marcos, dan mula diekori dengan kenderaan-kenderaan milik tentera dan polis. Pemandu yang membawa mereka ke lapangan terbang sesat berulang-ulang kali sehingga mencetuskan resah dan takut.
Di lapangan terbang, bukan lagi anak-anak gadis histeria yang menunggu, sebaliknya kumpulan besar lelaki-lelaki bengis yang membuak-buak marah. Bukan sahaja mereka perlu mengangkat barang dan bagasi sendiri seperti pelarian melalui eskalator yang dimatikan, mereka juga terpaksa menempuh kumpulan perusuh yang makin ramai.
The Beatles dan kumpulan jelajahnya mula diludah dan digasak oleh kumpulan perusuh penyokong Marcos. Penghinaan yang dialami oleh Marcos dibalas dengan tumbukan, tendangan, dan maki-hamun sehingga ke tangga pesawat. Keempat-empat mereka mendakwa dikasari, bukan sahaja oleh perusuh, sebaliknya juga pegawai-pegawai tentera yang sama menyambut mereka dua hari sebelum itu. Salah seorang yang berada di situ, Willy Jurado iaitu pengurus lapangan terbang itu sendiri turut mendakwa merasa bangga kerana berjaya memukul Eipstein, Lennon, dan Starr. "Ini balasan kerana menghina Wanita Pertama kami!" ujar Jurado.
Selepas berhempas-pulas untuk meloloskan diri, dengan Eipstein dan pembantu kugiran Mal Evans sendiri terpaksa turun dari pesawat semula untuk menyelesaikan masalah duti dan pasport yang sekali lagi dilengahkan – mereka berjaya meninggalkan Manila dan berlepas ke Delhi, India. McCartney membayangkannya sebagai pengalaman yang begitu buruk, sehingga beliau mencium kerusi pesawat saat berjaya lolos dari rusuhan tersebut.
The Beatles dilaporkan tidak menerima sebarang bayaran dari kutipan tiket konsert mereka di Manila, dan tidak pernah kembali lagi ke sana. Beberapa kugiran lain seperti Freddie and the Dreamers turut membatalkan jelajah mereka ke Filipina sebagai tanda setiakawan buat The Beatles.
Pengalaman di Manila menajamkan pandangan mereka tentang cara penerimaan masyarakat dunia yang berbeza, campur tangan politik, dan impak serta kedudukan mereka sendiri, hingga didakwa punca kepada lahirnya Sgt. Peppers Lonely Heart Club Band pada 1967.
Peristiwa di Manila terus dikenang selamanya sebagai mimpi buruk The Beatles. Dari jutaan hati gadis dan wanita seluruh dunia yang dicairkan oleh John, Paul, George dan Ringo, mereka ternyata gagal mencairkan hati seorang Imelda Marcos. - ALTERNATIF
Foto hiasan ihsan Bettman/Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.