Sambungan dari Bahagian 1
Laksamana Melaka di Dalam Catatan Sejarah dan Pandangan Sarjana Moden
Terdapat perdebatan hangat mengenai kesahihan status serta watak Hang Tuah dan hubung silangya dengan Laksamana Melaka. Selain daripada sumber sekunder seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, ada juga bukti primer yang menjadi sandaran. Cerita-cerita rakyat tempatan dan kajian secara linguistik-filologi juga turut dibentuk menjadi kritik dan hipotesis kewujudan Hang Tuah.
Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam bukan sekadar mempertikaikan kewujudan Hang Tuah, malah beliau juga turut mempertikaikan nama Hang Tuah. Tidak munasabah jika Laksamana Melaka dinamakan Hang Tuah kerana istilah ‘tuah’ itu sendiri belum wujud sebelum abad ke 18. Ejaan jawi ‘ta’, ‘wau’ dan ‘ha’ sebenarnya harus disebut sebagai Tuha atau Toh. Pendapat yang hampir sama juga turut dikemukakan oleh Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali.
Dr. Ahmat Adam juga menambah dalam penulisan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, semua nama pembesar menggunakan nama gelaran sahaja. Menurutnya lagi berdasarkan kajian filologi dan perbandingan serta analisis yang dilakukannya terhadap semua versi Sejarah Melayu, hanya dua tokoh sahaja yakni Laksamana dan Seri Bija Diraja yang boleh diangkat sebagai fakta sejarah.
Sejarawan terkenal seperti Prof. Dr. Khoo Kay Kim turut menolak kewujudan Hang Tuah. Namun begitu bukanlah maksud sebenar mereka menolak kewujudan Hang Tuah kerana mereka tetap menerima bukti-bukti tentang kewujudan seorang Laksamana Melaka yang hebat pada zaman silam. Namun atas prinsip pensejarahan serta disiplin akademik, tidak wajar Laksamana tersebut dinamakan sebagai Hang Tuah kerana nama tersebut tidak pernah tercatat dalam mana-mana dokumen sejarah yang sahih.
Pembuktian yang dibangkitkan oleh Prof. Dr. Hashim Musa dan Dr. Rohaidah Kamaruddin melalui dokumen rasmi surat-surat Kerajaan Ryukyu (negeri naungan Empayar China, sekarang terletak di Okinawa [di Jepun]) iaitu Rekidai Hoan ada mencatat kewujudan surat dari Kerajaan Melaka melalui wakil Kesultanan iaitu Laksamana.
Turut menggemakan idea yang sama ialah Prof. John Miskic dari Singapura (National University of Singapore) yang mengatakan Laksamana Melaka yang berpengkalan di Singapura telah bertanggungjawab mengirimkan surat-surat diplomatik kepada Empayar Ryukyu. Menurut Miskic Laksamana sewaktu itu berkuasa mentadbir Singapura (semasa itu dipanggil Temasek) serta menjadikan Singapura sebagai pengkalannya bagi mengetuai angkatan laut.
Namun Laksamana tetap perlu mengadap ke Istana di Melaka jika ada sebarang upacara bagi mengadap Sultan dan bertemu pembesar lain seperti Bendahara. Hujah ini ada benarnya kerana kedudukan Singapura yang lebih strategik bagi angkatan laut kerana lebih tertutup kerana berdekatan dengan banyak kepulauan.
Ini pula bukan bermakna (bandar) Melaka ditinggalkan tanpa angkatan laut, kerana bukankah pernah dicatatkan bahawa Tun Perak yang berjawatan Bendahara juga pernah mengetuai angkatan laut? Ini bermakna di (bandar) Melaka ada angkatan laut sendiri yang diketuai oleh Bendahara manakala satu lagi angkatan laut berpangkalan di sekitar Singapura.
Ketua Armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque juga ada mencatatkan mengenai seorang Laksamana lelaki berusia 80 tahun memiliki reputasi hebat yang berhijrah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka.
Tome Pires juga mencatatkan ketika Siam menyerang Melaka, Sultan Mansur Shah menghantar seorang Laksamana dan berjaya menumpaskan 200 tentera Siam secara berseorangan.
Malah ada juga beberapa bukti seperti catatan di dalam “The Notebooks of Leonardo da Vincci” yang ada mencatatkan bahawa da Vincci melukis sebuah kenderaan selepas bertemu seorang bangsawan Melaka (Malaccan noble). Namun tidak jelas di dalam catatan tersebut ada ditulis perkataan Laksamana ataupun Hang Tuah.
Ada juga yang membangkitkan bukti daripada Ming Shi-lu (rekod hal ehwal Dinasti Ming) yang menyatakan terdapat dua kali utusan Melaka yang pernah dihantar ke Dinasti Ming sebanyak dua kali. Di dalam tafsiran Geoffrey Wade utusan tersebut ialah Duan-ya-ma-la-di-na-da. Utusan kali kedua disebut Duan-ya-ma-la-di-na-zha.
Walau ada cubaan untuk menafsirkan gelar utusan itu kepada ‘Tuan Laksamana DiRaja’, namun ia juga turut sepadan jika diterjemah sebagai ‘Tun Seri Nara DiRaja’ malah bagi penulis secara peribadi ia kedengaran lebih tepat.
Walau begitu, di dalam semua dokumen terbabit tidak dicatatkan nama Laksamana tersebut. Ada sarjana yang membuat perbandingan silang garis masa diantara dokumen-dokumen mengenai Laksamana tersebut dengan catatan Sejarah Melayu dengan Hang Tuah dan mereka bersetuju bahawa Laksamana tersebut ialah Hang Tuah.
Namun bagi sesetengah sarjana dan sejarawan lain pula, perbandingan silang tersebut masih bersifat andaian dan tidak layak untuk dijadikan fakta sejarah kerana sejarah itu bersifat pasti dan bukannya berdasarkan andaian.
Maka berdasarkan penemuan, bukti, penulisan dan penghujahan maka dapat penulis merumus bahawa Laksamana Melaka yang hebat itu sememangnya pernah wujud. Namun benarkah namanya ialah Hang Tuah?
Bersambung dalam Bahagian 3
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto ihsan State of Motion
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.