REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Hal-hal Insiya dalam Secret Superstar

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Hal-hal Insiya dalam Secret Superstar

“Kesilapannya
kita telah bertemu
dalam sebuah mimpi yang menggembirakan
tetapi aku lebih gembira
bila terjaga dari mimpi itu."— Ingatan Pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi, Zurinah Hassan
 

Secret Superstar (2017) merupakan sebuah filem Aamir Khan yang memaparkan hidup remaja dengan bapa pembalun isteri yang sejati. Tidak lama selepas Dangal (2016), Aamir Khan masih menggengam baton acara pecut Bollywood yang sedang rancak menghasilkan filem yang mensentralkan wanita dan isu-isu seputar feminisme. Akankah staminanya kekal lama?

Red Chillies kelolaan Shah Rukh Khan tampaknya sudah lelah setelah Dear Zindagi (2016), dan ada cuba menghasilkan filem dengan watak wanita merdeka. Malangnya, filem romantik komedi yang tipikal, Jab Harry Met Sejal (2017) tersebut kerugian besar. Tambah malang, Shah Rukh Khan (dan filem tersebut) dibelasah dan dikerasi pengkritik-pengkritik Bollywood tanpa henti.

Jauh meninggalkan, Zaira Wasim, peran utama Secret Superstar sampai mendapat pengiktirafan National Child Award for Exceptional Achievement oleh kerajaan India atas pencapaian seninya menerusi Dangal dan Secret Superstar.

Realistik dan Rentan

Dalam filem Secret Superstar (2017), kita dipertemukan dengan seorang remaja wanita bernama Insiya lakonan Zaira Wasim (Najma lakonan Meher Vij, menamakannya sebagai Insiya yang bermaksud ‘wanita’), atau nama manjanya Insu. Insu berbakat besar dalam bidang nyanyian. Insu fasih memetik gitar yang diberikan ibunya, Najma, ketika usia Insu baharu enam tahun. Remaja ini bercita-cita mahu menuruti jalan menyertai pertandingan menyanyi-menang-terkenal mirip Salima Khan dalam filem Rock the Kasbah (2015). Bahkan, Bill Muray dalam Rock the Kasbah memainkan peranan yang lebih kurang sama dengan Aamir Khan dalam Secret Superstar.

Tetapi, Insiya, seperti Salima Khan, berhadapan dengan masalah terbesar kebanyakan remaja wanita sebaya yang membesar dalam keluarga konservatif—bapanya.

Bapa Insu, Maleek, merupakan patriark keluarga yang baran dan kuat bekerja. Di awal filem, kita diberitahu secara tidak langsung bahawa Maleek bekerja 17 jam sehari dan jarang ada di rumah. Hal ini disisip dalam dialog Maleek yang turut menjustifikasi sikap kurang ajar dan kerasnya di rumah adalah kerana layanan teruk isterinya yang tidak setara dengan penat lelahnya membanting tulang di tempat kerja. Sukar untuk dijelaskan, tetapi adegan yang terpadat ketegangannya ini adalah seperti suatu cubaan untuk mengapungkan atmosfera filem yang tidak lagi didaktik dan totok protagonis-antagonis. Penonton juga boleh terjebak dengan hasutan untuk menyalahkan kecuaian Najma seagai seorang ‘tukang masak’ untuk keluarga. 

Semakin dalam kita memasuki rumah SS, watak-wataknya perlahan-lahan mencair menjadi begitu realistik dan rentan. Misalnya, watak Shakti Kumaar (lakonan Aamir Khan) penggiat industri muzik yang terkenal tetapi bermasalah, miang dan kaki perempuan. Dia sampai diceraikan isterinya kerana kelakunya yang tidak bertanggungjawab dan penuh skandal. 

Dalam SS, Shakti Kumar pula hampir-hampir menjadi watak totok antagonis yang dibenci dan dicaci tetapi terselamat setelah dia memilih untuk membantu Insu dalam perihal emansipasi remaja itu dan Najma. Namun, kita tidak boleh pula untuk meletakkan Shakti Kumaar dalam kategori lelaki yang yang tekal memajukan hak wanita dan disenangi feminis, kerana sehingga post-credit, Shakti dipaparkan dalam lagu sebabak, dengan rawak yang tetap ‘lawak’, masih beriman dengan sikap gatal dan mengobjektifikasikan wanita dengan cara yang begitu merimaskan. 

Najma juga hampir-hampir bukan hero dan bukan totok protagonis. Dia wanita yang memang secara sedar memilih hidup yang tertekan dan tertindas, bahkan memarahi dan menghalang anaknya yang cuba membuka jalan pembebasan. Pun, dia bukanlah seorang penyengap yang terlalu penakut juga. Najma pernah melawan seluruh masyarakat yang membalunnya supaya kandungan pertamanya, Insu, gugur setelah ianya disahkan seorang perempuan. Najma juga dipaparkan sebagai seorang yang ceria, cerdik dalam menyelesaikan pergelutan-pergelutan Insu, tabah, berkeyakinan, selagi mana dia tidak berada di bawah radar Maleek.

Perserikatan Wanita

Ketidaksempurnaan watak dalam filem SS ini penting untuk disoroti. Pertama, masalah patriaki dan penindasan ialah isu yang bukan linear. Perjuangan mencapai kesetaraan hak gender dan usaha mendobrak layanan kelas dua terhadap wanita oleh masyarakat, antara lain bergantung kepada institusi perserikatan wanita atau sisterhood alliances. Perserikatan yang asalnya menganjur kebersamaan dan sokongan antara wanita untuk memajukan hak wanita lain, kini semakin tidak mengenal dan terhad hanya kepada wanita sahaja. 

Memang ada, bahkan ramai wanita yang mendokong patriaki. Tetapi, kewujudan lelaki ialah keperluan mutlak (indispensable) yang perlu ada sebelum kewujudan patriaki, meski ianya tidak memadai. 

Kendatipun begitu, kita jarang mendengar peran lelaki dalam mengubati patriaki ini dibahas secara terancang dan elok. Benarkah kalau dikatakan, dalam usaha memenangkan atau menjadikan seri antara hak wanita dan lelaki ini, kita memang tidak serius dalam mencari penawar kekal kepada patriaki? 

Metode lazim sedia ada ialah dengan menghukum lelaki, mendosakan patriaki dan membawa keluar dan merawat wanita yang terluka di medan patriaki tadi. Apabila sembuh, wanita ini akan menjelma menjadi Hippolyta yang akan mengulang bulatan anti-patriaki tadi, dan bersungguh mahu wanita mangsa lain terasuh dan membangun seperti Diana Wonder Woman.

Metode kekuasaan autoriti pula lazimnya bersifat menidakapakan patriaki, bahkan mendiskaunkan hukuman pada kesalahan lelaki dalam kes yang melibatkan simbiosis jelas lelaki-perempuan seperti rogol dan nikah-cerai (rujuk penghakiman Brock Turner di Amerika Syarikat).

Jarang pula, bahkan hampir tiada kedengaran masyarakat dan kerajaan beragenda atau memanggil anak lelaki supaya diasuh dengan elok sejak kecil. Feminis sendiri sudah penuh tangan menguruskan wanita dan lelaki dewasa, dan tidak sempat untuk merencana acuan pendidikan kanak-kanak yang bagaimana (dan apakah memang pendidikan itulah jalan penawar) yang terbaik untuk menjamin masyarakat yang mengagamakan kesetaraan perempuan-lelaki, lantas berupaya untuk menyurutkan terus bah patriaki buat selama-lamanya.

Menariknya, SS bersungguh cuba memaparkan agenda yang mensekalikan lelaki dalam perserikatan untuk wanita ini menerusi watak rentan Shakti Kumar, Guddu yang comel dan Chintan yang penyabar. Paling berjaya, SS membangkitkan perihal pentingnya pendidikan dari rumah dalam melahirkan anak lelaki yang boleh menjadi ally feminis. Sekutu yang terdiri daripada kalangan lelaki ini penting, seperti yang diungkap bell hooks dalam Feminist Theory: From Margin to Center (2000), beliau menulis,

"men are the primary agents maintaining and supporting sexism and sexist oppression, they can only be eradicated if men are compelled to assume responsibility for transforming their consciousness and the consciousness of society as a whole

Guddu misalnya, diketengahkan sebagai watak yang membuktikan patriaki bukanlah sifat alamiah lelaki. Meski tidak diasuh persekitaraan, Guddu sedari awal menyedari kelebihan dan kuasanya sebagai seorang lelaki (meski masih kanak-kanak) dan menggunakan kelebihan kelelakiannya untuk membantu ibu dan kakaknya. Jika diterbalikkan, Simone de Beauvoir pernah menyebut bahawa seorang perempuan tidak dilahirkan sebagai perempuan tetapi masyarakatlah yang mengasuhkanya untuk memenuhi ciri-ciri perempuan. 

Paling menarik, watak Chintan Parekh (lakonan Tirth Sharma) iaitu anak lelaki yang tinggal dengan ibu yang telah menceraikan ayahnya. Dia dan Insu saling menyukai. Dalam satu babak, Chintan dengan santai memberitahu Insu bahawa dia tidak tersinggung dengan keputusan ibunya yang menceraikan ayahnya. Bahkan dia memahami bahawa bukan semua pasangan akan hidup bersama selamanya, dan bercerai bukan bermakna bergaduh dan bertegangan.

Tambahan, penonton akan mengerti sendiri-sendiri yang Chintan dibesarkan dengan ibu (dan mungkin bapa) yang sentiasa menerangkan situasi semasa keluarga dan tidak mendiamkan Chintan jika dia bertanya hal-hal orang dewasa, bahkan akan melayani dan menjawab dengan jujur dan wajar. Pemerkasaan sedemikian jugalah yang membolehkan Chintan yakin untuk merangka plan komprehensif supaya Insu boleh lari dari sekolah mereka di Baroda, menuju ke Mumbai dengan menaiki kapal terbang buat pertama kalinya demi merekodkan lagu untuk Shaktiji, kemudian pulang segera ke Baroda dalam masa kurang lapan jam.

Watak remaja seperti Chintan ini penting untuk menyedarkan lelaki di luar sana. Bahkan bagi feminis, dia menawarkan harapan bahawa masih ada harapan patriaki boleh direbahkan, dan wanita boleh bercinta dan hidup dengan lelaki secara aman.

Tudung, Chador sebagai Alat Emansipasi

Saya kira inilah filem Bollywoood pop yang pertama yang saya tonton yang menonjolkan bagaimana wanita menggunakan tudung dan chador mengikut kesesuaian dan kemahuan diri mengikut keadaan tertentu. 

Chador, dalam SS, digunakan oleh Insu untuk menutup identiti dirinya sekaligus telah memberikannya sepenuh kebebasan untuk menyanyi dan memuat naik video nyanyiannya ke akaun YouTube ‘Secret Superstar’ tanpa diketahui oleh bapa dan orang sekelilingnya. 

Dalam SS, chador bukan lagi sehelai kain yang membungkam, tetapi ironi, chador telah menjadi lesen kebebasannya.

Kita juga dapat melihat Najma yang sekejap bertudung, sekejap tidak di ruang awam. Misalnya, Najma memakai selendang yang longgar dengan warna ceria untuk membalut kepalanya sewaktu keluar berliburan dengan anak-anaknya. Najma memakai chador hitam tanpa penutup muka sewaktu dalam perjalanan ke Saudi. Namun tidak bertudung, dan bermekap tebal, Najma  berkurti yang menyerlahkan leher dan dada untuk pergi ke sebuah parti hari lahir anak kawan suaminya. Dia juga tidak bertudung untuk gambar pasportnya ke Arab Saudi.

Perkara berkenaan tudung ini merupakan sesuatu yang berlapis dan tidak semudah yang kita sangka. Majoriti komentar sosial masih gagal mengapresiasi nuansa dalam fenomena bertudung ini. Saya teringat kepada singgungan Fadli al-Akiti (2004) kepada watak Yasmin dalam filem Berlari ke Langit (2004) arahan Bade Hj. Azmi. Dengan ringkas, Fadli seakan-akan menyatakan ketidaksenangannya kepada wanita yang mungkin tidak memilih untuk bertudung kerana menganggap tudung (dan menutup aurat) ini ialah permintaan dan desakan lelaki, bukannya kehendak nurani sendiri.

Memikirkan hal ini, saya kira, SS telah jauh meninggalkan pertelingkahan hal bertudung seperti yang ditanggapi Fadli al-Akiti. Tudung diserlahkan sebagai satu alat yang digunakan untuk memenuhi kehendak dan persekitaran wanita itu sendiri. 

Pun, adakah SS merakamkan realiti bertudung di Baroda? Bukankah di Malaysia juga, pengalaman bertudung ini lebih kurang sama, tinggal debat tudung kita sangat menjeram pada perihal tudung yang dikomersilkan dan dikapitalkan (apa yang tidak?). Atau SS cuba mengalih dan membersihkan nama tudung-chador yang kadangkala dianggap sebagai simbol penindasan dan patriaki, dan menunjukkan bahawa ia sebenarnya betul-betul alat emansipasi wanita? 

Tetapi, yang sukar untuk diputuskan pula, bagaimana chador dalam SS boleh dikelaskan sebagai alat pembebasan sedangkan chador dan tudung ini tidak diperlukan andainya patriaki dan penindasan oleh Farooq dan masyarakat tidak wujud. Oleh yang    demikian, SS telah membuka gelanggang debat ayam-telur yang klasik— adakah patriaki yang membentuk konsep aurat, atau konsep aurat yang telah mengacusimenkan budaya patriaki?

Pun, tentu, kita hormat dan tahu betapa ramai wanita yang memakai tudung dan menutup aurat Lillahi Taala.

Hal-hal Insiya yang Kompleks

Setelah merenung SS, kita tidak dapat lari daripada melakukan usaha ‘unpacking’ dan merenung semula, cara kita dibesarkan atau teringat kepada cara bapa-bapa kita melayan ibu-ibu, misalnya, yang telah mereka bentuk sikap masyarakat pada hari ini—lagi-lagi dalam cara kita menanggapi wanita di ruang domestik.

Bahkan, filem ini wajar dirai sementelah kebanyakan filem-filem Bollywood kotemporari yang cuba menekat dan menebarkan isu-isu feminism pada kain ceritanya, amat taksub untuk menunjukkan siapa hitam-siapa putih dalam kalangan watak-wataknya sehingga menjadi begitu didaktik dan tidak seni lagi. 

Ambil filem Ki & Ka (2016) dan Queen (2014) sebagai contoh. Kadang-kadang bukannya patriaki, tetapi lelaki dan maskuliniti yang dengan mudah dan secara by default terhukum jahat dalam gelanggang filem-filem ini. Paling merisaukan, telah tertekat satu trend yang perlu dikritisi di mana emansipasi wanita-wanita India hanya boleh diperoleh jika wanita-wanita berkenaan hidup ala wanita-wanita jagoan Barat dalam filem Hollywood.

Secret Superstar telah membersihkan diri dalam sungai Narmada daripada semua ini. Feminisme tumbuh dari tanah Baroda sendiri, dipilih Insiya secara reaktif dan rasional merespon kepada patriaki di sekitarnya. Insiya tidak perlu membaca buku tebal sejarah dan teori patriaki, dia tidak perlu ke Perancis untuk memahami beda bungkam dan bebas. Insiya bangun berjuangan dengan pikiran akal, rasional dan tenaga mudanya. Common sense sudah cukup untuk menabrak logik patriaki.

Namun, bagi Najma yang akhirnya berjaya berani dan meninggalkan suami, apakah dia sedang menuju untuk merangkul emansipasi? Najma sudah terlalu penat ditindas sampai dia sudah tak merasa apa-apa. Ketiadaan rasa inilah yang membolehkan dia akhirnya angkat kaki. ‘Mujur’ suaminya sangat warak menghina dan memukuli, alim dan istiqamah membelasah emosi isterinya, sampai jadi sebegitu lumat dan mati. Wanita telah dihempuk patriaki sebelum terbangun dan menyedari tadi semua bukan mimpi. Jika kebahagiaan sudah hilang dari mimpi, apakah yang dapat diharapkan lagi pada yang realiti?

Nur Adilla merupakan graduan dwi-Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dan Undang-Undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari Universiti Washington, Amerika Syarikat. Antara memori terindah zaman kanak-kanaknya adalah menonton filem Bollywood dengan keluarga di setiap hujung minggu.

Foto: IMDb

Share this Post: